COVID-19: Abaikan SOP, Potensi Cetuskan Gelombang Baharu Di Malaysia | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTIKEL » COVID-19: Abaikan SOP, potensi cetuskan gelombang baharu di Malaysia

COVID-19: Abaikan SOP, potensi cetuskan gelombang baharu di Malaysia

*Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris
*Artikel ini telah diterbitkan di bernama.com.my pada 10 Julai 2020

Oleh Luqman Arif Abdul Karim

KUALA LUMPUR: Kelalaian rakyat negara ini dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) secara berterusan, berupaya mencetuskan gelombang baharu penularan jangkitan COVID-19, khususnya membabitkan golongan berisiko.

Warga emas, kanak-kanak dan individu yang mempunyai sejarah penyakit tidak berjangkit (NCD), dikhuatiri bakal menjadi 'mangsa keadaan' selepas rakyat Malaysia sejak kebelakangan ini dilihat semakin memandang enteng pematuhan SOP.

Pakar epidemiologi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman, ketika mengemukakan pendirian itu, menegaskan situasi sedemikian tercetus di beberapa negara termasuk Australia dan Kazakhstan.

Sehubungan itu, katanya, prestasi Malaysia mencatatkan sifar kes penularan tempatan untuk dua hari berturut-turut tidak sewajarnya dijadikan 'tiket' untuk penduduk negara ini memandang remeh bahaya COVID-19.

"Pengamatan saya juga mendapati penjarakan fizikal nampaknya tidak dijaga dalam kalangan masyarakat, sekali gus meningkatkan risiko penularan sehingga berupaya mengundang gelombang baharu jangkitan.

"Walaupun ada tanggapan yang mengatakan bahawa wabak COVID-19 tidak 'seganas' seperti ketika ia menular pada Februari, Mac, April lalu, tetapi kita jangan jadikannya 'sifir' mudah.

 "Ini kerana potensi atau kemampuan virus terhadap golongan berisiko berkemungkinan berbeza dengan individu sihat, justeru kesannya kepada warga emas, kanak-kanak dan penghidap NCD berupaya menjadi berbeza.

 "Sekiranya tiada pematuhan SOP di tempat awam, maka potensi penularan jangkitan, khususnya membabitkan golongan berisiko sentiasa ada," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

 Pakar virologi Universiti Malaya (UM, Prof Dr Sazaly Abu Bakar, yang berkongsi kebimbangan sama, berkata kejayaan Malaysia meratakan lengkungan jangkitan COVID-19 adalah berpunca daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, pendekatan yang mula dilaksanakan sejak 18 Mac lalu sehingga menyaksikan masyarakat 'terkurung' di rumah masing-masing itu, mungkin menjadi sia-sia sekiranya kepentingan mematuhi SOP terus diabaikan.

"Selain tidak disokong dengan fakta dan data, tanggapan bahawa virus COVID-19 kini lemah, bukan seperti ia baru muncul dulu adalah meleset sama sekali.

"Kes penularan positif COVID-19 berjaya dikurangkan kerana kita semua mengamalkan penjarakan sosial dan pelbagai SOP lain ketika PKP dulu, jadi situasi mungkin berubah jika aspek pematuhan ini tidak dipandang serius.

"Kita lihat sekarang ramai yang memakai pelitup muka, tetapi sekadar menutup dagu, malah pengabaian penjarakan sosial juga jelas kelihatan di tempat tumpuan awam.

"Usah cepat rasa selesa dan memandang rendah kepada kemampuan penangan COVID-19 untuk kembali mengancam hidup kita kerana situasi sedemikian terbukti di New Zealand dan beberapa negara lain," katanya.

Tarikh Input: 15/07/2020 | Kemaskini: 15/07/2020 | hirfarizan

PERKONGSIAN MEDIA

HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
-
SXDdIAn~