Pusat Sehenti Pesakit Strok Di HPUPM | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» NEWS » Pusat Sehenti Pesakit Strok di HPUPM

Pusat Sehenti Pesakit Strok di HPUPM

BERITA HARIAN - Isnin 19 Mac 2018
Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Malaysia bakal dinaik taraf sebagai hub penyelidikan kesihatan apabila pusat sehenti Unit Tindak Balas Pantas Strok Kecemasan Serantau (RESQ) beroperasi sepenuhnya pada Januari tahun depan.

Kewujudan RESQ selari dengan pembinaan Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM), yang mula dibina pada 2014 dan kini menghampiri 60 peratus pembinaannya.

Penubuhan RESQ bertujuan untuk mengkaji dan merawat pesakit yang menghidapi penyakit angin ahmar (strok), penyebab ketiga tertinggi kematian rakyat di negara ini.

Di seluruh dunia, strok adalah penyebab kedua kematian paling biasa dan penyebab utama golongan dewasa hilang upaya.

Strok adalah antara empat penyebab utama kematian di negara ASEAN, dengan jumlah kasar kematian antara 10.9 atau 100,000 orang di Thailand dan 54.2 bagi setiap 100,000 orang di Singapura.

Pakar Perubatan Kecemasan HPUPM, Dr Ahmad Luqman Md Fauzi, berkata seramai 10 doktor pakar bersedia berkhidmat untuk memenuhi keperluan masyarakat.

"RESQ HPUPM adalah pusat sehenti pertama seumpamanya di Malaysia, yang bertujuan menawarkan perkhidmatan bagi membantu pesakit berkaitan strok," katanya ketika ditemui pada Hari Terbuka HPUPM, di sini, hari ini.

Dr Ahmad Luqman berkata, pesakit dirawat secara berterusan lebih daripada 24 jam bergantung kepada jenis rawatan.

"Di kebanyakan hospital, prosedur rawatan bermula dari 0 jam sehingga 45 jam dan selepas itu, tiada rawatan susulan dibuat untuk bantu pesakit hingga pulih.

"Di RESQ, pesakit digalakkan untuk tinggal di unit strok HPUPM. Pesakit diselia di dalam wad sehingga ke pusat rehabilitasi bagi membantu pesakit untuk berjalan seperti sedia kala.

"Dalam masa 70 jam, jika pesakit akut strok menunjukkan peningkatan, mereka dibenarkan untuk keluar dari wad dan menjalani proses rehabilitasi di klinik pesakit luar.

"Ini memudahkan ahli keluarga untuk memantau pesakit dari rumah berbanding datang ke sini jika mereka tinggal di luar Lembah Klang," katanya.

RESQ HPUPM juga menawarkan doktor yang memiliki kepakaran dalam pelbagai bidang, termasuk ahli saraf (neurologist), pakar kecemasan dan rehabilitasi.

Sementara itu, Pengarah HPUPM, Profesor Madya Dr Muhammad Mohd Isa, berkata penubuhan Klinik Pakar Perubatan Keluarga HPUPM bertujuan untuk menampung jumlah bilangan pesakit zon hijau atau pesakit luar yang datang ke Hospital Serdang.

"Pesakit zon hijau dikategorikan sebagai mereka yang mengalami penyakit demam, batuk, selsema dan penyakit bukan trauma, tetapi mendapatkan bantuan perubatan di unit kecemasan.

"Selain memberi rawatan kepada pesakit kategori berkenaan, HPUPM memenuhi saranan kerajaan untuk guna sama fasiliti dengan Hospital Serdang, antaranya jabatan kecemasan dan bilik mayat," katanya.

HPUPM yang dibina dengan kos RM600 juta memiliki kapasiti 400 katil, di kawasan seluas 38.4 hektar bersebelahan Hospital Serdang.

Seramai 188 kakitangan dan 360 doktor pakar akan berkhidmat di hospital itu menjelang Januari 2019.

 

Sumber: BERITA HARIAN

Date of Input: 09/07/2019 | Updated: 22/04/2022 | amirahhani

MEDIA SHARING

HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
-
SXDdHAs~