|
Hari Malaria Sedunia disambut pada 25 April setiap tahun sebagai meningkatkan kesedaran global tentang penyakit malaria. Malaria disebabkan oleh parasit darah daripada genus Plasmodium dan disebarkan melalui gigitan nyamuk betina daripada genus Anopheles. Parasit yang terdapat dalam nyamuk dipindahkan ke dalam salur darah manusia semasa gigitan. Hampir separuh daripada populasi dunia berisiko mendapat malaria. Pada tahun 2024, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan sebanyak 282 juta kes malaria dengan 610 ribu kematian di 80 buah negara. Malaria terutamanya berlaku di kawasan tropika dan subtropika, dan sebahagian besar kes dan kematian dilaporkan di rantau Afrika. Sebahagian kecil kes malaria turut dilaporkan di rantau Mediterranean Timur, Asia Tenggara dan Pasifik Barat. Sesetengah individu lebih terdedah untuk mengalami malaria yang serius. Kanak-kanak di bawah umur lima tahun, wanita hamil dan pesakit HIV/AIDS merupakan antara golongan berisiko tinggi. Selain itu, pelancong yang memasuki kawasan dengan penularan malaria yang tinggi juga berisiko dijangkiti penyakit ini. Gejala malaria biasanya muncul dalam 10–15 hari selepas gigitan nyamuk yang membawa jangkitan. Gejala awal termasuk demam, sakit kepala dan menggigil, yang sukar dibezakan daripada jangkitan lain. Oleh kerana terdapat jenis malaria yang boleh menyebabkan komplikasi serius dan kematian, diagnosis awal serta rawatan yang tepat adalah amat penting. Oleh itu, jika seseorang individu jatuh sakit dan mempunyai sejarah perjalanan ke kawasan berisiko, mereka disarankan untuk berjumpa doktor bagi mendapatkan diagnosis dan rawatan awal. Individu yang akan melancong ke kawasan berisiko malaria juga disarankan untuk mendapatkan nasihat doktor sebelum berlepas bagi menentukan langkah pencegahan yang sesuai. Berikut merupakan langkah-langkah yang boleh diamalkan oleh pelancong berdasarkan prinsip ABCDE dalam pencegahan malaria (diadaptasi daripada World Health Organization. International Travel and Health: Chapter 7 – Malaria): A – Awareness of the risk (Kesedaran risiko) Bite prevention (Elakkan gigitan nyamuk) Chemoprophylaxis (Ubat pencegahan) Diagnosis (Dapatkan diagnosis awal) Environment (Persekitaran) Kesimpulannya, malaria lazimnya terdapat di kawasan tropika dan subtropika. Penyakit ini boleh dirawat dengan diagnosis awal dan rawatan berkesan. Tanpa diagnosis awal dan rawatan yang tepat, malaria boleh menjadi serius dan membawa kepada kematian. Oleh itu, langkah pencegahan adalah amat penting, termasuk bagi pelancong yang akan ke kawasan penularan malaria. Rujukan: World Health Organization. Malaria: Questions and Answers [Internet]. Geneva: World Health Organization; [cited 2026 Apr 22]. Available from: https://www.who.int/news-room/questions-and-answers/item/malaria World Health Organization. Malaria [Internet]. Geneva: World Health Organization; [cited 2026 Apr 22]. Available from: https://www.who.int/health-topics/malaria Dewan Bahasa dan Pustaka. Ensiklopedia Penyakit Berjangkit. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka; 2023. World Health Organization. International Travel and Health: Chapter 7 – Malaria [Internet]. Geneva: World Health Organization; 2020 [cited 2026 Apr 22]. Available from: https://cdn.who.int/media/docs/default-source/travel-and-health/9789241580472-eng-chapter-7.pdf
Disediakan oleh: Prof. Dr. Syafinaz Binti Amin Nordin |
Tarikh Input: 24/04/2026 | Kemaskini: 27/04/2026 | ahmadfaiq

Persiaran Mardi - UPM
43400 Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA