Jabatan Farmasi Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) berperanan penting dalam menyediakan perkhidmatan farmaseutikal yang komprehensif, selamat dan berkualiti kepada pesakit, kakitangan kesihatan serta komuniti hospital. Perkhidmatan ini meliputi pembekalan ubat, penjagaan farmasi klinikal, sokongan terapi khas seperti sediaan sitotoksik, nutrisi parenteral dan galenikal, serta pengurusan maklumat ubat. Disokong oleh pelbagai unit khusus yang saling melengkapi, Jabatan Farmasi komited memperkasa sistem kesihatan melalui penggunaan ubat yang rasional, berkesan dan sejajar dengan perkembangan teknologi serta amalan semasa.
Perkhidmatan Farmasi Ambulatori melibatkan dua unit utama: Farmasi Pesakit Luar (OPD) dan Farmasi Non-Formulari (NF). OPD membekalkan ubat ke pada pesakit luar yang menerima rawatan susulan serta menyediakan kemudahan fleksibel seperti Ubat Melalui Pos (Pharm4u) dan loker ubat 24 jam (PharmaBox). Farmasi NF pula membekalkan ubat-ubatan tidak tersenarai dalam formulari pada harga berpatutan, khusus untuk preskripsi dari HSAAS. Unit ini juga bekerjasama dengan Jabatan Kerja Sosial Perubatan bagi pengurusan bekalan ubat menerusi Borang Sara Ubat JPA, bagi menyokong kesinambungan rawatan pesakit.
Perkhidmatan Farmasi Pesakit Dalam bertanggungjawab terhadap pembekalan ubat melalui sistem unit dose dan ward stock bagi pesakit di wad, termasuk perkhidmatan FPP (Pesakit Bayar Penuh). Perkhidmatan ini turut merangkumi Farmasi Klinikal, di mana ahli farmasi klinikal menjalankan semakan terapi ubat, kaunseling, pemantauan kesan sampingan serta pelarasan dos rawatan. Perkhidmatan Therapeutic Drug Monitoring (TDM) juga dijalankan untuk ubat-ubatan tertentu seperti gentamicin, vancomycin dan phenytoin, bagi memastikan dos yang optimum dan selamat. Penglibatan klinikal secara langsung menjadikan farmasi ini tunjang kepada penggunaan ubat yang berkesan dan berasaskan bukti.
Perkhidmatan Pengeluaran Farmaseutikal merangkumi penyediaan ubat-ubatan khas mengikut piawaian kualiti, amalan aseptik dan standard keselamatan yang ketat melalui empat unit khusus. Unit Nutrisi Parenteral (TPN) menyediakan nutrisi lengkap secara parenteral untuk pesakit yang tidak boleh mengambil makanan secara oral atau enteral. Unit Galenikal menghasilkan sediaan khas seperti krim, salap, syrup, suppositori dan ubat yang tidak tersedia secara komersial. Unit CDR (Cytotoxic Drug Reconstitution bertanggungjawab menyediakan ubat sitotoksik dan antikanser secara aseptik dalam bilik isolator khas, manakala Unit Farmasi Nuklear mengurus penyediaan radiofarmaseutikal untuk tujuan diagnostik dan terapeutik dengan pematuhan ketat terhadap peraturan keselamatan radiasi.
Unit Stor Perubatan (MDS) dan Unit Pusat Maklumat Ubat-ubatan (DIS) bekerjasama dalam pengurusan ubat-ubatan khusus di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), termasuk pengurusan permit import serta pemantauan dan pengemaskinian Formulari Hospital. Unit MDS bertanggungjawab terhadap pengurusan inventori ubat-ubatan dan bahan perubatan hospital secara keseluruhan. Sementara itu, Unit DIS berperanan sebagai pusat rujukan maklumat ubat, mengurus permohonan kemasukan ubat baharu ke dalam formulari, menyelaras pengeluaran kad alahan ubat (ADR), serta memantau isu keselamatan pengubatan.