Tabiat Suka Kunyah Ais | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTIKEL » Tabiat suka kunyah ais

Tabiat suka kunyah ais

 

**Artikel ini telah diterbitkan di www.hmetro.my pada 5 Janurari 2022**
   

Ringkasan Artikel

Tabiat mengunyah ais ini turut dikenali paghophagia. Pagophagia dipetik dari perkataan Yunani, 'pago' yang bermaksud ais atau fros yang mempunyai kaitan dengan gejala anemia atau pica.


Oleh: Nurul Husna Mahmud

   


TABIAT atau kebiasaan mereka yang mengambil minuman berais ialah mengunyah ais. - FOTO Google

   

SATU kebiasaan bagi individu yang gemar mengambil minuman berais adalah mengunyah ketulan ais.

Percaya atau tidak, tabiat mengunyah ais meskipun pada pandangan mata ia perlakuan remeh, namun sebenarnya ada kesan lain untuk jangka panjang.

Tabiat mengunyah ais ini turut dikenali paghophagia. Pagophagia dipetik dari perkataan Yunani, 'pago' yang bermaksud ais atau fros yang mempunyai kaitan dengan gejala anemia atau pica.

Anemia adalah penyakit berkait dengan kekurangan zat besi dalam darah selain mempunyai gejala masalah gangguan permakanan, pica.

Biarpun tabiat itu dilihat tidak memberi impak yang serius, namun untuk jangka panjang terdapat komplikasi buruk terhadap kesihatan gigi.

Dalam satu artikel yang ditulis doktor pergigian, Dr Muhammad Iqbal dari Medical Mythbuster Malaysia tabiat suka mengunyah ais boleh menyebabkan kehilangan struktur gigi yang bersifat mikro.

"Makin banyak dan lama anda kunyah ais, makin banyak struktur gigi yang hilang. Ini dinamakan abfraksi.

"Gigi anda akan berlubang, tapi bukan berlubang macam tidak gosok gigi. Sebaliknya gigi anda akan 'berlekuk', terutama di bahagian leher gigi.

"Ini disebabkan kesan trauma yang berpanjangan ke atas gigi akibat kerap mengunyah sesuatu yang keras seperti ais," katanya.

 
AIS antara sajian pilihan ketika cuaca sejuk. - FOTO Google
 
KEROSAKAN struktur gigi antara kesan mereka yang gemar mengunyah ais. - FOTO Google
 

Menurutnya, kesan daripada abfraksi ini akan menyebabkan gigi lama-kelamaan menjadi sensitif dan jika tak dibendung, gigi boleh patah atau pecah kerana banyak strukturnya yang hilang tanpa disedari.

Pengamal perubatan pergigian itu turut berkongsi pengalaman bersama pesakit yang mempunyai tabiat suka mengunyah ais.

"Saya pernah berhadapan seorang pesakit yang mengadu gigi geraham dia pecah. Bila saya periksa, mulutnya bersih dan gigi semua tidak rosak kecuali yang pecah satu gigi saja.

"Dia ada tabiat mengunyah ais lepas makan di kedai. Sambil berborak-borak dia ambil seketul ais dan kunyah. Lepas satu, satu.

"Pecah gigi dia sampai nampak saluran akar. Eh tak sakit ke? Dia jawab tak. Maknanya bukan sahaja gigi pecah, tapi saluran saraf mengalami trauma. Terus 'mati mengejut.' Jadi, untuk rawat gigi dia, kena buat rawatan saluran akar (root canal treatment) dulu, baru tampal dan sarung gigi (crown)," katanya.

Sementara itu, Pegawai Psikologi Hospital Pengajar, Universiti Putra Malaysia (UPM) Rafidah Sadarudin berkata, tabiat bermula dengan satu tingkah laku yang dibentuk hasil pemikiran dan perasaan dialami.

"Tabiat terbentuk akibat perlakuan yang konsisten. Ada tabiat yang boleh jadi ikutan dan memudaratkan. Tabiat bagus perlu diteruskan kerana memiliki manfaat kepada individu.

