PKP Menyeluruh Perlu Dilaksanakan | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTIKEL » PKP menyeluruh perlu dilaksanakan

PKP menyeluruh perlu dilaksanakan

 **Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris**
**Artikel ini telah diterbitkan di www.sinarharian.com pada 1 Februari 2021**
 
Oleh Liza Mohktar - Isnin, 1 Februari 2021
 

SHAH ALAM - Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih menyeluruh dan ketat perlu dilaksanakan segera memandangkan jumlah kes harian Covid-19 tidak menunjukkan trend penurunan sebaliknya terus meningkat melebihi 5,000 kes sehari.

Pakar epidemiologi dari Universiti Malaya (UM), Datuk Profesor Dr Awg Bulgiba Awg Mahmud menegaskan, pelaksanaan PKP seperti 18 Mac tahun lalu adalah satu-satunya cara yang perlu dilakukan kerajaan untuk melandaikan kembali lengkungan graf penularan Covid-19.

Namun katanya, pada ketika ini negara seperti tidak mempunyai hala tuju dalam pengurusan pandemik Covid-19 dan angka jangkitan semakin hari semakin meningkat walaupun PKP 2.0 dilaksanakan bermula 13 Januari lalu.

“Strategi pengurusan pandemik Covid-19 belum lagi menampakkan kesan yang nyata akibat keengganan pihak berwajib untuk melaksanakan pendekatan lebih menyeluruh melibatkan semua pihak. Semua ini perlu dilaksanakan dalam tempoh sekurang-kurangnya enam minggu.

“Pendekatan ini mesti melibatkan semua sektor kerajaan dan bukan kerajaan, penglibatan pakar daripada universiti, pengumpulan dan analisa data raya yang lebih baik, tiada double standard dalam penguatkuasaan undang-undang dan peraturan,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.Jumlah kes baharu harian Covid-19 di Malaysia merekodkan angka tertinggi untuk tiga hari berturut-turut iaitu sebanyak 5,725 kes pada Jumaat, diikuti 5,728 kes pada Sabtu dan 5,298 kes dilaporkan pada Ahad.

“Kita tidak ada banyak pilihan lagi sekarang. Namun sekiranya kes baharu berkurangan selepas itu (pelaksanaan PKP menyeluruh), saya cadangkan pihak berwajib memperbaiki kelemahan dan kepincangan dalam sistem kita dan memastikan kes jangkitan tidak bertambah lagi.

“Kedegilan dan keengganan mendengar nasihat dari pakar-pakar luar hanya membawa padah kepada negara dan golongan yang paling terkesan adalah golongan yang paling tidak dapat membela diri sendiri,” ujarnya.

Katanya, sebelum ini beliau telah menyarankan kepada kerajaan seawal pandemik melanda demi kebaikan sistem kesihatan negara tetapi semuanya hanya dipandang sebelah mata.

“Saya telah menyeru beberapa kali daripada awal pandemik ini pada tahun 2020 untuk negara memberi perhatian terhadap pekerja asing, penguatkuasaan Akta 446 yang telah dipinda, menyediakan sistem survelan sindromik sebagai sistem amaran awal, penggunaan dan analisa data raya, penggunaan indikator yang lebih baik, penglibatan pakar-pakar epidemiologi dan tingkah laku daripada luar Kementerian Kesihatan, penyediaan pelan yang lebih baik, perkongsian data dengan pakar-pakar dari universiti tetapi semuanya tidak diendahkan.

“Kelekaan ini telah mendatangkan padahnya sekarang,” katanya.

Pakar perubatan kesihatan awam dari Jabatan Mikrobiologi Perubatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman pula berkata, meskipun PKP menyeluruh merupakan satu pendekatan terbaik mengelak lonjakan kes, namun perancangan konsisten untuk tempoh yang berterusan dalam sektor ekonomi juga diperlukan bagi mengelakkan kesan kehilangan pekerjaan, sumber pendapatan dan impak kesihatan mental.

“Untuk itu, sebagai masyarakat awam kita tiada pilihan lain selain kekal berada di rumah jika tiada urusan penting di luar, sentiasa menjaga jarak dan kebersihan tangan, pakai pelitup muka dengan sempurna serta sentiasa elakkan tempat yang sesak. Sebarang kelekaan membuka potensi tularan jangkitan,” katanya.

Menurutnya, sesuai dengan keputusan kerajaan yang membayangkan PKP menyeluruh tidak akan dilaksanakan maka penting untuk semua kita mengamalkan sepenuhnya langkah-langkah pencegahan jangkitan Covid-19.

“Komitmen ini perlu dipertingkatkan lagi kerana jika PKP tidak diteruskan dan diganti dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang memperuntukkan kelonggaran kepada sektor ekonomi, kelonggaran itu adalah untuk tujuan ekonomi bukan untuk sebarang aktiviti sosial,” katanya.

 

Tarikh Input: 01/02/2021 | Kemaskini: 01/02/2021 | amirahhani

PERKONGSIAN MEDIA

HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
-
SXDdNAX~