KEBAJIKAN@HPUPM | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTICLE » KEBAJIKAN@HPUPM

KEBAJIKAN@HPUPM

HPUPM, Serdang – Seiring dengan hasrat menggalakkan budaya cakna dan memupuk sifat kepedulian dalam kalangan warga Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM), pelbagai aktiviti atau program berkonsepkan kebajikan dan sumbangan telah diadakan. Aktiviti atau program-program ini mendukung hasrat mewujudkan satu komuniti yang harmoni di HPUPM. Unit Kaunseling dan Kerja Sosial Perubatan HPUPM (CMSSU) dengan kerjasama jitu daripada pihak Pengurusan HPUPM telah menggerakkan beberapa inisiatif yang dicetuskan bagi merealisasikan hasrat tersebut.

Aktiviti-aktiviti tersebut yang mana sedang giat dijalankan adalah projek Sudut Tamak Pahala yang merangkumi “Free Food” dan “Food Bank”, Dana Sumbangan Cawan Kertas, Sumbangan “Night Ration”, Tabung Kebajikan Pesakit HPUPM dan Tabung Wakaf HPUPM. Unit Kaunseling dan Kerja Sosial Perubatan HPUPM juga menjadi pemudahcara bagi jabatan-jabatan yang ingin memohon bantuan sumbangan dan sehingga kini Jabatan Perubatan Rehabilitasi telah bekerjasama dengan CMSSU untuk sumbangan peralatan bagi tujuan rawatan rehabilitasi di klinik.

            Projek Sudut Tamak Pahala adalah program sumbangan bagi membantu mereka yang memerlukan, mendapatkan keperluan daripada Rak-Rak Sudut Tamak Pahala yang ditempatkan pada 5 lokasi dalam premis HPUPM. Lokasi di Lobi Utama, Eskalator Klinik Perubatan Keluarga, Res-Q, Kafe Lanai dan di pejabat CMSSU. “Free Food” mengetengahkan konsep pembelian kupon di Kafe Lanai HPUPM dan diletakkan pada Rak Sudut Tamak Pahala manakala “Food Bank” adalah program sumbangan bahan mentah iaitu 5kg beras, 2kg tepung, 2kg gula dan 1 tin susu. Setiap set “5221” ini juga diletakkan di rak.

            Selain itu, pihak CMSSU turut membantu mendapatkan dana sumbangan cawan kertas bagi kegunaan pesakit dan staf di klinik-klinik yang menyediakan penapis air untuk minuman. Sumbangan “Night Ration” juga digerakkan bagi membantu mendapatkan dana untuk pembelian makanan atau minuman sachet bagi staf-staf yang bertugas “on-call” di hospital. Dengan gagasan slogan ”Providing Extraordinary Care”, HPUPM turut menubuhkan Tabung Kebajikan Pesakit HPUPM serta Tabung Wakaf HPUPM di bawah payung kebajikan bagi memberi kemudahan jangka masa panjang kepada pesakit-pesakit yang hadir mendapatkan rawatan di HPUPM.

Melalui program-program sebegini, secara tidak langsung memberi galakan kepada komuniti untuk menyumbang di samping menyemai semangat saling membantu antara satu sama lain. Inisiatif-inisiatif ini membantu meningkatkan keterlihatan citra HPUPM sebagai sebuah hospital yang mengutamakan kebajikan pesakit dan staf dalam pelbagai aspek. Inisiatif ini juga dilihat akan lebih berjaya dengan kerjasama daripada semua pihak. Penglibatan semua adalah penting bagi merealisasikan hasrat yang didukung kerana permulaan bagi sesebuah komuniti yang baik itu adalah daripada individu. “Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”.

 

Sekian, terima kasih.

 

Untuk maklumat lanjut/menyumbang, sila hubungi:

Unit Kaunseling dan Kerja Sosial Perubatan

Aras 1, Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia

Persiaran MARDI-UPM, 43400 Serdang.

No. Tel: 03-9769 9723

E-mel  : mssu_hpupm@upm.edu.my

   
   
 
   
  
   
   
   

Date of Input: 29/09/2020 | Updated: 29/09/2020 | amirahhani

MEDIA SHARING

HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
-
SXEYQAJ~