Satu Unit Darah, Tiga Nyawa: Kenapa Anda Perlu Menjadi Penderma Darah Tetap | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA hsaas
» ARTIKEL » Satu Unit Darah, Tiga Nyawa: Kenapa Anda Perlu Menjadi Penderma Darah Tetap

Satu Unit Darah, Tiga Nyawa: Kenapa Anda Perlu Menjadi Penderma Darah Tetap

Satu Unit Darah, Tiga Nyawa
Kenapa Anda Perlu Menjadi Penderma Darah Tetap

Bayangkan satu malam di hospital. Seorang ibu kehilangan banyak darah selepas melahirkan anak. Di wad sebelah, seorang kanak-kanak thalassemia, dengan bacaan sel darah merah yang rendah sedang menunggu pemindahan darah bulanannya. Tidak jauh dari situ, mangsa kemalangan jalan raya baru sahaja ditolak masuk ke bilik bedah kecemasan. Entah berapa beg darah yang diperlukannya sepanjang pembedahan.

Tiga nyawa yang perlu dipelihara dengan tiga keperluan berbeza. Ada yang memerlukan sel darah merah, ada yang memerlukan tambahan platelet dan mungkin juga plasma darah. Dan semuanya bermula dengan pendermaan satu beg darah sahaja oleh insan berhati mulia. 

Bagaimana? Apabila anda menderma satu beg darah, ia jarang digunakan terus begitu sahaja. Lazimnya, darah itu diasingkan kepada beberapa komponen utama: sel darah merah, plasma, dan platelet. Sel darah merah perlu untuk menambah bacaan sel darah merah pesakit thalassemia. Plasma membantu pesakit yang darahnya gagal membeku dan berdarah tanpa henti. Platelet pula menyokong  pesakit kanser yang sedang menjalani kemoterapi yang tidak mampu lagi menghasilkan platelet yang mencukupi untuk dirinya. Satu pemberian anda, berpotensi membuka tiga peluang untuk terus hidup.

Kerana inilah sebabnya darah begitu berharga dan kerana nilainya yang tidak boleh dijual beli menjadi sebab ia sentiasa diperlukan untuk membantu pesakit yang memerlukan. 

Sehingga hari ini, tiada kilang yang mampu mengeluarkan darah. Para saintis masih lagi tercari-cari formula terbaik untuk mencipta darah buatan yang boleh dihasilkan di makmal dan kilang. Namun tiada lagi yang mampu menandingi darah ciptaan Tuhan yang Esa.

Darah pula ada tarikh luputnya. Sel darah merah, paling lama boleh bertahan sehingga 42 hari dan platelet hanya boleh disimpan beberapa hari sahaja.  Maknanya, stok semalam tidak menjamin bekalan untuk esok.

Setiap titis darah yang mengalir masuk ke tubuh seorang pesakit datang daripada lengan seorang penderma. Di sinilah peranan penderma tetap menjadi sangat penting.         Penderma datang dan pergi, semuanya memang dialu-alukan. Tetapi yang benar-benar menstabilkan bekalan darah negara ialah mereka yang datang  berkala dan secara tetap, tahun demi tahun. Apabila ramai menderma secara tetap, hospital tidak perlu bergantung pada kempen kecemasan setiap kali stok menyusut. Bekalan menjadi lebih boleh dikawal, dan tiada pesakit terpaksa menunggu darah yang mungkin tidak sempat tiba.

Mungkin ada penderma yang risau. Sakitkah? Selamatkah? Cucukan jarum itu hanya terasa seketika,itupun tidak ketara kerana ubat bius digunakan sebelum jarum dicucuk.  Keseluruhan proses dari pendaftaran mengambil masa sekitar sejam sahaja. Tubuh anda akan menggantikan semula darah yang diderma dalam masa beberapa minggu. Bagi kebanyakan orang dewasa yang sihat yang berusia lebih  17 tahun  dan seberat sekurang-kurangnya 45 kilogram, menderma darah langsung tidak menjejaskan kesihatan. Malah, pemeriksaan ringkas sebelum menderma membolehkan anda mengetahui tekanan darah dan paras hemoglobin sendiri.

Anda tidak perlu menjadi doktor atau adiwira untuk menyelamatkan nyawa. Anda hanya perlu hadir, jalani pemeriksaan, duduk, dan hulurkan lengan.

Justeru, apabila anda terlihat kempen derma darah di hospital atau pusat membeli-belah, jangan berlalu pergi begitu sahaja. Daftarkan diri, dan jadikan diri anda sebahagian dari keluarga besar penderma yang prihatin dan budiman. Keputusan anda boleh menyelamatkan nyawa dan memberi peluang baharu kepada pesakit.

Satu unit darah. Tiga nyawa. Dan semuanya bermula daripada keputusan yang anda buat hari ini.

Disediakan oleh,

Dr. Faridah Idris
Jabatan Patologi
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM
Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, UPM

Tarikh Input: 26/06/2026 | Kemaskini: 26/06/2026 | ahmadfaiq

PERKONGSIAN MEDIA

HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
-
X, (07:12:19pm-07:17:19pm, 11 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]