Kaedah Perancang Keluarga Jadikan Lelaki Mandul? | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTIKEL » Kaedah perancang keluarga jadikan lelaki mandul?

Kaedah perancang keluarga jadikan lelaki mandul?

APABILA membahaskan tentang perancangan keluarga, tumpuan lebih menjurus kepada peranan yang dimainkan oleh kaum wanita dari pelbagai aspek.

Disebabkan majoriti kaum wanita atau isteri yang akan melakukan kawalan kehamilan, hal ini dilihat berat sebelah kerana sedikit mengabaikan peranan dan sumbangan kaum suami dalam konteks perancangan keluarga.

Lelaki sebagai ketua keluarga juga sebenarnya memainkan peranan penting dan boleh ‘berkorban’ dengan memberikan sumbangan dalam perancangan keluarga.

Antara kaedah yang mudah, selamat dan efektif ialah vasektomi, iaitu kaedah pemandulan lelaki yang kurang popular di Malaysia.

Pakar Bedah Klinikal Urologi, Jabatan Urologi, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Aizat Sabri Ilias berkata, vasektomi merujuk pembedahan kecil yang dilalui oleh lelaki pada peringkat umur 33 hingga 44 tahun untuk mencegah kehamilan.

Ia melibatkan proses memotong saluran sperma dalam alat kelamin lelaki untuk menghalang persenyawaan sperma semasa ejakulasi.

 

PROSEDUR RINGKAS

Rata-rata memilih kaedah itu kerana ia melibatkan prosedur ringkas, di samping membantu mengurangkan beban isteri untuk mengambil kaedah kontrasepsi yang berisiko kepada kesihatan pada masa hadapan.

Selain itu, mampu mencegah kehamilan yang dikhuatiri boleh membahayakan kesihatan. Tambah Dr. Aizat, vasektomi tidak akan memberikan kesan terhadap kehidupan seksual pasangan mahupun mengakibatkan lelaki yang menjalaninya mati pucuk, tetapi vasektomi bersifat hampir kekal dan lelaki yang melakukannya berkemungkinan besar tidak akan dapat memiliki keturunan lagi.

 

Namun begitu, sekiranya pasangan memutuskan untuk memiliki anak lagi setelah menjalani vasektomi, lelaki boleh menjalani pembedahan

mikrosurgeri yang dikenali sebagai ‘vasectomy reversal’, iaitu pembedahan pembalikan vasektomi yang melibatkan proses menyambung kembali saluran sperma yang telah dipotong kembali kepada keadaan asal.

Peratus kejayaan pembedahan mikrosurgeri tersebut boleh mencapai kadar 50 peratus hingga 70 peratus.

Bagaimanapun, peratus kejayaan akan menurun jika berdurasi panjang antara vasektomi dan keputusan pembedahan mikrosurgeri. Bagi kaum lelaki yang ingin melakukan vasektomi, risikonya perlu diketahui.

 

Antaranya ialah sifat vasektomi yang hampir kekal, jangkitan kuman di kawasan pembedahan dan epidermis, sindrom kesakitan selepas vasektomi (postvasectomy pain syndrome) dan kegagalan vasektomi (vasectomy failure).

 

MENURUT ISLAM

 

Ketua Pegawai Hal Ehwal Islam, Pusat Islam, UPM, Ustaz Alzasha Illiyyin Zainal Alam menjelaskan bahawa vasektomi boleh dikatakan salah satu kaedah moden yang tidak wujud pada masa lalu, maka kaedah ini secara spesifik tidak pernah dibincangkan hukumnya oleh para ulama silam.

Tambah beliau, meskipun ulama silam tidak pernah membahaskan isu vasektomi secara spesifik, namun para ulama telah membincangkan prinsip-prinsip umum tentang ‘tahdid al-nasl’ (membataskan anak keturunan), ‘tanzim al-nasl’ (perancangan anak keturunan), hukum pemandulan dan seumpamanya.

Berdasarkan prinsip-prinsip umum tersebut, maka para ulama dalam Persidangan Majma’ al-Fiqh al-Islami di Kuwait pada 1988 telah membuat beberapa ketetapan.

Yang pertama, haramnya menghilangkan kemampuan reproduksi daripada lelaki atau pun wanita, iaitu pemandulan. Pengecualian diberikan dalam kes-kes darurat yang perlu ditimbang dengan ukuran yang syarak.

 

Yang kedua, dibolehkan untuk mengawal secara sementara kemampuan reproduksi dengan tujuan menjarakkan antara tempoh kehamilan atau menghentikan bagi tempoh tertentu jika terdapat keperluan yang diambil kira oleh syarak berdasarkan persetujuan pasangan. Dengan syarat kaedah kawalan untuk tidak mendatangkan mudarat, berdasarkan kaedah yang tepat dengan syariat, dan tidak menzalimi kandungan yang sedia ada.

 

Justeru, vasektomi dibolehkan sekiranya terdapat faktor kesihatan yang termasuk dalam pertimbangan syarak, seperti disahkan oleh pakar bahawa boleh berlakunya penularan penyakit, kehamilan menggugat nyawa pasangan, serta kes-kes terkecuali lainnya yang bersifat darurat yang mempunyai pertimbangan ‘dhawabit’ (garis panduan) yang tersendiri.

Tarikh Input: 30/01/2024 | Kemaskini: 30/01/2024 | khairun

PERKONGSIAN MEDIA

HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
-
SXEcPAp~