DEDIKASI JURURAWAT RESQ KORBAN MASA DEMI PESAKIT | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTICLE » DEDIKASI JURURAWAT RESQ KORBAN MASA DEMI PESAKIT

DEDIKASI JURURAWAT RESQ KORBAN MASA DEMI PESAKIT

 
SERDANG, 12 Mei – Setiap saat sangat berharga bagi mereka yang menjulang tanggungjawab bekerja di bahagian perubatan kerana nyawa menjadi keutamaan semua pihak.
 
Menjadi jururawat di bahagian Regional Emergency Stroke Quick Response (RESQ) memerlukan kecekalan serta kesabaran yang tinggi selain pengetahuan perubatan dalam membantu doktor menyelamatkan nyawa dan memberikan sokongan kepada pesakit serta keluarga mereka.
 
Seorang jururawat RESQ di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) Universiti Putra Malaysia (UPM), Aaisyah Ibrahim, 37, berkata unitnya akan menerima kes pesakit yang baharu atau ‘fresh case’ dan setiap keadaan pesakit adalah berbeza menyebabkan mereka perlu bertindak dengan segera.
 
 
“RESQ merupakan unit pertama yang akan mengambil tindakan ke atas pesakit sebelum pesakit ditahan atau dimasukkan ke dalam wad. Oleh itu, para jururawat di unit ini akan sentiasa bekerjasama dan mendengar arahan serta perancangan seterusnya daripada doktor,” katanya.
 
Ibu kepada dua orang anak ini berkongsi bahawa setiap hari membawa cabaran baharu buat para jururawat namun tidak mematahkan semangatnya untuk terus membantu doktor bagi menyelamatkan nyawa pesakit.
 
“Kerja apa pun sebenarnya memang ada cabarannya termasuklah dalam bidang perubatan yang memerlukan pengorbanan masa bersama anak-anak dan keluarga. Di sini, kita ada tiga waktu bekerja dan pada setiap minggu memang tidak boleh lari daripada kerja pada waktu malam.
 
“Bekerja pada waktu malam adalah sebahagian daripada tanggungjawab kami untuk menyediakan penjagaan yang berterusan kepada pesakit. Jadi, apabila perlu bekerja pada waktu malam saya akan hantar anak-anak di rumah pengasuh,” katanya.
 
Sering berhadapan dengan ahli keluarga yang bermacam ragam termasuklah mereka yang tidak mahu menerima pendapat daripada jururawat merupakan antara cabaran yang perlu dilaluinya setiap hari.
 
Di sebalik keteguhan hati Aaisyah yang telah mengabdikan diri dalam bidang kejururawatan selama 13 tahun, beliau mengakui ada masanya akan dimarahi oleh ahli keluarga pesakit.
 
“Kita faham setiap ahli keluarga pesakit mengharapkan yang terbaik untuk keluarga mereka dan kami berusaha untuk mendengar serta memahami kebimbangan mereka. Namun, kadang kami dimarahi ahli keluarga kerana tidak mahu menerima pendapat dan mengganggu prosedur rawatan.
 
“Sebagai contoh, apabila kami sudah tarik langsir untuk membuat rawatan terdapat ahli keluarga yang tetap berdegil berada dalam tirai langsir tersebut. Ada juga yang membandingkan cara rawatan kami dengan hospital lain” ujarnya.
 
 
Walau bagaimanapun, tekanan dan kritikan yang dihadapi anak jati Kuala Kangsar ini tidak mematahkan semangatnya untuk terus berdedikasi pada pesakit.
 
Menjadi motivasi dan pembakar semangatnya apabila menerima surat penghargaan daripada pesakit dan ahli keluarga setelah menerima rawatan.
 
“Menjadi seorang jururawat memerlukan ketahanan emosi dan fizikal yang tinggi. Anda mungkin berdepan dengan situasi yang menyedihkan, stres, dan menguji kesabaran tetapi jangan berputus asa dan jangan bawa balik masalah tersebut,” katanya.
 
Luahnya profesion ini bukan sekadar membantu doktor di hospital namun pengetahuan dan kemahiran dalam merawat boleh menjadi ilmu berharga sebagai langkah pertama untuk membantu ahli keluarga yang sakit dirumah. -UPM

Date of Input: 14/05/2024 | Updated: 14/05/2024 | zulaikhazaharudin

MEDIA SHARING

HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
-
WXFUIAV~