Apabila Air Wuduk Bercampur Air Mata | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTIKEL » Apabila Air Wuduk Bercampur Air Mata

Apabila Air Wuduk Bercampur Air Mata

Di sebalik kesibukan suasana hospital, tersimpan pelbagai kisah kehidupan yang menyentuh hati. Setiap wad bukan sahaja menjadi tempat rawatan fizikal, malah menjadi ruang ujian, harapan dan pengabdian seorang hamba kepada Allah SWT dalam menghadapi kesakitan.

Sebagai Pegawai  Agama di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) Universiti Putra Malaysia (UPM), antara aktiviti yang sentiasa dilaksanakan ialah aktiviti menziarahi pesakit. Bagi memperkukuhkan usaha menyantuni pesakit secara berkala, Unit Hal Ehwal Islam, HSAAS melaksanakan salah satu inisiatif yang dinamakan sebagai Aktiviti Ziarah Mingguan (AZIM).

AZIM bukan sekadar lawatan biasa, tetapi menjadi medium mendekati pesakit dengan penuh ihsan dan kasih sayang. Melalui ziarah ini, pesakit disantuni, didengari pengalaman serta luahan kesedihan mereka, di samping diberikan bimbingan berkaitan pelaksanaan ibadah ketika sakit.

Dalam setiap sesi ziarah, kami turut menyatuni keperluan dan menerangkan kemudahan ibadah bagi pesakit seperti arah kiblat, telekung, sejadah, tayamum serta bantuan lain yang membolehkan pesakit untuk terus melaksanakan ibadah walaupun dalam keadaan uzur.

Suatu hari ketika melaksanakan AZIM, saya singgah di sebuah katil yang dihuni oleh seorang pesakit warga emas. Pakcik tersebut kelihatan keseorangan tanpa waris di sisi. Wajahnya tenang, namun jelas tersimpan rasa yang sukar diungkapkan.

Saya mengambil peluang berbual dan bertanya khabar. Perbualan yang ringkas akhirnya membawa kepada perbincangan tentang ibadah. Pakcik itu memaklumkan bahawa beliau ingin menunaikan solat, namun tidak mampu mengambil wuduk sendiri kerana keadaan fizikal yang terlalu lemah.

Lalu saya membantu beliau mengambil wuduk di katil pesakit. Dengan perlahan, saya membasuh anggota wuduk satu persatu sambil membimbing tatacara solat dalam keadaan sakit. Namun ketika sampai saat menyapu air ke wajahnya, sesuatu yang sangat menyentuh hati berlaku.

Air mata beliau mula mengalir perlahan.

Air mata itu bercampur bersama air wuduk yang membasahi wajahnya. Dalam suasana yang hening itu, saya dapat merasakan betapa seorang hamba begitu merindui untuk terus beribadah kepada Allah SWT walaupun sedang diuji dengan kesakitan dan kelemahan.

Saat itu benar-benar mengajar saya bahawa tugas menyantuni pesakit bukan sekadar memenuhi tanggungjawab kerja, tetapi merupakan satu amanah yang sangat besar nilainya. Kadangkala pesakit bukan hanya memerlukan rawatan fizikal, tetapi juga kekuatan rohani, perhatian dan insan yang sudi mendengar.

Peristiwa tersebut menjadi kenangan dan pengajaran yang amat mendalam buat diri saya. Sesungguhnya, dalam setiap ujian yang Allah SWT berikan, masih ada ruang untuk seorang hamba mendekatkan diri kepada-Nya. Bahkan mungkin dalam linangan air mata itulah lahirnya keikhlasan, keinsafan dan pengharapan yang sebenar.

Semoga pelaksanaan Aktiviti Ziarah Mingguan (AZIM) terus menjadi asbab ketenangan dan kekuatan kepada para pesakit di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), serta menjadi medium menyebarkan nilai rahmah dan Hospital Mesra Ibadah kepada seluruh warga hospital.

Disediakan oleh:

FAKHRUR RADZI BIN MUSLIM,
UNIT HAL EHWAL ISLAM,
HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH, UPM

Tarikh Input: 25/05/2026 | Kemaskini: 25/05/2026 | ahmadfaiq

PERKONGSIAN MEDIA

HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
-
W, (04:27:08pm-04:32:08pm, 28 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]