Puas 'jelajah' Daerah Mulut | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTICLE » Puas 'jelajah' daerah mulut

Puas 'jelajah' daerah mulut

**This article was published in Bahasa Melayu and has no translation in English**
   

Article Summary

Melihat dari aspek psikologi, berdasarkan Teori Perkembangan Psikoseksual oleh Sigmund Freud, terdapat lima tahap perkembangan iaitu tahap satu: oral (bayi hingga setahun), tahap dua: anal (setahun hingga tiga tahun), tahap tiga: phallic (tiga hingga enam tahun), tahap empat: laten (enam hingga 12 tahun) dan tahap lima: genital (12 tahun hingga dewasa).


By: Nurul Husna Mahmud

   


HISAP jari, gigit kuku tabiat paling lazim dapat dilihat pada tahap oral merujuk usia bayi hingga usia setahun.  - Foto Harian Metro

   

Apabila berbicara mengenai tabiat, ia merujuk kepada sesuatu tingkah laku yang sudah menjadi satu kelaziman atau kebiasaan yang sukar diubah.

Apatah lagi tabiat yang memberikan suatu bentuk kepuasan, pasti tidak mudah untuk dihindari. Begitu juga dengan tabiat gigit kuku dan hisap jari yang lazimnya dapat dilihat dalam kalangan kanak-kanak.

 

Pegawai Psikologi Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia, Norezzati Md Hanafiah berkata, tabiat atau kebiasaan terbentuk mengikut perkembangan individu.

"Melihat dari aspek psikologi, berdasarkan Teori Perkembangan Psikoseksual oleh Sigmund Freud, terdapat lima tahap perkembangan iaitu tahap satu: oral (bayi hingga setahun), tahap dua: anal (setahun hingga tiga tahun), tahap tiga: phallic (tiga hingga enam tahun), tahap empat: laten (enam hingga 12 tahun) dan tahap lima: genital (12 tahun hingga dewasa).

"Tabiat hisap jari dan gigit kuku ini adalah tabiat yang paling lazim dapat dilihat pada tahap oral merujuk kepada ketika usia bayi hingga usia setahun. Pada tahap ini, sumber interaksi utama bayi adalah menerusi mulut.

 

IBU bapa boleh beri ganjaran jika anak menunjukkan sikap tidak mengulangi tabiat buruk terbabit.  - Foto Harian Metro

 

"Tingkah laku ini normal bagi bayi. Lazimnya, pada tahap ini bayi cenderung untuk menghisap apa sahaja objek yang dimasukkan dalam mulut secara automatik.

"Bayi mendapat keseronokan daripada rangsangan mulut melalui aktiviti yang memberi kepuasan seperti menyusu. Selain menyusu, bayi dari usia baru lahir hingga usia satu tahun ini turut mendapat kepuasan dengan mengeksplorasi daerah mulut dengan memasukkan segala jenis objek ke mulutnya," katanya.

Kata pakar itu, ia termasuk perbuatan atau tingkah laku seperti makan, minum, gigit kuku, hisap jari dan lain-lain. Tambahnya lagi, ketika ini tiada kajian atau penemuan yang dapat menjelaskan lebih lanjut mengenai kecenderungan bayi atau kanak-kanak mempunyai kebiasaan menghisap jari atau menggigit kuku.

Hanya berasaskan teori pakar atau pengasas psikoanalisis keturunan Austria iaitu Sigmund Freud yang menerangkan mulut adalah satu bentuk interaksi pada peringkat bayi.

"Tiada faktor yang kukuh dapat menjelaskan sebab mengapa kanak-kanak memiliki tabiat ini. Namun, jika dilihat berdasarkan teori yang dipelopori Sigmund itu, pada peringkat bayi, interaksi mulut adalah satu bentuk 'sucking reflex' atau refleks menghisap yang digunakan untuk menyusu.

"Pada keadaan itu bayi beroleh keseronokan daripada tabiat menghisap atau menggigit. Hal ini memungkinkan tabiat itu diteruskan kerana bentuk kepuasan yang dicapai mereka," katanya.

 

BAYI dan kanak-kanak berusia setahun adalah peringkat usia normal mempunyai kecenderungan menghisap jari. - Foto Harian Metro

 

Faktor lain turut menjelaskan kecenderungan kanak-kanak mempunyai tabiat hisap jari dan gigit kuku sebagai salah satu mekanisme pertahanan atau kaedah melindungi diri (defence mechanisms) apabila berdepan situasi kurang menyenangkan.

"Selain itu, ada juga keadaan di mana tabiat hisap jari dan gigit kuku ini satu bentuk daya tindak untuk mengawal perasaan dan tabiat itu boleh menjadi satu masalah apabila membentuk satu sikap kebergantungan tegar sehingga sukar meninggalkannya.

