Sebar Kepentingan Jadi Penderma Organ Di Sekolah | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTIKEL » Sebar kepentingan jadi penderma organ di sekolah

Sebar kepentingan jadi penderma organ di sekolah

 

Ringkasan Artikel:

“Kerajaan perlu memperluaskan kempen menderma organ sehingga ke peringkat sekolah rendah bagi memupuk kesedaran dan kepentingan menjadi penderma pada masa hadapan.”

 

 

Oleh: Siti Noor Faezah Muda

 

SHAH ALAM - Kerajaan perlu memperluaskan kempen menderma organ sehingga ke peringkat sekolah rendah bagi memupuk kesedaran dan kepentingan menjadi penderma pada masa hadapan.

Pakar Perunding Nefrologi Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Nor Fadhlina Zakaria berkata, sebagai contoh ia boleh dijadikan salah satu topik pembelajaran dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).

"Selain itu, kempen besar-besaran melibatkan semua jenis media sosial mahupun fizikal adalah strategi efektif bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan pendermaan organ.

"Dalam pada itu, dengan asas kerajaan yang kukuh dan bersepadu, kempen kesedaran pendermaan organ boleh menjadi lebih berkesan dan mampan dalam membina pemahaman dan sokongan orang ramai terhadap proses tersebut," katanya pada Selasa.

Menurutnya, di IJN sahaja, terdapat 22 pesakit sedang menunggu penderma yang sesuai untuk melaksanakan pemindahan yang melibatkan jantung.

Mengulas lanjut mengenainya, Nor Fadhlina berkata, kurang pengetahuan menjadi faktor ramai dalam kalangan rakyat di negara ini tidak ikrar untuk derma organ.

"Mereka mungkin tidak memahami sepenuhnya proses dan faedah pendermaan organ. Kekurangan pemahaman tentang cara proses pendermaan organ berfungsi dan bagaimana ia boleh menyelamatkan atau meningkatkan kualiti hidup orang lain boleh menghalang seseorang daripada mendaftar sebagai penderma.

"Selain itu, sikap dan persepsi masyarakat mengenai pendermaan organ selepas meninggal dunia juga menjadi punca. Contohnya individu itu sudah berikrar sebagai penderma tetapi keluarga tidak membenarkan proses dilakukan (pendermaan organ selepas meninggal dunia) apabila pihak hospital memohon kebenaran waris," katanya.

 

Jelas beliau, sesetengah agama atau budaya mungkin mempunyai pandangan yang berbeza tentang pendermaan organ yang mungkin mempengaruhi keputusan seseorang individu untuk mendaftar sebagai penderma.

Katanya lagi, kemungkinan juga ada individu yang menyedari mereka mempunyai peluang untuk menjadi penderma organ namun tidak tahu cara mendaftar dan proses selanjutnya untuk berbuat demikian.

 

 **Artikel ini telah diterbitkan di https://www.sinarharian.com.my pada 13 Mac 2024

Tarikh Input: 13/03/2024 | Kemaskini: 13/03/2024 | zulaikhazaharudin

PERKONGSIAN MEDIA

HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
-
SXEbUAU~