SOLAT JUMAAT SULUNG DI HSAAS | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» BERITA » SOLAT JUMAAT SULUNG DI HSAAS

SOLAT JUMAAT SULUNG DI HSAAS

SERDANG, 9 Januari 2026Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mencatat satu detik bersejarah apabila Solat Jumaat pertama berjaya dilaksanakan dengan lancar dan penuh keberkatan di perkarangan hospital berkenaan.

Pelaksanaan Solat Jumaat sulung ini merupakan satu pencapaian bermakna dalam usaha memperkukuh pengimarahan syiar Islam serta memenuhi keperluan rohani warga kerja dan pesakit di HSAAS. Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen pihak pengurusan hospital dalam menyediakan kemudahan ibadah yang lebih sempurna, selaras dengan peranan HSAAS sebagai hospital pengajar yang holistik dan berteraskan nilai-nilai murni.

Majlis bersejarah ini telah diserikan dengan kehadiran Naib Canselor UPM, YBhg. Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan bin Mohd Sadullah, serta Al-Fadhil Ustaz Mohd Kamal bin Hassan dari Pejabat Agama Islam Daerah Sepang. Solat Jumaat tersebut telah diimamkan oleh Ustaz Ahmad Muaz bin Yahya, manakala khutbah yang disampaikan menekankan kepentingan kesatuan ummah, integriti dalam perkhidmatan serta tanggungjawab sebagai khalifah dalam menjalankan amanah pekerjaan.

Kehadiran jemaah yang memenuhi setiap saf bukan sahaja menggambarkan sambutan yang amat menggalakkan, malah melambangkan kesatuan dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga hospital. Suasana penuh khusyuk dan tertib sepanjang pelaksanaan ibadah ini jelas memperlihatkan keterujaan serta rasa syukur atas peluang yang diberikan untuk menunaikan kewajipan Solat Jumaat di premis sendiri.

Pelaksanaan Solat Jumaat ini juga dilihat sebagai langkah signifikan dalam memperkukuh kesejahteraan spiritual warga kerja, seterusnya menyumbang kepada persekitaran kerja yang lebih harmoni dan seimbang antara tuntutan duniawi dan ukhrawi.

Semoga Allah SWT memberkati usaha murni ini, menerima segala amal ibadah yang dilaksanakan serta menjadikan HSAAS sebagai sebuah institusi kesihatan yang sentiasa diberkati, sejahtera dan dirahmati-Nya, insya-Allah.

Tarikh Input: 23/02/2026 | Kemaskini: 23/02/2026 | ahmadfaiq

PERKONGSIAN MEDIA

HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
-
W, (01:02:32am-01:07:32am, 23 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]