MAJLIS PERUTUSAN DAN AMANAT NAIB CANSELOR 2026 @ FPSK–HSAAS | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» BERITA » MAJLIS PERUTUSAN DAN AMANAT NAIB CANSELOR 2026 @ FPSK–HSAAS

MAJLIS PERUTUSAN DAN AMANAT NAIB CANSELOR 2026 @ FPSK–HSAAS

SERDANG, 11 Februari 2026 – Majlis Perutusan dan Amanat Naib Canselor 2026 telah berlangsung dengan jayanya pada jam 2.00 petang bertempat di Auditorium Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM). Majlis ini menghimpunkan warga Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) serta HSAAS dalam satu platform rasmi bagi mendengar amanat dan hala tuju strategik universiti bagi tahun 2026.

Majlis telah disempurnakan oleh Naib Canselor UPM, YBhg. Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah. Dalam amanat yang disampaikan, beliau menekankan kepentingan memperkukuh kelangsungan kecemerlangan universiti berteraskan tema “Kelangsungan True North: Menjak Puncak”. Tema ini mencerminkan komitmen berterusan universiti untuk kekal teguh dengan prinsip, nilai dan hala tuju strategik yang telah digariskan, di samping berusaha mencapai tahap kecemerlangan yang lebih tinggi dalam bidang akademik, penyelidikan, inovasi serta perkhidmatan.

Beliau turut menyeru seluruh warga FPSK–HSAAS agar terus memperkukuh budaya kerja berprestasi tinggi, berintegriti dan berfokuskan pelanggan. Penekanan diberikan terhadap kepentingan kolaborasi rentas disiplin, pemerkasaan bakat, serta penyampaian perkhidmatan kesihatan dan pendidikan yang berkualiti tinggi demi memenuhi keperluan masyarakat dan negara.

Melalui majlis ini, pelbagai pencapaian semasa universiti dan hospital turut dikongsikan, termasuk perkembangan strategik, sasaran utama tahun 2026 serta perancangan jangka sederhana dan panjang yang akan memacu UPM ke arah kedudukan yang lebih cemerlang di peringkat nasional dan antarabangsa. Perkongsian ini bukan sahaja memberi gambaran jelas mengenai hala tuju institusi, malah menjadi panduan kepada warga dalam menyelaraskan perancangan dan tindakan masing-masing.

Majlis turut menjadi platform memperkukuh semangat kebersamaan dan iltizam warga dalam mendepani cabaran semasa landskap pendidikan tinggi dan perkhidmatan kesihatan yang semakin dinamik. Suasana majlis yang penuh tertib dan komited jelas menggambarkan kesungguhan warga dalam menyokong aspirasi universiti.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih dirakamkan kepada semua warga yang hadir serta menjayakan majlis ini. Semoga intipati dan aspirasi yang dikongsikan oleh YBhg. Dato’ Naib Canselor menjadi pemangkin semangat kepada seluruh warga FPSK–HSAAS untuk terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan yang melangkaui jangkaan pelanggan, seterusnya melonjakkan UPM ke persada kecemerlangan.

Tarikh Input: 24/02/2026 | Kemaskini: 24/02/2026 | ahmadfaiq

PERKONGSIAN MEDIA

HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
-
X, (03:04:24pm-03:09:24pm, 23 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]