UPM Akan Mempunyai Hospital Sendiri | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» NEWS » UPM Akan Mempunyai Hospital Sendiri

UPM Akan Mempunyai Hospital Sendiri

MSTAR - Sabtu 29 Jun 2013

PUTRAJAYA: Fakulti Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM) akan mempunyai hospital pengajarnya tidak lama lagi khusus bagi menyediakan kemudahan latihan amali bagi penuntut perubatannya.

Perkara itu akan menjadi kenyataan selepas 17 tahun Fakulti Perubatan UPM dibangunkan apabila Kementerian Kesihatan bersetuju membina hospital dengan kapasiti 400 katil di kawasan seluas 38.4hektar bersebelahan Hospital Serdang, yang dijangka siap pada 2018.

Naib Canselor UPM Prof Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan berkata pihak universiti memperoleh RM600 juta daripada kerajaan bagi membina hospital itu, yang diharap dapat mentransformasikan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) sebagai pusat kecemerlangan dan pengajian perubatan untuk melahirkan pakar dan subpakar dengan lebih pesat.

"Ketiadaan Hospital Pengajar yang khusus bagi UPM menyebabkan kemajuan pengajian siswazah dalam bidang klinikal tertangguh selain pembangunan program pascasiswazah, kepakaran dan sub-kepakaran terbatas," katanya pada satu temu bual ekslusif dengan Bernama di pejabatnya di UPM, dekat sini, baru-baru ini.

 Beliau berkata Bahagian Pengurusan Hartanah, Jabatan Perdana Menteri, juga memberi kelulusan terhadap cadangan UPM untuk membina kuarters kelas F dan G dan asrama jururawat tahun lepas.

"Bagi mengisi jawatan di hospital berkenaan, tahun lepas UPM memohon kepada Pengarah Bahagian Pembangunan Organisasi, Jabatan Perkhidmatan Awam, untuk mendapatkan 2,643 tenaga kerja bagi mengisi pelbagai jawatan di hospital berkenaan. Daripada jumlah itu 508 orang adalah daripada kumpulan pengurusan dan profesional manakala 2,135 lagi dalam kumpulan sokongan," katanya.

Dr Mohd Fauzi berkata Hospital Pengajar UPM itu akan memberi pengkhususan kepada empat bidang utama iaitu Kanser, Strok, Zoonotik dan Gerontologi.

Beliau berkata objektif utama penubuhan hospital itu adalah untuk menyediakan kemudahan dan peralatan yang lengkap kepada penuntut fakulti perubatan, meningkatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan masyarakat setempat dan meningkatkan peluang untuk menjalankan kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang perubatan yang mampu memberi tambah nilai kepada UPM untuk jangka masa panjang.

Menurutnya ia juga berperanan melengkapkan kemudahan dan perkhidmatan Hospital Serdang yang sedia ada seperti di unit kecemasan serta forensik; dan bukannya menjadi pesaing kepada mana-mana hospital; dengan fokus diberikan kepada penyediaan pasukan pakar perubatan yang tidak disediakan Hospital Serdang ketika ini.

Sementara itu Presiden Kesatuan Am UPM (Kepertama), Mohd Zailani Abd Razak berkata pihaknya menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan pembinaan Hospital Pengajar UPM, yang sememangnya telah lama ditunggu-tunggu warga UPM, dan kewujudannya mampu menaikkan imej UPM dalam bidang perubatan setanding dengan universiti tempatan yang lain.

Katanya perkara ini perlu diberi perhatian memandangkan para pelajar perubatan UPM ketika ini perlu menjalani latihan amali di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Kajang, Hospital Kuala Pilah dan beberapa hospital kerajaan yang lain dan bukannya di Hospital Serdang walaupun ia didirikan di atas tanah milik UPM," katanya.

Beliau berkata sebelum ini usaha Kepertama untuk berjumpa dengan Menteri Kesihatan bagi membincangkan isu itu gagal, dan beliau berharap Menteri Kesihatan yang baharu dilantik, Datuk Seri Dr S.Subramaniam dapat memberi perhatian terhadap isu yang telah lama tertangguh itu.

"Pihak UPM telah memberi sebidang tanah miliknya kepada Kementerian Kesihatan tanpa mengenakan sebarang cagaran tetapi diluluskan dengan syarat yang telah dipersetujui bagi tujuan membangunkan Hospital Serdang dulu.

"Sebagai timbal balas terhadap pemberian tanah itu, pihak kementerian sepatutnya menjadikan hospital berkenaan sebagai pusat pengajian dan kemudahan buat warga UPM, khususnya kepada pelajar bidang perubatan UPM tetapi sehingga kini perkara itu tidak dibincangkan walaupun dibangkitkan banyak kali oleh Kepertama," katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Kesihatan meneliti perkara itu dengan segera kerana ia telah berlarutan lebih 10 tahun tanpa sebarang persefahaman dicapai kerana UPM mampu meningkatkan lagi hasil produktiviti terutamanya penyelidikan dalam bidang perubatan sekiranya mempunyai hospital sendiri yang diuruskan sepenuhnya. - BERNAMA


Sumber: MSTAR

Date of Input: 24/01/2018 | Updated: 10/07/2019 | h_nora

MEDIA SHARING

HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
-
SXEYMAQ~