Teruskan Amal Norma Baharu | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTIKEL » Teruskan amal norma baharu

Teruskan amal norma baharu

**Artikel ini telah diterbitkan di www.hmetro.com.my pada 3 Julai 2022**
   

Ringkasan Artikel

Dr Zamberi berkata, pengambilan suntikan vaksin influenza dapat mengurangkan penularan jangkitan, sekali gus menjadikan kes lebih terkawal. "Kita menggalakkan masyarakat untuk mengambil suntikan vaksin influenza setiap tahun. "Kelebihan suntikan vaksin ini (setahun sekali) dapat memastikan penularan wabak influenza tidak berulang pada masa hadapan," katanya.


Oleh: Nor 'Asyikin Mat Hayin (asyikin.mat@hmetro.com.my)

 

MASYARAKAT diminta jangan leka sebaliknya terus mengamalkan norma baharu seperti yang dilakukan ketika pandemik Covid-19.

Pengerusi Kumpulan Kerja Influenza Malaysia Prof Dr Zamberi Sekawi berkata, memakai pelitup muka, cecair pembasmi kuman, mencuci tangan dan elak berada di tempat sesak adalah amalan yang dapat menghindari daripada jangkitan virus influenza.

Menurutnya, sikap berjaga-jaga perlu ada dalam diri setiap individu kerana 'ledakan' penyakit ini tidak boleh dijangka.

"Berdasarkan situasi semasa, boleh dijangka penyakit ini akan meningkat, tetapi tidak dapat dipastikan tempoh yang spesifik.

"Namun, jika melihat kepada trend, kes akan meningkat pada musim huja,n tetapi peningkatan yang tidak konsisten.

"Di Barat, sesuatu jangkitan penyakit akan melonjak pada musim sejuk," katanya.

Dr Zamberi berkata, pengambilan suntikan vaksin influenza dapat mengurangkan penularan jangkitan, sekali gus menjadikan kes lebih terkawal.

"Kita menggalakkan masyarakat untuk mengambil suntikan vaksin influenza setiap tahun.

"Kelebihan suntikan vaksin ini (setahun sekali) dapat memastikan penularan wabak influenza tidak berulang pada masa hadapan," katanya.

Bagaimanapun, Dr Zamberi berkata, kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mengambil vaksin itu masih rendah menyebabkan sukar mewujudkan imuniti komuniti yang baik apabila jangkitan berlaku.

Katanya, pesakit kronik dan warga emas adalah golongan yang perlu diberikan keutamaan untuk suntikan vaksin berkenaan.

"Begitu juga dengan wanita hamil dan kanak-kanak berusia bawah lima tahun.

"Penyakit influenza menyebabkan gejala seperti demam, batuk, sakit kepala, sakit tekak dan kelesuan.

"Bagaimanapun, penyakit ini boleh menimbulkan komplikasi seperti radang jantung (miokarditis), radang otak atau kegagalan beberapa organ yang boleh membawa maut," katanya.

Dr Zamberi yang juga Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, terdapat tiga jenis virus influenza iaitu A, B dan C.

Jelasnya, virus influenza A paling banyak menjangkiti manusia di seluruh dunia. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menganggarkan 290,000 hingga 650,000 kematian disebabkan jangkitan influenza setiap tahun di seluruh dunia.

Beliau berkata, sebelum pandemik Covid-19, WHO meminta semua negara di dunia bersiap sedia dengan

'serangan' pandemik influenza.

Namun, sesuatu tidak dijangka terjadi iaitu kemunculan pandemik Covid-19.

Katanya, pandemik yang melanda Malaysia sebelum Covid-19 ialah virus influenza A H1N1 pada 2009 yang merekodkan lebih 15,000 kematian.

 

 

Tarikh Input: 18/08/2022 | Kemaskini: 18/08/2022 | amirahhani

PERKONGSIAN MEDIA

HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
-
SXEaMAe~