Kusangka Ketumbit Rupanya Barah... | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTIKEL » Kusangka ketumbit rupanya barah...

Kusangka ketumbit rupanya barah...

**Artikel ini telah diterbitkan di www.hmetro.com.my pada 10 Mei 2022**
   

Ringkasan Artikel

Tumor kelenjar sebaceous ada jenis malignan (barah) dan manifestasinya boleh menyerupai ketumbit yang timbul berulang kali di tempat sama.


Oleh: Nor 'Asyikin Mat Hayin (asyikin.mat@hmetro.com.my)

HAMPIR semua orang pernah mengalami masalah ketumbit pada kelopak mata. Mereka yang mengalaminya akan berasa sakit, merah pada permukaan kulit, pedih dan gatal, selain benjolan dipenuhi nanah.

Penyakit ini sering dijadikan bahan gurauan apabila dikaitkan dengan perbuatan mengintai orang terhadap individu yang mengalami masalah itu.

Meskipun sekadar gurauan, masyarakat perlu mengambil serius dengan 'ketumbuhan' ini.

Ini kerana ia berisiko menjadi bahaya sekiranya benjolan yang disangka ketumbit itu sebenarnya tumor kelenjar sebaceous.

Tumor kelenjar sebaceous ada jenis malignan (barah) dan manifestasinya boleh menyerupai ketumbit yang timbul berulang kali di tempat sama.

Pakar Oftalmologi Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM) Prof Madya Dr Muhammad Mohd Isa berkata, barah ini dikenal pasti selepas pemeriksaan sampel tisu ketumbit dilakukan menggunakan mikroskop.

Menurutnya, pemeriksaan ini dilakukan apabila ketumbit tumbuh berulang kali di tempat sama, walaupun setelah rawatan 'incision and curettage' (I&C) dilakukan.

"Barah jenis ini biasanya merebak secara setempat dan pesakit kebiasaannya perlu menjalani pembedahan membuang sebanyak mungkin kelopak mata yang terbabit dengan sel barah.

"Sebahagian atau keseluruhan kelopak mata pesakit barah kelenjar sebaceous perlu dibuang bagi mengelakkan barah merebak ke bahagian di sekelilingnya.

"Seterusnya pesakit akan menjalani rawatan pembedahan plastik untuk menampal atau menggantikan bahagian kelopak mata yang sudah dibuang,"katanya.

Dr Muhammad berkata, ketumbit ialah benjolan pada kelopak mata.

Jelasnya, terdapat tiga jenis ketumbit iaitu 'internal hordeolum', 'external hordeolum' dan 'chalazion'.

"Penyakit ketumbit 'external hordeolum' adalah radang atau jangkitan yang membabitkan kelenjar zeis, kelenjar moll atau kelenjar peluh di lamela anterior kelopak mata.

"Ketumbit 'internal hordeolum' pula membabitkan kelenjar meibomian di lamella posterior," katanya.

Mengulas lanjut Dr Muhammad berkata, kelenjar meibomian berperanan mengeluarkan rembesan berminyak yang berfungsi untuk menstabilkan lapisan air mata.

"Rembesan ini akan melapisi permukaan air mata yang menyelaputi permukaan mata.

"Lapisan berminyak ini akan menghalang lapisan air mata daripada tersejat dan menyebabkan permukaan mata menjadi kering.

"Kedua-dua keadaan 'internal' dan 'external' 'hordeolum' ini bermanifestasi seperti bisul iaitu benjolan, kulit menjadi merah dan menyakitkan.

"Gejala ini akan hilang apabila keadaan radang atau jangkitan telah tiada," katanya.

Katanya, ketumbit jenis 'chalazion' terhasil susulan selepas bengkakan 'internal hordeolum' atau 'external hordeolum' surut, apabila rembesan berminyak kelenjar meibomian terkumpul disebabkan sumbatan pada saluran kelenjar meibomian.

"Rawatan I&C adalah prosedur 'pembedahan' untuk membuang benjolan ketumbit chalazion.

"Pesakit terlebih dahulu diberikan ubat bius setempat, sebelum prosedur ini dimulakan. Sejenis alat khas akan digunakan untuk mengepit dan menterbalikkan kelopak mata yang terbabit.

"Selepas membuat torehan pada bahagian dalam kawasan kelopak mata yang membengkak, doktor akan memasukkan alat seperti pengorek telinga untuk mengeluarkan rembesan (secretion) daripada kelenjar meibomian yang terkumpul," katanya.

Mengenai rawatan ketumbit kata Dr Muhammad berkata, ketumbit yang masih membengkak kemerahan tidak boleh menjalani I&C untuk mengeluarkan isi ketumbit.

Jelasnya, dalam keadaan ini, lazimnya doktor akan memberikan ubat antibiotik, ubat titis, ubat krim dan tuam dengan tuala yang direndam bersama air suam supaya bengkak ketumbit berkurangan.

"Setelah bengkak hilang, barulah prosedur I&C dilakukan menggunakan alat khas". katanya.

Katanya, dalam tempoh satu hingga dua minggu selepas prosedur itu, bengkakan itu akan pulih sepenuhnya.

"Pesakit mempunyai masalah kulit muka serta wanita yang gemar memakai mekap di sekitar kelopak mata seperti pembayang mata, celak mata dan sebagainya, terdedah untuk mendapat ketumbit.

"Ini disebabkan risiko sumbatan kepada saluran kelenjar meibomian," katanya.

Ditanya langkah untuk mencegah masalah ketumbit Dr Muhammad berkata, selalu membersihkan kelopak mata terutama wanita yang gemar menggunakan mekap sekitar kelopak mata.

"Cara untuk mencucinya ialah menggunakan syampu bayi yang dicampur sedikit air.

"Tarik kelopak mata menjauhi bola mata, kemudian gosok di sepanjang bulu mata menggunakan putik kapas dan selepas itu bilas dengan air", katanya.

 

Tarikh Input: 19/08/2022 | Kemaskini: 19/08/2022 | amirahhani

PERKONGSIAN MEDIA

HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
-
SXESTAC~