RAWATAN ANGIN AHMAR: KISAH JURUTERBANG AUSTRIA DI HSAAS UPM | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTIKEL » RAWATAN ANGIN AHMAR: KISAH JURUTERBANG AUSTRIA DI HSAAS UPM

RAWATAN ANGIN AHMAR: KISAH JURUTERBANG AUSTRIA DI HSAAS UPM

Pada 8 Mac 2024, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) UPM telah menerima seorang pesakit yang diserang strok (angin ahmar). Beliau merupakan warga Austria yang bekhidmat sebagai Juruterbang syarikat penerbangan antarabangsa. Sebelum kejadian pesakit berada dalam keadaan sihat dan baru menamatkan penerbangan dari Maldives yang mengambil masa selama 9 jam ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)

 

Sejurus pendaratan dilakukan di KLIA, secara tiba-tiba pesakit merasakan bahagian badan di sebelah kiri lemah dan tidak berupaya untuk bertutur. Pesakit kemudian dibawa ke hospital swasta yang berhampiran untuk mendapatkan rawatan segera dan kemudian dirujuk ke Regional Emergency Quick Response (RESQ) HSAAS UPM melalui Perkhidmatan Eksekutif (PE) untuk rawatan akut strok.

 

Semasa ketibaan beliau di RESQ HSAAS UPM, pesakit berada dalam tempoh masa 4.5 jam untuk rawatan akut strok, dan beliau menjalani penilaian klinikal oleh pasukan bertugas atas panggilan neurologi kami, Dr Azliza Ibrahim dan Dr. Firdaus. Penilaian strok NIHSS menunjukkan bahawa beliau mengalami serangan angin ahmar tahap yang teruk. Pemeriksaan imbasan MRI seterusnya menunjukkan infarksi hiperakut di arteri Middle Cerebral (MCA) dan arteri Anterior Cerebral (ACA) dan penyumbatan darah beku di dalam salur arteri M1 MCA.

 

Beliau menjalani prosedur angiogram serebrum dan mekanikal trombektomi yang dikendalikan oleh Pakar Neuro-Intervensi, Dr Mohd Fandi Al-Khafiz bin Kamis dan Prof. Madya Dr.Ezamin Abdul Rahim. Prosedur tersebut telah berjaya mengeluarkan darah beku di saluran MCA pesakit. Selepas prosedur itu, pesakit dipantau di Unit Rawatan Rapi (ICU), dan imbasan MRI ulangan menunjukkan pemulihan penuh saluran M1 MCA dengan kesan bengkak minimum di bahagian otak yang kemudiannya berkurangan menjelang hari ke-15 selepas prosedur strok.

 

                                                                                   

                                                                                           Imej: Imbasan MRI sebelum dan selepas prosedur trombektomi dilakukan.

 

Berdasarkan penilaian faktor risiko, pesakit di dapati mengalami fibrilasi atrium, yang merupakan punca strok kardioembolik yang dihadapinya. Pesakit kemudian nya di berikan ubat antikoagulasi untuk mencegah serangan strok ulangan di masa akan datang. Penilaian klinikal sebelum discaj menunjukkan strok skor NIHSS beliau bertambah baik dari 14 kepada 9. Pesakit berupaya menggerakkan  anggota sebelah kiri dan pertuturan beliau kembali normal. Melihat kepada prestasi kesihatan yang telah stabil, pesakit telah dibenarkan untuk discaj pada hari ke-19 rawatan. Pesakit kemudiannya dibenarkan untuk dibawa pulang ke Austria melalui ambulans udara untuk meneruskan terapi pemulihannya.

 

Imej: Pesakit dibenarkan untuk puland dan bertolak ke KLIA menaiki ambulans.

 

Imej: Pesakit dihantar pulang ke Austria menggunakan ambulan udara.

 

Secara keseluruhannya rawatan yang diberikan telah berjaya dan kami mengucapkan terima kasih kepada pesakit dan waris kerana memilih kemudahan perubatan kami melalui Perkhidmatan Eksekutif HSAAS UPM. Dengan Perkhidmatan Eksekutif, pesakit boleh merasai pelbagai faedah seperti memilih pakar pilihan mereka sendiri, jenis wad-bilik tidur dan menjimatkan masa untuk menerima rawatan dengan harga yang berpatutan.

 

Untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan kami, sila hubungi Perkhidmatan Eksekutif kami di +603-9769 9989/ exec_hsaas@upm.edu.my atau layari laman sesawang hsaas.upm.edu.my

 

Pasukan pakar yang terlibat merawat pesakit:

 

Pakar Neurologi: Dr Azliza Ibrahim & Prof Dr Hamidon Basri

Pakar Neuro-Intervensiona Dr Mohd Fandi Al-Khafiz bin Kamis, Prof Madya Dr Ezamin Abdul Rahim, Prof Dr Ahmad Sobri Muda

Pakar Perubatan Pemulihan Neuro - Dr. Thanalactchumy a/p Chandrabose.

 

---

 

Nota: Niche utama HSAAS UPM ialah unit Tindak Balas Pantas Strok Kecemasan Serantau (RESQ) yang menyediakan perkhidmatan strok hiperakut yang canggih dan berkesan, khususnya dalam trombolisis perubatan dan trombektomi mekanikal. Rawatan ini dapat memulihkan aliran darah ke otak dengan cepat.

 

Unit Kecemasan angin ahmar RESQ beroperasi sebagai barisan hadapan khusus untuk kecemasan angin ahmar. Fungsi utama kami adalah untuk menyediakan penilaian dan penilaian pantas bersama-sama dengan pasukan neurologi, radiologi serta radiologi intervensi dan seterusnya memulakan rawatan akut yang sesuai. Selain itu, unit tersebut bertindak sebagai kawasan resusitasi atau penstabilan utama untuk sebarang kecemasan perubatan yang berlaku di dalam hospital.

 

 

Tarikh Input: 05/04/2024 | Kemaskini: 05/04/2024 | zulaikhazaharudin

PERKONGSIAN MEDIA

HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
-
SXEeBAw~