"Apabila merujuk kepada kepuasan ketika tahap oral, konflik utama pada peringkat ini ialah proses 'weaning' (putus susu). Ketika pada tahap oral, ibu bapa atau penjaga perlu memastikan bahawa bayi tidak bergantung sepenuhnya kepada sumber kepuasan yang satu ini.

"Sekiranya berlaku kebergantungan yang menyebabkan 'oral fixation' (tabiat yang perlu ada atau tetap dilakukan bagi mendapat kepuasan seperti perlu ada sesuatu untuk dihisap untuk buang rasa 'gian' gigit), maka Sigmund percaya situasi ini boleh mengakibatkan masalah ketika melangkah ke fasa dewasa.

"Disebabkan keperluan mendapatkan kepuasan menerusi kaedah oral. Justeru, individu cenderung untuk mempunyai tabiat seperti merokok, suka mengunyah gula-gula getah dan makan dengan kadar yang berlebihan," katanya.

Selain itu, dari aspek kebersihan, tabiat menggigit kuku yang keterlaluan boleh mengakibatkan kuku kanak-kanak rosak dan terdedah kepada bakteria kerana luka.

Sementara itu, bagi tabiat menghisap jari pula memberi kesan kepada pertumbuhan gigi dan kesihatan oral bayi. Justeru, ibu bapa, penjaga atau golongan dewasa di sekeliling boleh memainkan peranan membantu kanak-kanak menangani tabiat buruk berkenaan.

 

MENYAPU kopi pada puting ibu atau jari antara kaedah atau petua orang tua untuk kurangkan tabiat menghisap.  - Foto Harian Metro

 

Antara kaedah yang disarankan beliau adalah seperti berikut:

1. Memberi galakan kepada anak-anak

Meneliti perkembangan anak-anak pada peringkat kanak-kanak secara umumnya, mereka suka kepada perhatian dan kasih sayang. Jangan marah. Seharusnya mereka diberi pendekatan atau galakan membina apabila anak-anak tidak menghisap jari atau menggigit kuku.

Berikan perhatian dengan cara memberi pujian atau ganjaran kepada mereka apabila berhenti mengulangi tabiat buruk terbabit. Kaedah ini akan memberi isyarat kepada anak-anak dengan meninggalkan tabiat ini, maka mereka beroleh perhatian ibu bapa. Hal ini secara tidak langsung memberi galakan kepada anak-anak untuk berhenti.

2. Mengalihkan perhatian anak-anak dengan aktiviti lain

Adakalanya tabiat menghisap jari dan menggigit kuku diteruskan kanak-kanak kerana ketiadaan aktiviti lain yang lebih menyeronokkan serta memberi kepuasan.

Oleh yang demikian, ibu bapa boleh menjadi lebih kreatif dengan mengajak anak-anak bermain permainan yang lebih menarik dan disukai anak-anak. Ini bagi mengalihkan perhatian mereka daripada memberi fokus kepada tabiat buruk itu.

Sebagai contoh, sekiranya anak minat melukis, maka gunakan minat mereka ini untuk memenuhi masa dengan aktiviti yang menggembirakan. Ibu bapa juga boleh turut serta bersama melukis.

3. Menggunakan 'alatan bantuan'

Antara kaedah yang dapat membantu juga adalah menggunakan alatan bantuan. Sebagai contoh, pernah kita dengar petua orang tua-tua, letak kopi atau apa-apa makanan yang tidak sedap pada payudara si ibu untuk bantu anak 'wean-off' atau putus susu. Biasanya ia dilakukan pada anak usia melebihi tempoh penyusuan susu ibu.

Petua yang sama juga boleh digunakan untuk membantu anak-anak meninggalkan tabiat ini. Elakkan sesuatu yang mendatangkan alahan atau kecederaan.

4. Kenal pasti punca dan tangani

Jadi ibu bapa yang cakna. Berbual dengan anak-anak, luangkan masa bersama mereka dan ketahui apa yang mereka rasai.

Sekiranya tabiat hisap jari dan gigit kuku adalah interpretasi kepada daya tindak kebimbangan atau tekanan. Itu adalah panggilan 'kecemasan' untuk ibu bapa menyedari sesuatu masalah dihadapi anak mereka.

Tangani perkara yang menjadi kebimbangan, berikan keselesaan yang anak-anak perlukan. Pelukan dan kata-kata positif daripada ibu bapa pasti membantu.

 

Date of Input: 22/02/2022 | Updated: 22/02/2022 | amirahhani

MEDIA SHARING

HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
-
SXEaVAz~