Pilih Paru-Paru, Bukan Asap: Strategi Berkesan Untuk Berhenti Merokok | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTIKEL » Pilih Paru-Paru, Bukan Asap: Strategi Berkesan untuk Berhenti Merokok

Pilih Paru-Paru, Bukan Asap: Strategi Berkesan untuk Berhenti Merokok

Merokok masih menjadi antara punca utama penyakit respiratori dan kematian pramatang yang boleh dicegah. Dari sudut kesihatan, isu merokok bukan sekadar berkaitan tabiat individu, tetapi melibatkan ketagihan nikotin, pendedahan asap rokok kepada bukan perokok, dan kesan kepada kesihatan dan keselamatan generasi akan datang akibat promosi dan kepelbagaian produk merokok termasuk rokok elektronik atau vape. 

Di Malaysia, Global Adult Tobacco Survey Malaysia 2023 menunjukkan bahawa 19.0% orang dewasa, iaitu kira-kira 4.8 juta orang, masih merokok. Prevalens merokok dalam kalangan lelaki adalah jauh lebih tinggi, iaitu 35.7%, berbanding 1.5% dalam kalangan wanita. Pada masa yang sama, penggunaan rokok elektronik atau vape telah meningkat kepada 5.8% orang dewasa, bersamaan kira-kira 1.4 juta orang. Dalam kumpulan umur muda, khususnya 15 hingga 24 tahun, penggunaan rokok elektronik meningkat daripada 1.1% pada 2011 kepada 8.6% pada 2023. Angka ini menunjukkan bahawa cabaran kawalan terhadap produk merokok kini bukan sahaja melibatkan rokok konvensional, tetapi juga produk nikotin seperti rokok elektronik atau vape yang semakin menarik perhatian generasi muda.

Asap rokok mengandungi ribuan bahan kimia berbahaya, termasuk tar, karbon monoksida, formaldehid, benzena, nitrosamina dan partikel halus. Bahan-bahan ini boleh menyebabkan keradangan kronik pada saluran pernafasan, stres oksidatif, kerosakan DNA, disfungsi salur darah dan kemerosotan fungsi paru-paru. Dalam jangka panjang, pendedahan berterusan meningkatkan risiko penyakit paru-paru obstruktif kronik, kanser paru-paru, penyakit jantung koronari, strok, jangkitan respiratori dan pelbagai penyakit kronik lain.

Bahaya merokok juga tidak terhad kepada perokok sahaja. Asap yang dihembuskan oleh perokok boleh dihidu oleh ahli keluarga, rakan sekerja dan orang awam. Kanak-kanak yang terdedah kepada asap rokok lebih berisiko mengalami asma, jangkitan saluran pernafasan, batuk kronik dan gangguan fungsi paru-paru. Oleh itu, persekitaran bebas asap di rumah, tempat kerja, institusi pendidikan dan kawasan awam merupakan langkah penting untuk melindungi kesihatan keluarga dan komuniti.

Kemunculan vape pula menambah cabaran baharu. Vape sering ditonjolkan sebagai produk moden dengan berbagai perisa dan dipromosikan sebagai produk yang kurang berbahaya. Namun, aerosol vape bukan wap air biasa. Pemanasan cecair vape yang mengandungi nikotin, bahan perisa, pelarut seperti propylene glycol dan vegetable glycerin dapat menghasilkan bahan kimia lain yang berbahaya kepada kesihatan seperti formaldehyde, volatile organic compound (VOC), logam berat serta partikel halus yang boleh merosakkan paru-paru. 

Nikotin ialah bahan psikoaktif yang mempunyai potensi ketagihan tinggi kerana ia merangsang pelepasan dopamin dalam sistem ganjaran otak. Dalam kalangan remaja, pendedahan kepada nikotin lebih membimbangkan kerana otak masih berada dalam fasa perkembangan, khususnya bahagian yang mengawal pembelajaran, perhatian, kawalan emosi, membuat keputusan dan kawalan impuls. Pendedahan awal kepada nikotin juga dikaitkan dengan peningkatan risiko kebergantungan nikotin serta kecenderungan kepada penggunaan bahan ketagihan lain pada kemudian hari.

Selain risiko ketagihan nikotin, vape turut dikaitkan dengan keadaan kecederaan paru-paru akut yang dikenali sebagai EVALI atau e-cigarette or vaping product use-associated lung injury. EVALI merujuk kepada kecederaan paru-paru yang berlaku akibat penggunaan produk rokok elektronik atau vape. Pesakit boleh mengalami sesak nafas, batuk, sakit dada, demam, muntah, cirit-birit, keletihan dan penurunan paras oksigen. Dalam kes yang serius, pesakit memerlukan kemasukan ke hospital, bantuan oksigen, rawatan intensif dan sokongan pernafasan.

