Prosedur Rawat Penglihatan Hanya 10 Minit | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTIKEL » Prosedur Rawat Penglihatan Hanya 10 minit

Prosedur Rawat Penglihatan Hanya 10 minit

Memiliki mata yang sihat dan cantik adalah satu anugerah yang tidak ternilai. Namun, ada banyak faktor yang menyebabkan penglihatan seseorang terganggu. Gangguan ini memerlukan rawatan bagi membolehkan mata kembali berfungsi dengan baik. Pensyarah Kanan Perubatan (Oftalmologi), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS). Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Muhammad Mohd Isa berkata, mata adalah organ sangat istimewa yang bertindak balas terhadap cahaya dan tekanan.

"Mata kita umpama kamera, di belakangnya itu filem. Proses penglihatan akan diawali dengan pantulan cahaya daripada objek atau lingkungan sekitar.


"Cahaya ini akan ditangkap oleh mata dan masuk melalui kornea, melewati mata bahagian tengah dan akhirnya diterima oleh retina di bahagian belakang mata," jelas Dr. Muhammad ketika dihubungi Majoriti 7 


Dalam anatomi mata, terdapat tiga bahagian utama. Bahagian depan mata dapat dilihat secara langsung iaitu kornea, iris, pupil, sklera dan konjunktiva. Bahagian tengah pula terdiri daripada lensa dan rongga kekaca manakala retina, makula dan saraf optik terletak di bahagian belakang mata.


"Namun, jika mata mempunyai masalah seperti miopia iaitu rabun jauh, cahaya yang jatuh akan tersasar di hadapan retina. Begitu juga bagi mereka yang mengalami hiperopia (rabun dekat), cahaya akan jatuh di belakang retina. Keadaan inilah yang menyebabkan penglihatan seseorang itu terganggu." Jelas beliau. 


Bagaimanapun menurut Dr Munammad, rabun jauh, rabun dekat dan astigmatisme (rabun silau) ini boleh dirawat dengan memakai cermin mata atau kanta sentuh atau pembedahan laser. Lasik yang bermaksud Laser in-Situ Keratomileusis adalah pembedahan menggunakan laser di bawah lapisan nipis kornea bagi membentuk semula garisan kornea Keratomileusis. Ia juga adalah salah satu rawatan yang terdapat dalam pembedahan memperbaiki refraktif.

"Selepas memasukkan beberapa titisan anestetik untuk kebaskan mata, pakar bedah akan membentuk satu lapisan nipis kornea atau poket dengan alat mikrokeratom. Apabila poket ini dibentuk, ia akan diketip dan permukaan melengkung kornea dirawat dengan sinaran laser Excimer.


PULANG KE RUMAH 


"Selepas laser membentuk semula permukaan tisu, poket kornea yang masih terlekat akan dikembalikan kepada kedudukan asal tanpa sebarang jahitan," ujar Dr Muhammad bahawa pancaran laser ini tidak meninggalkan sebarang kerosakan atau parut kepada tisu-tisu sekeliling mata. 

Tambah beliau, prosedur pembedahan lasik akan mengubah lengkungan kornea dalam masa 10 minit. Malah, pesakit juga tidak perlu tinggal di wad sebaliknya boleh terus puang ke rumah selepas pembedahan. Beliau yang juga merupakan Pensarah, Pengasas & Konsultan Senior Oftamologi HSAAS memberitahu, penjagaan mereka yang menjalani rawatan ini tidak begitu sukar. "Cuma, pesakit rasa tidak selesa sedikit seperti silau dan air mata terlalu banyak, namun hanya dalam tempoh beberapa jam. Dalam tempoh seminggu, penglihatan masih belum pulih sepenunnva, tapi mereka boleh teruskan rutin seperti biasa.

"Bagi pesakit yang telah menjalani Lasik, mereka tidak perlu memakai cermin mata atau kanta sentuh lagi kerana rawatan ini sangat efektif dan lebih selamat. Bagaimanapun, bagi individu memakai cermin mata dengan kuasa tinggi dan memiliki kornea yang nipis, ia tidak boleh dirawat secara keseluruhan," jelasnya.

 


KOS


Apa yang penting, kata beliau, mereka yang ingin menjalani rawatan ini perlu mempunyai ketebalan kornea bersesuaian sebelum menjalani pembedahan dan tidak mempunyai sebarang kerosakan pada mata. Menurut beliau, meskipun kos rawatan Lasik bergantung kepada klinik dan hospital,
dianggarkan ia mencecah antara RM2,000 ke RM3,700 bagi satu mata.

Di Malaysia, rawatan Lasik diperkenalkan sejak 15 ke 20 tahun lalu. Kini, semakin banyak teknologi canggih yang telah digunakan dalam merawat masalah penglihatan. Dr. Muhammad juga turut menasihatkan orang ramai supaya menjaga kesihatan mata dan penglihatan dengan baik. Antaranya elakkan membaca dalam gelap dan jangan menghadap komputer dalam tempoh yang lama. Semasa bekerja, mata akan kurang berkelip. Sebaiknya, rehatkan mata dengan melihat pemandangan hijau.

Menurut Dr. Muhammad, untuk anak-anak pula, ketika lahir pertumbuhan mata mereka belum matang sepenuhnya hinggalah umur mereka mencecah antara 7 hingga 10 tahun. Ibu bapa saran beliau, perlu mengawasi anak-anak agar tidak menggunakan gajet dalam jangka masa terlalu lama kerana ia boleh menyebabkan perkembangan mata mereke terencat yang menyebabkan mereka perlu memakai cermin mata.


STEROID 


"Jika anak ada mengalami juling atau mempunyai gejala kerap terlanggar sesuatu semasa berjalan, bawa ke hospital pada kadar segera untuk mendapatkan rawatan. Jangan dibiarkan kerana bimbang ia akan menjadi satu masalah penglihatan yang serius," Tegas Dr. Muhammad 


Dalam kalangan orang dewasa pula, beliau turut mengingatkan tentang penggunaan kanta sentuh yang salah dan tidak berkualiti antara punca jangkitan pada kornea. Begitu juga sekiranya membeli ubat di farmasi, perlu ada pemantauan dan nasihat doktor.


Ubat yang mengandungi steroid misalnya, jika diamalkan tanpa kawalan boleh meningkatkan risiko hilang penglihatan.


"Ada kes yang saya rawat, seorang pesakit berusia 28 tahun buta akibat glaukoma kerana pengambilan ubat yang salah. Mereka yang mempunyai diabetes dan hipertensi dinasihatkan supaya membuat pemeriksaan mata sekurang-kurangnya sekali setahun,"
pesan Dr. Muhammad.

 

Artikel Oleh: 

Profesor Madya Dr. Muhammad Mohd Isa 

Pensyarah Kanan Perubatan (Oftalmologi),

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, HSAAS

Majoriti 7, 1 Mac 2024

Tarikh Input: 25/03/2024 | Kemaskini: 25/03/2024 | zulaikhazaharudin

PERKONGSIAN MEDIA

HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
-
SXEbPAU~