COVID-19: Penemuan Moderna Mudahkan Pengurusan Vaksin - Pakar | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTIKEL » COVID-19: Penemuan Moderna mudahkan pengurusan vaksin - Pakar

COVID-19: Penemuan Moderna mudahkan pengurusan vaksin - Pakar

Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris
Artikel ini telah diterbitkan di astroawani.com pada 17 November 2020.

 

KUALA LUMPUR: Penemuan interim vaksin terbaharu COVID-19 oleh firma bioteknologi Amerika Syarikat (AS), Moderna Inc pada Isnin merupakan satu pengumuman yang amat memberangsangkan.
 
Pakar Perunding Mikrobiologi Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr Zamberi Sekawi berkata pengurusan logistik melibatkan vaksin tersebut amat mudah.
 

Vaksin Moderna ini adalah berita baik sebenarnya kerana suhu yang diperlukan adalah tidak terlalu sejuk jika dibandingkan vaksin yang diumumkan kali pertama pada minggu lepas. - Reuters

Ujarnya, penyimpanan vaksin Moderna atau mRNA-1273 itu tidak memerlukan suhu yang terlampau sejuk berbanding vaksin yang diumumkan oleh Pfizer dan BioNTech sebelum ini.

"Adalah penting untuk ada mekanisme rantaian sejuk daripada kilang sehingga ke tempat ia diterbangkan, seperti di lapangan terbang dan seterusnya di fasiliti vaksin.

"Kita kena pastikan bahawa rantaian itu tidak terjejas, perlu sentiasa sejuk dalam keadaan yang dipastikan.

"Vaksin Moderna ini adalah berita baik sebenarnya kerana suhu yang diperlukan adalah tidak terlalu sejuk jika dibandingkan vaksin yang diumumkan kali pertama pada minggu lepas yang memerlukan keadaan yang ultra sejuk," katanya kepada Astro AWANI.
 
Pfizer dan BioNTech sebelum ini memaklumkan suhu simpanan bagi vaksin itu adalah serendah negatif 70 darjah Celsius dan ke bawah, sekali gus menimbulkan isu berkait kapasiti simpanan vaksin berkenaan.
 
Memetik laporan agensi berita Reuters pada Isnin, Moderna menjangkakan bahawa vaksin mRNA-1273 itu akan stabil pada suhu peti sejuk standard iaitu dua hingga lapan darjah Celsius untuk 30 hari dan ia boleh disimpan sehingga enam bulan pada suhu negatif 20 darjah Celsius.
 
Data daripada ujian klinikal Moderna yang disertai 30,000 menunjukkan vaksinnya berjaya mencegah kes COVID-19 yang teruk.
Daripada 95 kes ujian percubaan Moderna, 11 merupakan kes teruk dan kesemua 11 kes itu adalah dalam kalangan sukarelawan yang mendapat suntikan plasebo.
 
Selain itu, Moderna menjangkakan akan menghasilkan sebanyak 20 juta dos vaksin untuk AS pada tahun ini, yang mana jutaan dos telah dihasilkan dan siap untuk diedarkan selepas mendapat kebenaran Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) AS.
 

Tarikh Input: 27/11/2020 | Kemaskini: 02/12/2020 | amirahhani

PERKONGSIAN MEDIA

HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
-
SXDcRAW~