Penyakit EVALI adalah bukti yang menunjukkan bahawa sistem paru-paru amat sensitif terhadap bahan-bahan kimia yang dipanaskan dan disedut, dan lebih membimbangkan apabila kandungan sebenar produk tidak jelas, diubah suai atau ditambah dengan dadah atau bahan-bahan berbahaya yang lain.  Selain itu, rokok elektronik atau vape juga tidak wajar dianggap sebagai rawatan untuk berhenti merokok. Penggunaan rokok elektronik atau vape sebagai rawatan berhenti merokok memerlukan kajian lanjut terutama berkaitan keberkesanan, keselamatan dan pemantauan klinikal. Sehingga kini, rokok elektronik atau vape tidak memenuhi piawaian sebagai rawatan berhenti merokok. Malah, penggunaan vape boleh menyebabkan seseorang terus bergantung kepada nikotin. Dalam banyak keadaan, pengguna tidak berhenti merokok sepenuhnya, sebaliknya menggunakan rokok dan vape secara serentak yang dikenali sebagai dual user. Akibatnya, ketagihan nikotin terus kekal dan pengguna terdedah kepada bahan berbahaya secara berterusan sehingga usaha untuk bebas sepenuhnya daripada rokok menjadi lebih sukar.

Berbeza dengan vape, kaedah berhenti merokok yang disokong oleh bukti klinikal merangkumi gabungan intervensi tingkah laku dan rawatan farmakologi. Garis panduan WHO 2024 menyenaraikan beberapa pilihan rawatan yang berkesan, termasuk varenicline, terapi gantian nikotin atau Nicotine Replacement Therapy, bupropion dan cytisine. Rawatan ini membantu mengurangkan gejala gian, mengawal keinginan merokok dan meningkatkan peluang untuk berhenti secara berterusan apabila digunakan bersama kaunseling serta susulan berkala.

Nikotin, sama ada daripada rokok konvensional dan rokok elektronik atau vape, bertindak ke atas sistem ganjaran otak dengan merangsang pelepasan dopamin. Dopamin adalah bahan kimia otak yang menyebabkan rasa seronok dan lega. Kesan ini hanya bersifat sementara, tetapi pendedahan berulang menyebabkan otak semakin bergantung kepada nikotin untuk mendapatkan rasa tersebut.

Apabila pengambilan nikotin dihentikan, tubuh boleh mengalami gejala gian seperti resah, cepat marah, sukar tidur, sukar fokus, sakit kepala, peningkatan selera makan dan keinginan kuat untuk merokok atau menggunakan vape. Gejala ini biasanya paling ketara pada fasa awal berhenti, namun boleh dikawal melalui pelan berhenti yang teratur, rawatan yang sesuai dan sokongan profesional kesihatan.

Antara langkah praktikal berhenti merokok termasuk menetapkan tarikh berhenti, mengenal pasti perkara yang mencetuskan rasa ingin merokok, membuang rokok dan peralatan berkaitan, mendapatkan sokongan keluarga, menjalani kaunseling, serta mendapatkan nasihat profesional kesihatan mengenai rawatan yang sesuai. Pencetus rasa ingin merokok seperti tekanan emosi, kebiasaan selepas makan, pengambilan minuman berkafein, aktiviti memandu atau berada dalam persekitaran sosial yang mendorong merokok perlu dikenal pasti dan diurus secara sistematik. Pencetus ini boleh digantikan dengan strategi pengalihan tingkah laku yang lebih sihat, seperti berjalan seketika, minum air, aktiviti fizikal ringan atau teknik relaksasi untuk mengurangkan keinginan merokok.

Dari sudut pencegahan, perlindungan terhadap remaja dan belia perlu menjadi keutamaan. Peningkatan penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan remaja menunjukkan perlunya pendidikan kesihatan yang lebih jelas, interaktif dan berasaskan bukti. Institusi pendidikan, keluarga, komuniti dan tempat kerja perlu membina budaya dan suasana yang bebas asap rokok dan wap vape, di samping memastikan akses kepada perkhidmatan berhenti merokok lebih mudah, mesra pengguna dan berterusan.

Kesimpulannya, merokok dan vape kedua-duanya membawa risiko kepada kesihatan paru-paru, jantung dan sistem tubuh secara keseluruhan. Strategi paling berkesan bukanlah menukar rokok kepada produk nikotin lain seperti vape, tetapi menghentikan ketagihan nikotin melalui rawatan yang terbukti secara saintifik, sokongan tingkah laku dan persekitaran yang membantu. Pilihan yang paling selamat dan paling bermakna ialah memilih paru-paru yang sihat, udara yang bersih dan kehidupan yang bebas daripada asap serta wap yang berbahaya.

Disediakan oleh:

Dr Tasnim Binti Abdul Aziz
Jabatan Perubatan
FPSK/HSAAS

Tarikh Input: 28/05/2026 | Kemaskini: 28/05/2026 | ahmadfaiq

PERKONGSIAN MEDIA

HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
-
X, (05:18:50am-05:23:50am, 18 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]