Serdang: Selama 16 tahun melakukan tugas sebagai pakar patologi yang mendiagnos beratus pesakit barah kolorektal karsinoma (barah pada usus besar atau rektum).
Namun, Prof Madya Dr Norhafizah Mohtarrudin tidak menyangka beliau akhirnya turut didiagnos menghidap penyakit berkenaan pada Jun tahun lalu.
Dr Norhafizah berkata, beliau sangat terkejut mengetahui barah kolorektal dihidapinya adalah tahap empat dan sel barah sudah merebak ke hati serta paru-paru.
"Sebelum ini saya mempunyai tanggapan bahawa pakar perubatan tidak akan mengalami barah kolorektal karsinoma kerana arif dengan penyakit berkenaan.
"Tambahan pula, saya mengamalkan gaya hidup dan pemakanan sihat.
"Bagaimanapun, terbukti tanggapan ini salah dan sebenarnya semua orang berisiko menghidap barah," katanya ketika ditemui dalam program Hari Kesedaran Kanser Kolorektal Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM) 2022.
Menurutnya, dugaan hidupnya bermula dengan gejala sakit dialami di bahagian abdomen yang teruk selama dua hari disertai bunyi perut kuat dan muntah.
"Saya menjalani pemeriksaan dan disahkan menghidap barah kolorektal tahap empat. Keadaan barah sangat teruk, saya terpaksa menjalani prosedur pembedahan emergency laparotomy.
"Sepanjang menjalani kehidupan sebagai pesakit barah, saya dilalui dihantui perasaan takut kerana ia seperti satu tempoh di antara hidup atau mati," katanya.
Dr Norhafizah yang juga pensyarah di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM berkata, beliau memperbanyakkan amalan kerohanian untuk membina semula kekuatan fizikal, mental dan emosi.
Katanya lagi, setiap hari beliau akan bersama ustazah mengaji al-Quran selama satu jam hingga berjaya khatam dalam tempoh tiga bulan.
"Saya bersyukur mendapat sokongan baik daripada rakan sekerja dan keluarga. Ini sangat membantu pemulihan emosi yang sebelum ini seakan sudah putus harapan.
"Penyakit ini turut menjejaskan fungsi buah pinggang saya yang turut didiagnosis sakit buah pinggang kronik (CDK).
"Saya baru selesai menjalani lapan sesi rawatan kemoterapi dan akan menjalani rawatan kemoterapi pusingan kedua.
"Saya akan berjuang melawan penyakit ini sepenuhnya hingga dapat menjalani kehidupan dan kembali bekerja seperti biasa,"katanya.
Menurunya, beliau seorang yang sangat komited dengan tugas dan tidak pernah mengambil cuti sakit selama hampir 20 tahun bertugas dalam bidang kesihatan.
"Kehidupan saya sudah berubah 180 darjah selepas menjadi pesakit barah kolorektal karsinoma yang kini terpaksa mengambil cuti sakit selama hampir setahun.
"Tempoh enam bulan pertama selepas menjalani pembedahan dan rawatan kemoterapi adalah tempoh sangat sukar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan 'baharu' itu.
"Badan saya lemah, tidak boleh melakukan rutin harian dan bekerja. Setiap kali membaca jurnal atau tesis pelajar akan membuatkan pening kepala.
"Ini 'rutin' sangat berbeza dengan diri saya yang sebelum ini adalah seorang kuat bekerja," katanya.
Periksa najis sendiri bantu kesan barah
"Langkah awal melakukan ujian kendiri memeriksa najis untuk melihat terdapat kesan darah atau tidak, membantu mengesan awal barah kolorektal yang saya hadapi.
"Kesedaran ini atas saranan dua kenalan yang beberapa kali memberi saya nasihat mengenai perkara itu, yakni bentuk najis memberi tanda-tanda masalah kesihatan dihadapi," kata Datuk Rosdi Wah.
Beliau ialah pesakit barah kolorektal tahap satu dan bertugas sebagai Ketua Pentadbiran Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Putra Malaysia.
Menurutnya, beliau didiagnos penyakit berkenaan Oktober tahun lalu, melakukan pemeriksaan itu selama beberapa bulan dan menemui kesan darah pada najisnya.
"Peringkat awal, saya menyangka ia mungkin ada luka dalam usus yang berpunca daripada mengambil minuman limau nipis berlebihan.
"Saya menghentikan pengambilan minuman limau nipis selama beberapa bulan, tetapi masih terdapat kesan darah pada najis.
"Ini mendorong saya membuat pemeriksaan di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM). Hasil pemeriksaan mendapati terdapat polip pada usus yang sudah menjadi barah," katanya.
|