JABATAN NEUROLOGI | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» JABATAN » JABATAN NEUROLOGI

JABATAN NEUROLOGI

Jabatan Neurologi terbahagi kepada dua unit utama iaitu Unit Neurologi dan Unit Perubatan Geriatrik. Neurologi merupakan subkepakaran yang mendalami penyakit berkaitan sistem saraf dan otak dan Perubatan Geriatrik merupakan subkepakaran untuk penyakit yang berkaitan dengan penuaan dan warga emas. Seiring dengan misi dan visi Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) untuk menjadi pusat rawatan dengan reputasi antarabangsa, Jabatan Neurologi komited untuk menawarkan perkhidmatan khususnya berkaitan dengan rawatan hiperakut penyakit strok (angin ahmar) melalui jaringan kesihatan RESQ (Regional Emergency Stroke Quick Response Unit). Dengan teknik pengimejan yang semakin canggih terutamanya Magnetic Resonance Imaging (MRI) 3 tesla (3T), penyakit strok dapat dikesan awal selepas berlakunya simptom strok dan seterusnya membolehkan rawatan hiperakut seperti ‘thrombolysis’ dan ‘thrombectomy’ yang mampu mengelakkan daripada pesakit mengalami kecacatan tetap akibat penyakit strok.

Perubatan Geriatrik berfokus kepada perawatan akut dan sub-akut geriatrik, rehabilitasi geriatrik dan ortho-geriatrik. Di samping itu, Jabatan Neurologi juga memberikan khidmat pesakit luar melalui Klinik Neurologi dan Klinik Geriatrik. Klinik Neurologi khusus untuk pelbagai penyakit seperti cephalgia dan sakit kepala, epilepsy (sawan), penyakit Parkinson, Multiple sclerosis (MS), Myastenia gravis (MG) dan pelbagai penyakit sistem saraf yang lain. Headache clinic merupakan satu lagi fokus dan rawatan khusus dan lengkap untuk migrain ada tersedia. Klinik Geriatrik pula menawarkan penilaian komprehensif dan perawatan untuk warga emas yang mengalami masalah seperti demensia (kemerosotan fungsi kognitif), kejatuhan, poly-pharmacy, kerapuhan tulang (osteoporosis) dan multi-morbidities. Oleh kerana kebanyakan pesakit kami memerlukan perawatan kombinasi, kami menawarkan perkhidmatan Neuro-Geriatrik sekali seminggu untuk pesakit Demensia (terutamanya Young-Onset Dementia), Parkinson’s Disease dan sebagainya. Selain konsultasi kesihatan, kami juga menawarkan pelbagai kemudahan tambahan seperti Electroencephalogram (EEG), Nerve Conduction Study (NCS), Electromyogram (EMG) dan Transcranial Doppler (TCD) melalui Makmal Neurofisiologi.

Kemaskini:: 30/05/2025 [ahmadfaiq]

PERKONGSIAN MEDIA

X, (05:08:02am-05:13:02am, 14 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]