Pesakit Kanser Bertarung Dengan Emosi | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTIKEL » Pesakit kanser bertarung dengan emosi

Pesakit kanser bertarung dengan emosi

*Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris
*Artikel ini telah diterbitkan di bharian.com pada 23 Mei 2020

PESAKIT kanser perlu berlawan dengan emosi.

PESAKIT kanser perlu berlawan dengan emosi.

Pandemik COVID-19 memberi cabaran baharu kepada pesakit kanser iaitu antara golongan yang terkesan dengan penularannya.

Pakar Perunding Perubatan Keluarga, Jabatan Psikiatri, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datin Dr Sherina Mohd Sidik, berkata keadaan itu memberi kesan langsung dan tidak langsung kepada kesihatan fizikal dan mental pesakit kanser.

Katanya, berdasarkan tinjauan terhadap beberapa orang pesakit kanser yang sedang menjalani rawatan, sebahagian kecil daripada terkesan dengan situasi COVID-19.

Beliau berkata, mereka perlu menangguhkan sesi rawatan bagi mengelak kesesakan di wad hospital sebagai langkah berjaga-jaga bagi pencegahan jangkitan.

"Pesakit dengan keadaan tertentu dan berkemampuan dari segi kewangan dirujuk untuk meneruskan rawatan kanser di hospital swasta.

"Ada pesakit yang sedang menjalani rawatan kemoterapi perlu mengubah kaedah rawatan dari intravena di hospital kepada rawatan oral di rumah," katanya.

Dr Sherina berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sekarang ini juga menyukarkan proses mendapatkan rawatan di hospital terutama bagi pesakit yang perlu merentas negeri.

Tidak semua negeri menyediakan perkhidmatan rawatan dan fasiliti onkologi untuk pesakit kanser.

Pesakit perlu melalui beberapa sekatan jalan raya dengan menunjukkan bukti surat temujanji dari hospital. juga perlu ditemani oleh sekurang-kurangnya seorang ahli keluarga ketika menjalani rawatan dan situasi ini agak sukar semasa tempoh PKP.

 

RISIKO pesakit hadapi tekanan dan kemurungan. - gambar hiasan
RISIKO pesakit hadapi tekanan dan kemurungan. - gambar hiasan

"Selain itu, pesakit perlu berlawan dengan emosi dan perasaan sendiri dalam mendepani COVID-19," katanya.

Terdapat pesakit yang mengelak untuk meneruskan rawatan di hospital kerana bimbangkan risiko jangkitan COVID-19. Situasi ini dibimbangi mengakibatkan mereka berhenti menjalani rawatan konvensional atau beralih kepada rawatan kanser alternatif.

Beliau berkata, pesakit seharusnya mengikuti pelan rawatan pesakit kanser sepanjang wabak COVID-19 yang ditentukan berdasarkan kepada penilaian risiko dan garis panduan rawatan kanser di peringkat global.

Katanya, Kementerian Kesihatan masih meneruskan rawatan pesakit kronik termasuk kanser dalam situasi wabak COVID-19 dengan sebaik mungkin.

Apakah yang perlu pesakit kanser lakukan bagi mendepani COVID-19?

Dr Sherina berkata, pesakit kanser perlu kekal tenang dan tidak panik kerana tekanan yang tidak terkawal boleh meningkatkan risiko pesakit kanser untuk mengalami kemurungan serta gangguan kerisauan.

Justeru, mereka perlu mengikut saranan doktor, meneruskan pelan rawatan dengan prosedur yang ditetapkan, mengamalkan gaya hidup sihat dan bijak mengurus emosi.

Pesakit kanser perlu sentiasa mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi dengan kerap mencuci tangan, tidak keluar rumah kecuali untuk rawatan di hospital, sentiasa memakai pelitup muka ketika di tempat awam, tidak bersalaman, menjaga penjarakan sosial dan mengelakkan penggunaan kenderaan awam bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.

Katanya, ketika berada di hospital, pesakit perlu mematuhi prosedur dan mengamalkan segala langkah pencegahan wabak itu seperti yang diarah.

"Sekiranya pesakit mempunyai gejala COVID-19 ketika berada di rumah atau mempunyai kontak rapat dengan individu yang dijangkiti, pesakit perlu menghubungi hospital terlebih dahulu bagi mendapatkan khidmat nasihat sebelum datang ke hospital.

"Pesakit kanser tidak perlu ragu dan bimbang ketika menjalani rawatan kerana pihak hospital sentiasa memastikan persekitaran dan petugas kesihatan mematuhi garis panduan kesihatan yang ditetapkan.

 

PROF Datin Dr Sherina Mohd Sidik. (Foto/NSTP)
PROF Datin Dr Sherina Mohd Sidik. (Foto/NSTP)

 "Mereka juga perlu mengamalkan pemakanan sihat dengan meningkatkan pengambilan sayuran dan buah-buahan," katanya.

Pengambilan vitamin dan mineral dari sumber semula jadi boleh bertindak sebagai antioksida dan meningkatkan imuniti tubuh melawan penyakit. Pengambilan suplemen itu perlu mengikut nasihat doktor.

Beliau berkata, pesakit kanser perlu sentiasa berfikiran positif dan mengawal kerisauan, selain menghubungi doktor bagi mendapatkan khidmat nasihat melalui tele-kaunseling dan e-mel.

Katanya, mereka juga boleh menghubungi pesakit atau 'survivor' kanser yang lain bagi berkongsi maklumat dan pengalaman.

Pesakit boleh mengamalkan teknik minda sedar (mindfulness), atau teknik pernafasan relaksasi untuk menenangkan emosi di samping memastikan tidur yang berkualiti.

Dr Sherina berkata, penjaga dan ahli keluarga pesakit kanser juga perlu memainkan peranan penting bagi menjaga kesihatan fizikal dan mental pesakit.

Katanya, penjaga perlu sentiasa menjaga kebersihan diri dan persekitaran rumah serta mengambil langkah pencegahan COVID-19.

"Sekiranya berada di luar, mereka perlu membersihkan diri dan pakaian terlebih dahulu sebelum bertemu dan menyentuh pesakit.

"Penjaga perlu menyediakan sajian yang berkhasiat dengan kaedah penyediaan makanan secara sihat untuk pesakit.

"Mereka sewajarnya memastikan pesakit mengambil ubatan pada waktu yang ditetapkan," katanya.

Bagi memberi sokongan emosi kepada pesakit, penjaga perlu secara aktif mendengar luahan rasa pesakit.

Penjaga boleh merujuk pesakit bagi mendapatkan khidmat perundingan kesihatan mental sekiranya perlu.

Pesakit kanser dan penjaga sewajarnya mendapatkan maklumat mengenai rawatan dan pengurusan penyakit kanser dari sumber yang tepat.

Katanya, Pusat Sumber dan Pendidikan Kanser (CaRE), UPM adalah institusi yang menyediakan perkhidmatan pendidikan dan sokongan untuk pesakit kanser, ahli keluarga, badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan kanser serta orang awam.

Pelbagai maklumat berkaitan kanser boleh diakses secara percuma melalui laman sesawang www.care.upm.edu.my dan Facebook CaRE, UPM.

 

Tarikh Input: 27/05/2020 | Kemaskini: 27/05/2020 | hirfarizan

PERKONGSIAN MEDIA

HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
-
SXEaGAn~