"Namun tabiat yang tidak baik dan memberi kesan buruk wajar dihindari sebagai contoh tabiat mengunyah ais yang dipercayai dapat memberi kesan buruk terhadap kesihatan gigi.

"Meskipun kesan buruk tidak datang serta-merta, namun maklumat yang dikongsi sumber yang ada kredibiliti perlu diberi perhatian dan diambil berat bagi memastikan kelangsungan tabiat terbabit dihentikan," katanya.

 

ANEMIA iaitu sejenis penyakit kekurangan zat besi dalam sel darah juga dikatakan pencetus kepada tabiat gemar mengunyah ais. - FOTO Google
 

Tidak dinafikan kata Rafidah, tabiat yang juga suatu kebiasaan sukar diubah dan perlu ada komitmen daripada individu berkenaan bagi memastikan ia tidak berulang.

"Sebenarnya untuk sesuatu tabiat itu kekal dalam diri individu adalah atas pilihan mereka sendiri. Tabiat ini ada kaitan juga dengan pemikiran. Maklumlah apabila sudah ada ingatan mengenai sesuatu perkara, individu terdorong untuk bereaksi mengikut keselesaan dan kebiasan.

"Pemikiran ini perlu diubah bagi mengubah tabiat buruk terutamanya. Kena ada kesedaran termasuk merasionalkan kesan buruk jika tabiat itu tidak diubah. Kena bina memori atau ingatan baharu sebagai contoh impak yang bakal dihadapi jika tabiat itu dikekalkan.

"Seperti tabiat mengunyah ais, kesan pastinya gigi rosak dan pelbagai lagi termasuk gangguan pada saraf akibat terdedah terlalu lama pada suhu ais yang terlalu sejuk. Mungkin boleh kaitkan dengan keadaan ngilu dan tidak selesa seperti gigi mula rosak atau berlubang," katanya.

Katanya, keadaan itu juga bukan sahaja mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan, tetapi boleh memberi kerugian apabila terpaksa membelanjakan wang untuk membiayai kos rawatan.

Justeru, beberapa kaedah perlu diambil individu yang mahu menghentikan tabiat buruk mengikut saranan pakar berkenaan.

1. Ubah pemikiran ke arah sesuatu yang lebih positif

Dengan tindakan tidak mengunyah ais, individu yang minum bersama kawan atau ahli keluarga memiliki kesopanan dan tertib di meja yang lebih baik. Ini kerana ada kalanya sikap mengunyah ais tidak disenangi orang sekeliling yang turut menikmati hidangan atau minuman di ruang sama.

2. Mulakan dengan azam

Sempena tahun baharu, jadikan itu salah satu senarai azam yang perlu digapai dalam tempoh jangka pendek bagi membaiki kualiti hidup. Jadikan tabiat baik sebagai pengganti kepada tabiat buruk yang ingin dihindar.

Tidak mengunyah ais boleh ditukar dengan pengambilan air suam atau air kosong lebih baik untuk kesihatan diri.

3. Letakkan sasaran termasuk mengenal pasti komponen perubahan yang diinginkan daripada tabiat buruk terbabit.

Bagi mengubah tabiat buruk, perlu tahu tujuan dan apa komponen tabiat itu yang ingin diubah dengan jelas. Letakkan garisan permulaan dan sasaran ingin dicapai. Susuli dengan latihan yang berulang untuk biasakan diri.

 
   
  Puan Rafidah binti Sadarudin
Pakar Psikologi Kanan
Unit Kaundeling dan Kerja Sosial Perubatan
Hospital Pengajar UPM (HPUPM)
Emel: fida@upm.edu.my
No.HP: 03-9769 9724

Tarikh Input: 07/01/2022 | Kemaskini: 28/08/2023 | amirahhani

PERKONGSIAN MEDIA

HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
-
SXEQMA7~