Saiz Ruang Memuatkan 20 Orang Perlu Diberi Perhatian | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTIKEL » Saiz ruang memuatkan 20 orang perlu diberi perhatian

Saiz ruang memuatkan 20 orang perlu diberi perhatian

*Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris
*Artikel ini telah diterbitkan di bharian.com.my pada 10 Mei 2020

Profesor Emeritus Datuk Dr Lam Sai Kit, Universiti Malaya (UM).

Profesor Emeritus Datuk Dr Lam Sai Kit, Universiti Malaya (UM).

Oleh : Suzalina Halid | suzalina@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Saiz kawasan atau ruang tamu yang dibenarkan untuk aktiviti ziarah dengan had maksimum 20 orang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seharusnya diperincikan bagi mengelak kemunculan kluster COVID-19 baharu.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Halimatus Sakdiah Minhat, berkata sukar untuk mengaplikasikan penjarakan sosial jika 20 orang berkumpul dalam ruang rumah yang sempit dan tertutup.

Beliau berkata, ruang tertutup seperti di dalam rumah seharusnya tidak dibolehkan aktiviti pengumpulan beramai-ramai kerana pengudaraan yang tidak cukup memudahkan penularan wabak.

"Kalau kata 20 orang itu membabitkan ruang dan kawasan yang bagaimana, sebab tidak semua rumah boleh menampung jumlah begitu...jika tidak diperincikan, tidak mustahil kluster baharu wujud.

"Kalau contoh rumah PPR (Projek Perumahan Rakyat) adalah mustahil 20 orang itu boleh wujudkan penjarakan sosial, ia akan meningkatkan risiko penularan," katanya ketika dihubungi BH, di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, bagi perumahan bertingkat seperti pangsapuri dan flat mungkin boleh dilaksanakan alternatif seperti mengadakan aktiviti ziarah di ruang terbuka di tapak kediaman dengan pemantauan ahli jawatankuasa (AJK) kawasan berkenaan.

"Ia bagi mengelakkan aktiviti berkumpul beramai-ramai di dalam rumah. Kita tidak boleh nafikan wujud kemungkinan aktiviti ziarah dalam jumlah besar kerana ramai penghuni di situ selain mereka tidak dibenarkan pulang ke kampung merentasi negeri, " katanya.

Beliau berkata, bagi pelaksanaan PKPB yang dilanjutkan sehingga 9 Jun ini, mungkin sudah tiba masa kerajaan meletakkan kepercayaan dan rasa tanggungjawab kepada rakyat dalam menangani risiko COVID-19 rentetan kejayaan penurunan kes direkodkan sepanjang PKP sebelum ini.

Katanya, kejayaan negara mengawal COVID-19 bukan sahaja disebabkan komitmen Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam melakukan saringan dan kawalan pergerakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) namun juga disumbangkan oleh kepatuhan sebahagian besar rakyat sendiri.

Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya menyebut, kerajaan membenarkan aktiviti ziarah terhadap jiran terdekat dan keluarga dalam negeri yang sama, dengan had maksimum 20 orang pada satu-satu masa.

Kelonggaran itu diberikan kepada rakyat yang menyambut tiga perayaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa hingga 9 Jun ini, iaitu Aidilfitri, Pesta Keamatan dan Hari Gawai.

Sementara itu, Pakar Virologi dari Universiti Malaya (UM), Prof Emeritus Datuk Dr Lam Sai Kit, berkata pihaknya berharap kelonggaran diberikan kerajaan sepanjang musim perayaan ini tidak disalahgunakan, sekali gus tidak mengakibatkan peningkatan kes.

Beliau berkata, kerajaan sudah meletakkan kepercayaan kepada rakyat melalui pemerkasaan komuniti dan menjadi tanggungjawab bersama untuk menghormatinya.

"Tidak ada yang mahu melihat peningkatan semula kes COVID-19 dan pelaksanaan PKPB, saya gembira dengan kelonggaran diberikan ini kerana ia berupaya menggembirakan ramai orang khususnya yang sudah terpisah dengan ahli keluarga mereka.

"Walaupun jumlahnya terbatas hanya 20 orang, ia lebih baik daripada peraturan ketat yang dilaksanakan sebelum ini dan menjadi tanggungjawab tuan rumah untuk mengawal jumlah kunjungan, " katanya.

Pada masa sama Dr Sai Kit, berkata dengan lanjutan PKPB hingga 9 Jun, tempoh sebulan itu akan membolehkan kerajaan melihat sama ada perintah kawalan ini mempunyai kesan terhadap kes COVID-19 di negara ini.

"Berikutan jumlah kes harian COVID-19 tidak turun dengan secukupnya, lanjutan tempoh PKPB amat disarankan kerana ketika Hari Raya biasanya terdapat banyak pergerakan," katanya.

Tarikh Input: 12/05/2020 | Kemaskini: 12/05/2020 | hirfarizan

PERKONGSIAN MEDIA

HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
-
SXDdRA7~