Virus Nipah Dijangka Kembali Menular | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTIKEL » Virus Nipah dijangka kembali menular

Virus Nipah dijangka kembali menular

**Artikel ini telah diterbitkan di www.www.hmetro.com.my pada 7 Februari 2021 @ 6:30 pagi**

Oleh Nor 'Asyikin Mat Hayin 

 

BELUM pun reda penularan wabak Covid-19, ada ramalan menjangkakan virus Nipah yang bermula di Asia akan menjadi pandemik seterusnya.

Jika ia berlaku, penduduk dunia sekali lagi perlu berdepan ancaman kesihatan yang boleh meragut nyawa.

Penyakit itu boleh mengakibatkan sehingga 75 peratus risiko kematian kepada penghidapnya.

Wabak ini pertama kali dikenal pasti di Malaysia pada 1997 apabila ia melanda Kampung Sungai Nipah dan Bukit Pelandok di Negeri Sembilan sehingga meragut 105 nyawa.

Virus Nipah ialah virus zoonotik yang boleh berjangkit daripada haiwan kepada manusia.

Pakar Perunding Mikrobiologi Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Zamberi Sekawi berkata, jangkitan ini dikatakan pandemik kerana berpotensi merebak ke seluruh dunia.

"Apabila virus ini memasuki badan manusia, ia akan menyebabkan demam, sakit kepala, sesak nafas dan kesan paling teruk ialah keradangan otak yang akhirnya mengakibatkan maut.

"Kemudian virus ini boleh bermutasi menjadikannya lebih mudah menjangkiti manusia antara manusia," katanya.

Menurut Dr Zamberi, penularan virus Nipah yang berlaku di Malaysia satu ketika dahulu disebabkan oleh kelawar.

Haiwan ini membawa banyak virus dan satu daripadanya ialah virus Nipah.

"Kelawar makan buah, buah yang sudah tercemar dengan virus Nipah jatuh di atas tanah dan dimakan khinzir lalu menyebabkan haiwan ini (khinzir) sakit.

"Khinzir mengalami batuk dan bersin lalu menyebarkan virus ini dengan menjangkiti pekerja ladang ternakan haiwan berkenaan," katanya.

Menurut Dr Zamberi, pada masa itu, pihak berkuasa terpaksa mengambil tindakan drastik membunuh khinzir bagi menghentikan penyebaran virus.

Dr Zamberi berkata, pada masa sekarang, penyakit ini dikesan di India dan Bangladesh, tetapi bukan berpunca daripada khinzir.

"Ia disebabkan penduduk minum air nira kelapa dicemari virus Nipah yang diambil daripada pokok kelapa," katanya.

Data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan, virus Nipah hanya menjangkiti 600 orang dalam tempoh 17 tahun.

 

KELAWAR membawa virus Nipah
 

 

WHO turut melaporkan, pada 2018, virus Nipah adalah masalah kesihatan awam yang serius kerana ia boleh menyebabkan kadar kematian tinggi kepada manusia dan tiada rawatan serta vaksin yang berkesan.

Ditanya mengenai langkah yang boleh diambil jika berlaku jangkitan virus Nipah, Dr Zamberi berkata, pesakit disyaki perlu diasingkan lebih awal bagi mengelak mereka menjadi rantaian penularan penyakit ini.

"Pada masa sama, pihak berkaitan akan mengesan lokasi yang menjadi punca jangkitan dan perlu membuat siasatan untuk mengenal pasti mengapa kawasan itu menjadi penyebabnya.

"Adakah terdapat banyak kelawar di kawasan berkenaan? Namun, untuk menghapuskan haiwan itu, ia bukan tindakan yang tepat kerana populasinya sangat banyak.

"Kita bimbang apabila kes melonjak, virus akan bermutasi dan menjangkiti antara manusia kepada manusia dengan mudah. Seandainya terjadi, keadaan akan menjadi rumit,

" katanya. Menurut Dr Zamberi, penularan lebih mudah dihentikan jika interaksi haiwan yang berkaitan dengan manusia dielakkan.

Dr Zamberi berkata, pada masa ini tiada ubat atau vaksin khusus untuk merawat jangkitan virus Nipah.

"Untuk membangunkan vaksin Nipah sudah tentunya membabitkan kos tinggi dan memerlukan tempoh kajian lebih panjang.

"Tambahan pula, wabak ini berlaku secara bermusim dan 'berpindah' ke lokasi berbeza disebabkan penularannya bergantung kepada interaksi manusia dengan haiwan terbabit," katanya.

Jelasnya, berbanding vaksin Covid-19, ia lebih mudah dihasilkan kerana bilangan kes yang tinggi menyebabkan kajian

klinikal boleh dijalankan dengan cepat.

"Ditambah pula teknologi baharu mRNA membolehkan vaksin ini (Covid-19) dihasilkan dengan lebih cepat," katanya.

Tarikh Input: 15/02/2021 | Kemaskini: 15/02/2021 | amirahhani

PERKONGSIAN MEDIA

HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
-
SXDdBA3~