|
Pengambilan gula berlebihan dalam kalangan masyarakat kini semakin membimbangkan dan menjadi antara faktor utama peningkatan penyakit tidak berjangkit seperti obesiti dan Diabetes Mellitus. Walaupun gula memberikan tenaga segera kepada tubuh, pengambilan yang tidak terkawal boleh menyebabkan keletihan, kurang fokus dan gangguan kesihatan dalam jangka panjang. Pengambilan gula yang tinggi boleh menyebabkan peningkatan mendadak paras glukosa dalam darah sebelum menurun secara cepat, sekali gus menyebabkan tubuh mudah letih dan kurang bertenaga. Oleh itu, kita perlu berusaha mengawal pengambilan gula tambahan dalam makanan dan minuman harian. Banyak produk makanan mengandungi kandungan gula yang tinggi tanpa disedari pengguna justeru pembacaan label pemakanan amat penting sebelum membuat pilihan makanan. Gula tersembunyi sering ditemui ialah dalam minuman manis seperti teh tarik, kopi berperisa, minuman berkarbonat, minuman tenaga dan bubble tea. Selain itu, gula juga terdapat dalam sos, roti, biskut, kek, makanan diproses dan makanan segera. Mengapa pengurangan gula penting? Menurut World Health Organization, pengambilan gula tambahan disarankan tidak melebihi 10% daripada jumlah tenaga harian bersamaan kira-kira 50 gram atau 7.5 sudu teh sehari. Pengambilan gula yang berlebihan meningkatkan risiko obesiti, diabetes, penyakit jantung dan masalah metabolik. Selain itu, individu yang mengambil makanan atau minuman terlalu manis cenderung mengalami “sugar crash” iaitu keadaan tenaga menurun secara mendadak selepas lonjakan gula dalam darah. Semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur perlu mengawal pengambilan gula. Walau bagaimanapun, individu yang mempunyai berat badan berlebihan, sejarah keluarga diabetes, kurang aktiviti fizikal atau amalan pemakanan tidak sihat perlu lebih peka terhadap pengambilan gula harian mereka. Berdasarkan data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), lebih separuh rakyat Malaysia mengambil makanan atau minuman manis secara kerap sekali gus meningkatkan risiko penyakit berkaitan pemakanan. Pengawalan gula tidak seharusnya dilakukan hanya selepas seseorang disahkan menghidap penyakit tetapi perlu dijadikan sebahagian daripada gaya hidup sihat harian. Dalam usaha memperkukuhkan budaya hidup sihat, Kementerian Kesihatan Malaysia telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk Kempen Perangi Gula dan Pelan Strategik Mengurangkan Gula dalam Kalangan Rakyat Malaysia 2024–2030. Pengurangan pengambilan gula boleh dilakukan melalui langkah mudah tetapi konsisten. Antaranya termasuk menggantikan minuman manis dengan air kosong, memilih makanan segar berbanding makanan diproses, mengurangkan pengambilan pencuci mulut manis serta membaca label kandungan gula pada produk makanan. Selain itu, aktiviti fizikal secara berkala membantu tubuh menggunakan glukosa dengan lebih efisien dan mengekalkan tahap tenaga yang stabil sepanjang hari. Kementerian Kesihatan Malaysia turut menyarankan budaya “kurang manis” dalam kehidupan seharian bagi membantu masyarakat mencapai tahap kesihatan yang lebih baik. Secara keseluruhannya, pengurangan pengambilan gula merupakan langkah penting dalam meningkatkan kesihatan dan memastikan tenaga harian kekal stabil. Perubahan kecil dalam tabiat pemakanan mampu memberikan manfaat besar terhadap kesejahteraan fizikal dan mental. Dengan kesedaran serta amalan gaya hidup sihat yang berterusan, masyarakat dapat mengurangkan risiko penyakit kronik dan menikmati kualiti hidup yang lebih baik. |
|
Disediakan oleh: Nadia Alhana binti Arifin, |
|
Rujukan
|
Tarikh Input: 28/05/2026 | Kemaskini: 28/05/2026 | ahmadfaiq

Persiaran Mardi - UPM
43400 Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA