Sambutan Hari Jururawat Sedunia 2026 | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» BERITA » Sambutan Hari Jururawat Sedunia 2026

Sambutan Hari Jururawat Sedunia 2026

 
Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Jururawat Sedunia 2026 pada 12 Mei 2026 sebagai tanda penghargaan terhadap jasa, pengorbanan dan komitmen para jururawat dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, profesional serta penuh dedikasi kepada masyarakat. Sambutan yang berlangsung dalam suasana meriah dan penuh penghargaan ini menghimpunkan warga kerja HSAAS bagi meraikan peranan penting jururawat sebagai tunjang utama dalam sistem penyampaian penjagaan kesihatan.
 
 
Majlis ini telah diisi dengan pelbagai pengisian menarik dan bermanfaat termasuk sesi pembentangan abstrak hasil kajian kejururawatan, ceramah berkaitan kesejahteraan mental jururawat dan profesionalisme dalam bidang kejururawatan, tayangan montaj khas, persembahan koir serta beberapa persembahan istimewa daripada warga kejururawatan HSAAS. Selain itu, majlis turut diserikan dengan sesi penyampaian anugerah kepada jururawat dan unit cemerlang sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan prestasi, komitmen dan sumbangan mereka dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit.
 
 
Sambutan ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Pendaftar Universiti Putra Malaysia, En. Muhazam Mansor yang hadir bagi menyatakan sokongan dan penghargaan kepada seluruh warga kejururawatan HSAAS. Kehadiran beliau mencerminkan pengiktirafan universiti terhadap peranan besar jururawat dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan berkesan.
 
 
Penganjuran sambutan ini bukan sahaja menjadi platform penghargaan kepada para jururawat, malah turut memperkukuh semangat kerja berpasukan, profesionalisme serta motivasi dalam kalangan warga kejururawatan untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik demi kesejahteraan pesakit dan masyarakat.
 

Tarikh Input: 15/05/2026 | Kemaskini: 15/05/2026 | ahmadfaiq

PERKONGSIAN MEDIA

HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
-
W, (11:20:31pm-11:25:31pm, 18 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]