Jika Ibu Sakit, Rumah Tangga Terganggu | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTIKEL » Jika ibu sakit, rumah tangga terganggu

Jika ibu sakit, rumah tangga terganggu

Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris

Artikel ini telah diterbitkan di bharian.com.my pada 2 Disember 2020.

KUALA LUMPUR: Lebih ramai golongan suri rumah yang mengalami tekanan darah tinggi berisiko mengganggu perkembangan positif institusi kekeluargaan di negara ini.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Halimatus Sakdiah Minhat, berkata ini kerana wanita sama ada suri rumah atau yang bekerja memainkan peranan yang sangat penting dalam urusan rumah tangga dan keluarga.

Sehubungan itu katanya, apabila kesihatan seseorang isteri atau ibu terjejas, ia sekali gus akan memberikan impak buat keseluruhan institusi kekeluargaan terbabit.

"Atas sebab itu, suri rumah perlu diberi kesedaran mengenai bahaya tekanan darah tinggi dan implikasinya kepada diri sendiri serta keluarga.

"Kemudian sokongan dari keluarga terutama suami penting dalam mengurangkan tekanan dialami oleh isteri dengan memberikan sokongan mental dan fizikal," katanya ketika dihubungi BH, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kajian Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) bahawa sebanyak 34.7 peratus suri rumah mengalami tekanan darah tinggi, sekali gus menjadi golongan paling ramai menghidap penyakit itu berbanding mereka yang bekerja sendiri, sektor swasta dan kerajaan.

Pada masa sama, Dr Halimatus Sakdiah, berkata, golongan suri rumah perlu mengelakkan daripada terlalu mementingkan kesempurnaan kerana sifat itu boleh mendorong kepada berlakunya tekanan.

Katanya, terdapat juga suri rumah kurang berpeluang melakukan saringan kesihatan kerana kekurangan masa dan keutamaan yang diberikan kepada urusan rumah tangga berbanding kesihatan sendiri.

"Golongan wanita mempunyai fasa unik dalam kehidupan yang menjadikan mereka golongan yang lebih rentan kepada masalah tekanan darah tinggi," katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Sumitra Visvanathan, berkata kerajaan dicadang mengadakan pembiayaan insurans automatik MySalam kepada golongan suri rumah kerana mereka terdedah kepada risiko penyakit seperti darah tinggi.

Beliau berkata, ia boleh menjadi langkah jangka pendek sementara menjadikan Malaysia sebagai model pembiayaan insurans kesihatan universal yang boleh melindungi suri rumah pada masa depan.

"Ini adalah fenomena membimbangkan kerana suri rumah mengalami situasi yang tertekan dan banyak lagi kesan buruk ke atas kesihatan mereka berbanding dengan golongan yang bekerja sepenuh masa.

"Mereka yang bertanggungjawab terhadap kerja rumah dan anak adalah antara golongan yang berisiko tinggi kerana kekurangan akses kepada perlindungan sosial seperti insurans kesihatan yang diberikan di tempat kerja biasa.

"Risiko kesihatan ini diakibatkan oleh tahap pendapatan dan pembiayaan insurans yang lebih rendah dalam kalangan golongan suri rumah yang kebanyakannya terdiri daripada wanita, " katanya.

Tarikh Input: 29/12/2020 | Kemaskini: 29/12/2020 | k_haryati

PERKONGSIAN MEDIA

HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
-
SXDcQA3~