KKRS HPUPM SEMAI AMALAN AGIHAN BUBUR LAMBUK SEMPENA BULAN RAMADHAN | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» NEWS » KKRS HPUPM SEMAI AMALAN AGIHAN BUBUR LAMBUK SEMPENA BULAN RAMADHAN

KKRS HPUPM SEMAI AMALAN AGIHAN BUBUR LAMBUK SEMPENA BULAN RAMADHAN

SERDANG, 23 April - Kelab Kebajikan, Rekreasi dan Sosial (KKRS) Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM) memeriahkan sambutan Ramadhan dengan membuat edaran bubur lambuk kepada kakitangan dan juga pelawat di Lobi Utama dan Lobi FMC hari ini.

Penganjuran kali pertama setelah penubuhan KKRS HPUPM ini telah disertai oleh 10 orang ahli  kelab dengan dibantu oleh beberapa kakitangan lain yang terdiri daripada pelbagai Jabatan dan Unit di HPUPM. Program ini lebih istimewa kerana bubur lambuk diedarkan kepada kakitangan yang juga petugas barisan hadapan.

Ironinya, program ini bukan sahaja menyaksikan keberadaan kelab ini kepada kakitangan bahkan ia juga memupuk sifat bersedekah kerana edaran bubur lambuk ini merupakan hasil daripada sumbangan kakitangan HPUPM sendiri.

Pengarah HPUPM, Prof. Madya Dr. Hj. Muhammad Mohd Isa dalam satu kenyataan berkata, penganjuran ini bukan sahaja mendekatkan kelab kepada kakitangan malahan memberi peluang menambah amalan pahala sempena bulan yang mulia ini.

“Tahniah saya ucapkan kepada KKRS HPUPM yang telah merangka  program bagi mengimarahkan bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini. Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua penyumbang dan petugas atas kesudian dan pengorbanan bagi menjayakan program sebegini,” tambah beliau selepas turut menerima bubur lambuk yang diagihkan.

Menurut En Saiful Azlin Maskan, Pengerusi Protem KKRS HPUPM, program ini merupakan salah satu inisiatif yang dilakukan oleh kelab bagi memperkenalkan KKRS HPUPM kepada kakitangan selain menghidupkan bulan Ramadan. Beliau juga turut menyatakan penghargaan kepada kakitangan yang memberi sumbangan bagi menjayakan program ini.

Dianggarkan sebanyak 500 bekas bubur lambuk telah berjaya diedarkan dalam hanya tempoh 15 minit bermula jam 4.00 Petang. Bagi tahun ini KKRS HPUPM menyediakan sebanyak 1500 bekas bubur lambuk yang dibahagikan kepada tiga siri yang akan diedarkan pada setiap hari Jumaat sepanjang bulan Ramadhan.
 
 
 
 
 
 

 

Date of Input: 26/04/2021 | Updated: 26/04/2021 | amirahhani

MEDIA SHARING

HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
-
SXEUCA7~