Pakar Jelaskan Diet Lebih Murah, Sihat Ketika Harga Makanan Naik | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTIKEL » Pakar jelaskan diet lebih murah, sihat ketika harga makanan naik

Pakar jelaskan diet lebih murah, sihat ketika harga makanan naik

**Artikel ini telah diterbitkan di www.malaysianow.com pada 20 Julai 2022**
   

Ringkasan Artikel

Mereka mengesyorkan pengambilan protein yang lebih pelbagai dengan memasukkan pilihan berasaskan tumbuhan yang biasanya lebih murah.


Oleh: Ahmad Mustakim Zulkifli

Kenaikan harga barang makanan terutama ayam dan telur, dua sumber protein utama di negara ini mungkin mengakibatkan golongan yang tidak berkemampuan untuk memilih alternatif lain yang mengenyangkan.

Pilihan-pilihan lain itu mungkin merupakan makanan yang tidak sihat seperti makanan segera, mi segera dan makanan proses sebagai ganti kepada nutrisi mereka.

Masalah nutrisi ini membimbangkan mengambil kira 20% kanak-kanak Malaysia berusia lima tahun ke bawah mengalami masalah tumbesaran terbantut, menurut laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) pada 2019.

Bercakap kepada MalaysiaNow, pegawai dietetik hospital dari Universiti Teknologi Mara, Nor Fatimah Ishak berkata, rakyat perlu mencari alternatif protein bagi memastikan bekalan protein mencukupi untuk keperluan harian. 

Katanya, ini kerana trend ke arah makanan yang tidak sihat merupakan sesuatu yang tidak mustahil kerana rakyat Malaysia akan meningkatkan pengambilan karbohidrat berlebihan, minuman manis dan makanan ringan yang tinggi garam dan gula.

"Sumber protein yang lain adalah seperti ikan, tauhu, tempe, kekacang, makanan laut, dan daging. 

"Keperluan harian protein adalah lebih kurang empat ke lima hidangan sehari sahaja untuk memastikan protein adalah mencukupi," katanya.

Harga ayam mencecah RM9.40 mengikut kadar harga siling yang ditetapkan oleh kerajaan baru-baru ini.

Purata keperluan ayam, menurut Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee, adalah sebanyak dua juta ekor sehari atau 62.9 juta ekor sebulan.

Kerajaan turut menguatkuasakan langkah pengharaman eksport ayam ke negara luar untuk mengimbangi bekalan ayam.

Sebanyak 30 juta biji telur ayam pula diguna oleh rakyat Malaysia dalam sehari. 

Menurut Fatimah, pengambilan ayam sebanyak tiga hingga empat kali seminggu sudah mencukupi manakala pengambilan protein selebihnya perlu diambil daripada sumber-sumber lain.

Dalam piramid makanan Malaysia 2020, protein berada pada aras ketiga, yang mana pengambilannya disaran pada tahap sederhana.  

Barakatun Nisak Mohd Yusof, pakar nutrisi dari Universiti Putra Malaysia menjelaskan, protein daripada tumbuhan, seperti tauhu dan tempe ialah protein lengkap yang membekalkan semua asid amino yang diperlukan tubuh badan.

"Perubahan sumber protein ini adalah lebih sihat. Ini kerana protein tumbuhan adalah rendah lemak tepu dan kaya dengan serat yang memberi bonus kepada kesihatan tubuh.

"Kajian epidemiologi menunjukkan apabila kita turut memasukkan protein tumbuhan dalam diet, ia turut terkait dengan penurunan risiko kematian disebabkan oleh pelbagai penyakit berbanding mereka yang hanya makan makanan berprotein dari sumber haiwan," katanya. 

Kepelbagaian sumber protein haiwan dan juga tumbuhan mampu menjadikan kecukupan diet lebih optimum.

Katanya, kesedaran dan pengetahuan tentang pemilihan makanan perlu ditekankan tatkala rakyat berdepan dengan tekanan kuasa beli untuk mendapatkan sumber protein ekoran kenaikan harga barang. 

Ini kerana harga makanan tidak sihat seperti makanan segera dan makanan yang diproses pada persepsi rakyat mungkin lebih murah berbanding makanan sihat. 

Namun menurut Barakatun, makanan segera seperti burger ayam, nugget dan daging diproses tidak dikira sebagai sumber protein.

"Ia tinggi lemak, tinggi garam dan ada bahan pengawet yang dibuktikan boleh menyebabkan kanser.

"Makanan sihat tidak semestinya mahal. Protein tumbuhan biasanya lebih mampu milik berbanding protein haiwan," katanya. 

Dalam pada itu, Fatimah berkata kenaikan harga ayam dan telur, jika dilihat dari sudut positif, mampu menjadi “wake-up call” untuk membantu rakyat mengawal pengambilan makanan yang berlebihan dan tidak sihat. 

 

Tarikh Input: 19/08/2022 | Kemaskini: 19/08/2022 | amirahhani

PERKONGSIAN MEDIA

HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
-
SXEQOAg~