Vaksin COVID-19 Benteng Sistem Imun | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTICLE » Vaksin COVID-19 benteng sistem imun

Vaksin COVID-19 benteng sistem imun

**This article was published in Malay Language and has no translation in English**
**This article was published in www.bharian.com.my on May 30, 2021**
 
Vaksin dapat mengurangkan kebolehjangkitan dan membolehkan kes positif COVID-19 berkurangan. - Foto hiasan
 

PELBAGAI mitos mengenai vaksin. Yang pasti pengambilan vaksin tidak hanya mengurangkan gejala serius dan kes kematian membabitkan jangkitan COVID-19, tetapi bukti terbaharu menunjukkan ia dapat mengurangkan risiko penularan virus berjangkit itu kepada orang lain.

Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Zamberi Sekawi, berkata penerima vaksin COVID-19, masih boleh dijangkiti wabak itu tetapi kuantiti virus dalam badan pembawa adalah sedikit sekali gus menyebabkan kadar kebolehjangkitan atau R naught (Rt), semakin rendah."Ketika vaksin COVID-19 dihasilkan, ia direka bagi mengurangkan kematian akibat COVID-19, selain mengelak pesakit dimasukkan ke hospital dan mengurangkan gejala teruk akibat wabak ini.

"Kini bukti terbaharu menunjukkan pengambilan vaksin dapat mengurangkan kebolehjangkitan dan membolehkan kes positif COVID-19 berkurangan," katanya.

Segera daftar vaksin

Dr Zamberi berkata, individu yang tidak divaksin, mudah dijangkiti COVID-19 dan juga tidak menunjukkan sebarang gejala walaupun dia seorang pembawa.

"Kandungan virus dalam badan pembawa yang banyak menyebabkan peluang mereka menjangkiti individu lain semakin besar.

 
Prof Dr Zamberi Sekawi.
 

"Bagi yang divaksin, kemudian dijangkiti COVID-19, virus dalam badan sangat sedikit dan sukar menjangkiti orang lain. Oleh itu, mereka dinasihatkan segera mendaftar mendapatkan vaksin," katanya.

Beliau yang berkhidmat di Jabatan Mikrobiologi Perubatan, Hospital Pengajar UPM, berkata pengambilan vaksin bertujuan memberi perlindungan jangkitan COVID-19, selain penyakit difteria dan demam campak yang boleh menyebabkan kematian.

"Dengan vaksinasi seseorang mempersiapkan tubuhnya dengan 'askar' atau antibodi bagi melawan 'musuh' iaitu kuman atau penyakit.

"Jika 'musuh' datang menyerang tetapi, baru kita mahu melatih 'askar' berperang, ia sudah agak terlambat kerana tubuh mungkin terpaksa berdepan dengan kesan yang teruk akibat jangkitan itu.

"Vaksinasi memastikan penghasilan antibodi badan lebih awal bagi melawan penyakit berbahaya," katanya.

Kesan suntik vaksin

Mengenai kesan sampingan, pengambilan vaksin, ubatan dan makanan turut memberi kesan berbeza bagi setiap individu, malah ada antaranya boleh menyebabkan kematian.

Ada yang mual, muntah dan cirit-birit, ada kes yang boleh membawa maut terutama yang mendapat sindrom Steven Johnson, membabitkan sistem imun.

Malah katanya, ada individu yang tidak boleh memakan produk mengandungi kekacang kerana akan menyebabkan mereka diserang anaphylaxis (anafilaksis) iaitu reaksi alahan yang amat serius termasuk mengalami sesak nafas dan penurunan tekanan darah.

"Sekarang ramai membangkitkan isu kesan pembekuan darah susulan pengambilan vaksin AstraZeneca sedangkan kadar risikonya terlalu rendah, iaitu hanya 0.0004 peratus, iaitu hanya membabitkan empat kes dalam setiap sejuta.

"Risiko pembekuan darah bagi mereka yang dijangkiti COVID-19 dan tidak divaksin sebenarnya 40,000 kali ganda lebih tinggi iaitu membabitkan 165,000 kes bagi setiap 1,000 000," katanya.

