Unit Terapi Cara Kerja HSAAS Anjur Program Run For All | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» NEWS » Unit Terapi Cara Kerja HSAAS Anjur Program Run for All

Unit Terapi Cara Kerja HSAAS Anjur Program Run for All

   
 
   

SERDANG, 18 November 2024 – Unit Terapi Cara KerjaJabatan Perubatan RehabilitasiHospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) baru-baru ini telah menganjurkan acara larian Run for All yang berjaya menarik hampir 200 peserta daripada kalangan kakitangan, pelajar, dan orang awam. Acara ini melibatkan peserta yang perlu menamatkan jarak larian sejauh 5 kilometer di sekitar kawasan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Acara dimulakan dengan aktiviti senamrobik dan tarian Zumba, diikuti dengan larian serta upacara perasmian dan penyampaian hadiah. Tetamu kehormat, YBrs. Encik Hussin bin Mahmud, Pengarah Bahagian Governan Institut Pengajian Tinggi Awam, Jabatan Pendidikan Tinggi, telah merasmikan acara tersebut. Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa pengamal perubatan, termasuk ahli terapi cara kerja, perlu mengamalkan gaya hidup sihat sebagai contoh terbaik kepada pesakit dan pelanggan perkhidmatan terapi cara kerja.

“Bidang terapi cara kerja merupakan disiplin yang penting dalam kalangan pengamal kesihatan dan perlu memberikan perkhidmatan serta contoh terbaik kepada para pelanggan dan pesakit,” ujar beliau.

Puan Eunice Yap Shek Wen, Pengarah Program yang juga merupakan Ketua Skim Perkhidmatan Terapis di HSAAS, menjelaskan bahawa tujuan utama acara ini adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bidang terapi cara kerja di kalangan warga UPM dan orang awam. Beliau menambah, "Acara ini juga bertujuan untuk meningkatkan keterlihatan bidang terapi cara kerja dan memperkukuhkan kerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan yang selama ini telah menyokong perkhidmatan terapi cara kerja di HSAAS."

Hadir sama pada majlis perasmian adalah Profesor Dr. Syafinaz binti Amin Nordin, Timbalan Pengarah Sokongan Klinikal HSAAS, Dr. Mazatulfazura Sf binti Salim, Pakar Perubatan Rehabilitasi, Dr. Muhammad Hibatullah bin Romli, Ketua Makmal Gerontologi Perubatan dan Geronteknologi MyAgeing®, serta Encik Muhamad Zul Ikhram bin Mohd Fadzil, Ketua Unit Terapi Cara Kerja HSAAS.

Seramai 25 peserta berjaya membawa pulang hadiah cabutan bertuah, dengan hadiah utama berupa sebuah basikal lipat. Selain itu, terdapat juga tiga reruai yang memaparkan perkhidmatan pusat pemulihan dalam komuniti di UPM (Putra-PDK), perkhidmatan terapi cara kerja di Hospital Al-Sultan Abdullah, serta demonstrasi kenderaan orang kurang upaya oleh Kodo Welcab Sdn. Bhd..

Acara ini turut mendapat tajaan daripada pelbagai pihak yang merupakan rakan strategik dan rakan industri Unit Terapi Cara Kerja HSAAS. Larian ini juga diadakan bersempena dengan Hari Terapi Cara Kerja Sedunia, yang disambut pada 27 Oktober setiap tahun, dengan tema "Occupational Therapy for All" pada tahun ini.

 
   
Dr. Muhammad Hibatullah Romli  

 

Date of Input: 21/11/2024 | Updated: 21/11/2024 | asmizan

MEDIA SHARING

HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
-
F, (10:13:26pm-10:18:26pm, 05 Apr 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]