Vaksin RM87.60 Sebotol | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTICLE » Vaksin RM87.60 sebotol

Vaksin RM87.60 sebotol

**Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris**
**Artikel ini telah diterbitkan di hmetro.com.my pada 5 November 2020.*
 

Gambar dari hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Harga maksimum bagi setiap satu vaksin Fasiliti Akses Global Vaksin Covid-19 (Covax) yang ditawarkan kepada Malaysia menerusi pelan peruntukan vaksin Covid-19 global adalah AS$21 (RM87.60).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, rundingan dengan Covax mengenai proses perolehan vaksin kini di peringkat terakhir.

 "Kita harap dapat tandatangani Covax dalam waktu terdekat. Cuma ingin dijelaskan Covax hanya sebahagian daripada keperluan kita dalam mendapatkan vaksin Covid-19.

"Sebahagian besar daripada perolehan ini akan dicapai menerusi rundingan dua hala dengan negara berkaitan," katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, semalam.

Khairy berkata, perbincangan yang turut membabitkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Peguam Negara itu sedang meneliti beberapa klausa perjanjian dalam Covax.

 

Antigen rangsang antibodi

Kuala Lumpur: Antigen adalah bahan utama daripada empat bahan asas yang terkandung dalam setiap vaksin yang dihasilkan.

Pakar Perunding Mikrobiologi Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Zamberi Sekawi berkata, tiga bahan utama yang lain ialah pengawet, penstabil dan antibiotik.

Menurutnya, fungsi antigen ialah merangsang tubuh untuk menghasilkan antibodi bagi membunuh virus dalam badan.

"Tindak balas antibodi ini terhasil dalam tempoh di antara seminggu hingga dua minggu selepas individu menerima suntikan vaksin.

"Ia (antibodi) menghalang individu daripada terkena jangkitan seperti influenza, polio dan meningitis (keradangan selaput otak serta saraf tunjang)," katanya.

Bagaimanapun, katanya, jenis empat bahan yang digunakan itu bergantung kepada kaedah tersendiri pengilang dalam menghasilkan vaksin.

"Gabungan empat bahan utama ini juga digunakan untuk memastikan vaksin dihasilkan tahan lebih lama sehingga dua tahun.

"Selain itu, keperluan orang dewasa mengambil suntikan vaksin adalah bergantung kepada risiko mendapat sesuatu penyakit," katanya.

Beliau berkata, contoh, dalam satu kawasan, terdapat banyak kes influenza serta berbahaya kepada warga emas dan juga individu yang mempunyai penyakit kronik.

"Ia boleh menyebabkan kematian sekiranya dijangkiti virus itu dan mereka ada keperluan mengambil vaksin berkenaan.

"Golongan muda digalakkan mengambil suntikan vaksin meskipun gejala influenza dialami lebih ringan dan tidak memudaratkan kesihatan," katanya.

 

Date of Input: 30/11/2020 | Updated: 02/12/2020 | amirahhani

MEDIA SHARING

HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
-
SXEUJAO~