Kesan sampingan biasa termasuk demam, letih dan lesu selepas mengambil vaksin COVID-19 menandakan tindak balas badan yang baik.

"Ia menandakan tubuh sedang menghasilkan antibodi bagi melawan virus COVID-19.

"Tindak balas sama akan dirasai individu ini sekiranya dijangkiti COVID-19 dan tidak divaksinasi. Tetapi kadar gejala dialami adalah lebih teruk," katanya.

Mengapa 2 dos vaksin?

Dua dos vaksin diperlukan bagi menentang penularan COVID-19. Ia tidak pelik, malah ada vaksin lain disuntik tiga hingga lima dos, atau perlu diulangi setiap tahun atau lima tahun.

Katanya, dos pertama akan melatih badan untuk memberi maklum balas dan merangsang penghasilan antibodi.

"Selepas dos pertama, antibodi badan terhadap virus COVID-19 akan semakin berkurangan.

"Justeru, dos kedua akan diberikan bertujuan memperkukuhkan ingatan sel memori supaya badan semakin cekap menghasilkan antibodi." katanya.

Menurut Dr Zamberi, masih awal untuk menentukan berapa lama sistem pertahanan badan akan 'kuat' daripada dijangkiti COVID-19 bagaimanapun berdasarkan pemerhatian didapati, antibodi mereka yang divaksin masih tinggi selepas enam bulan dos pertama diambil.

Tubuh mempunyai sel memori tersendiri justeru selepas dos pertama ia perlu dirangsang dengan dos seterusnya.

 
Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin kepada orang ramai bagi membasmi penularan COVID-19-19. - Foto hiasan
 

"Analoginya sama seperti proses pembelajaran yang akan memperkukuh ingatan terhadap sesuatu dipelajari melalui ulangkaji kali kedua.

"Setakat ini, berdasarkan kajian vaksin COVID-19 perlu dirangsang melalui pemberian dua dos. Pada masa depan, tidak mustahil dos ditambah terutama jika wujud mutasi baru yang lebih ganas," katanya.

Dr Zamberi berkata, di negara yang mempunyai kadar vaksinasi COVID-19 yang tinggi, kes dicatat semakin menurun malah mereka yang sudah mempunyai antibodi bagi melawan virus itu berupaya melindungi individu yang tidak divaksin.

Kajian menunjukkan vaksin memerlukan satu hingga dua minggu untuk memberi tindak balas imun.

"Tidak ada 'magic number' bagi menentukan berapa jumlah perlu divaksinasi bagi menentukan kita dapat mengelak penyebaran COVID-19, tetapi semakin ramai yang divaksin, semakin kurang peluang virus merebak.

"Sehingga kini, negara sudah mencatat lebih 7,000 kes harian, justeru lebih ramai perlu tampil untuk divaksin bagi membolehkan imuniti berkelompok dapat segera dicapai," katanya.

INFO
Pelbagai cara vaksin dihasilkan termasuk:

• Kuman didapati di persekitaran atau pesakit dijangkiti akan melalui proses dalam makmal untuk dimatikan. Kemudian dimasukkan ke dalam tubuh melalui vaksinasi

• Teknologi lebih maju ialah melalui kaedah molekular, iaitu antibodi disasarkan kepada bahagian yang kuat dan berbahaya dan bukan keseluruhan kuman.

• Terbaru, teknologi messenger asid ribonukleik (mRNA) menggunakan teknik genetik bagi menghasilkan antibodi.

• Sehingga 25 Mei lalu, seramai 1,662,273 sudah divaksinasi di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK)

• Menurut laman https://www.infosihat.gov.my, kajian klinikal vaksin dibangunkan pada masa ini tidak membabitkan kumpulan umur kanak-kanak.

• Bagi mencapai tahap imuniti, 70 ke 80 peratus rakyat di negara ini perlu mendapatkan vaksin bagi mengawal jangkitan (tempoh keberkesanan masih dikaji).

Date of Input: 31/05/2021 | Updated: 31/05/2021 | amirahhani

MEDIA SHARING

HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
-
SXEaGAv~