Elak Penularan Virus Hepatitis E Tikus | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTIKEL » Elak penularan virus hepatitis E tikus

Elak penularan virus hepatitis E tikus

*Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris
*Artikel ini telah diterbitkan di bharian.com.my pada 30 Mei 2020

PENYAKIT hepatitis E boleh disebarkan menerusi tikus. Gambar hiasan

PENYAKIT hepatitis E boleh disebarkan menerusi tikus. Gambar hiasan

Kes jangkitan virus Hepatitis E tikus kepada manusia pernah dilaporkan di Hong Kong, meskipun tiada bukti jelas berkaitannya, namun ia sewajarnya diberi perhatian untuk memastikan ia tidak menjadi pandemik dunia.

Malah, penemuan wabak hepatitis yang disebarkan menerusi tikus dalam kalangan populasi Hong Kong dan tidak diketahui cara virus ini disebarkan seperti dilaporkan di negara itu menarik perhatian untuk dilihat secara menyeluruh.

 Prof Perubatan Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Zamberi Sekawi, berkata penyakit hepatitis yang dimaksudkan itu disebar oleh virus hepatitis E, iaitu bukan virus yang baharu dikesan.

Katanya, virus ini serupa dengan virus hepatitis A di mana jangkitannya berkaitan dengan jangkitan secara laluan tinja-oral, iaitu melalui makanan yang tercemar disebabkan oleh keadaan persekitaran yang tidak bersih.

Penyakit hepatitis E boleh juga disebabkan dengan memakan haiwan seperti babi dan haiwan liar seperti rusa.

Kebanyakan manusia akan menghadapi simptom yang tidak teruk. Sebahagian pesakit akan mengalami jangkitan hepar menyebabkan mereka merasa demam dan jaundis iaitu kekuningan pada kulit dan mata.

Wanita hamil berisiko untuk mendapat penyakit lebih teruk dan boleh mendatangkan kematian disebabkan oleh kegagalan hepar.

"Seperti pada negara lain, Malaysia juga tidak mengesan penyakit ini secara rutin, menyebabkan beban penyakit ini tidak diketahui dengan tepat pada masa ini.

"Kajian saya dalam kalangan pesakit yang menghadapi jangkitan hepatitis B, mendapati 10 peratus pesakit juga pernah dijangkiti oleh virus hepatitis E," katanya.

Dr Zamberi berkata, kajian penyelidik tempatan lain juga mendapati hepatitis E pernah menjangkiti populasi di luar bandar pada kadar lima hingga 50 peratus.

"Kajian ini turut mendapati faktor penyebab berkemungkinan adalah pemakanan yang tidak sihat, kurang kebersihan di rumah, pembuangan sampah tidak teratur dan memakan haiwan liar.

"Ini menunjukkan penyakit ini menular di komuniti tetapi kita tidak dapat menganggarkan berapa seriusnya penularan ini.

 

Prof Dr Zamberi Sekawi
Prof Dr Zamberi Sekawi

 

"Apa yang membimbangkan adalah kesan jangka masa panjang, iaitu penyakit ini mungkin akan membebankan masyarakat jika kita tidak menanganinya di peringkat awal.

"Kaitan penularan virus ini dengan tikus bukan suatu penemuan yang baharu. Tikus sudah lama disyaki berpotensi untuk merebakkan virus ini," katanya.

Beliau berkata, dalam konteks Malaysia wajar diselidiki sejauh mana seriusnya penularan ini dan sekiranya dapat dibuktikan tikus menjadi punca utama hepatitis E di negara ini, langkah drastik diperlukan bagi mengurangi populasi tikus berkenaan.

Katanya, sebagaimana yang diketahui umum, tikus juga adalah pembawa kepada penyakit berjangkit lain seperti leptospirosis (penyakit kencing tikus), salmonelosis, demam hantavirus dan sampar (plag) bubonik.

Masyarakat seharusnya memainkan peranan penting dalam menjaga kebersihan supaya tidak mengundang tikus dan menggalakkan pembiakan tikus.

"Sampah hendak dibuang secara teratur dan tidak dibuang di merata tempat.

"Kita harus mempelajari daripada situasi kes leptospirosis yang meningkat disebabkan oleh tingginya populasi tikus.

"Apabila populasi tikus dapat dikurangkan, kes leptospirosis pun berkurang dan tidak banyak dikesan," katanya.

Selain itu, keupayaan fasiliti kesihatan untuk mengesan penyakit ini adalah penting. Ketika ini, doktor tidak mengesyaki hepatitis E sebagai diagnosis utama jika pesakit datang dengan jaundis.

Apabila jaundis dibuktikan bukan disebabkan oleh hepatitis A atau B, maka ujian hepatitis E akan dijalankan, hanya sekiranya ujian ini ada ditawarkan di hospital berkenaan.

Kebanyakan hospital di Malaysia tidak mempunyai ujian ini menyebabkan kes hepatitis E kurang dikesan dan dilaporkan.

Apa yang jelas adalah penyakit hepatitis E ini boleh dicegah dengan mudah dengan mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi, penyediaan makanan dan minuman bersih dan bebas daripada kotoran.

Makanan dan minuman dimasak dengan cara betul dengan memastikan tiada yang mentah.

"Segala sisa makanan harus dibuang dengan baik dan teratur. Kebersihan kendiri juga penting dan sentiasa diamalkan," katanya.

Tarikh Input: 01/06/2020 | Kemaskini: 01/06/2020 | hirfarizan

PERKONGSIAN MEDIA

HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
-
SXDdAAS~