Makan Sayur Mentah Kurang Risiko Kematian | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTIKEL » Makan sayur mentah kurang risiko kematian

Makan sayur mentah kurang risiko kematian

 

**Artikel ini telah diterbitkan di www.bharian.my pada 2 Janurari 2022**
   

Ringkasan Artikel

Kajian dijalankan sekumpulan penyelidik dari Kanada, dikenali sebagai Penyelidik Kajian Prospective Urban Rural Epidemiology (PURE) mendapati sayur dimakan segar dan mentah mempunyai kaitan lebih kuat mengurangkan risiko kematian disebabkan penyakit berbanding sayur dimasak.


 Oleh: Nas Norziela Nasbah

   



Sayur dimakan segar dan mentah mempunyai kaitan lebih kuat mengurangkan risiko kematian.- Gambar hiasan

   

 

Ada individu menganggap pengambilan buah dan sayur dalam setiap hidangan makanan mengandungi zat yang cukup seterusnya tidak mengganggu pertumbuhan dan kesihatan mereka.

Namun, penyediaannya yang ditambah dengan pelbagai lemak dan gula seperti sayur masak lemak, pisang keju, sayur goreng ikan masin sebenarnya berkemungkinan menyebabkan kualiti sayur dan buah berkurangan.

Kajian dijalankan sekumpulan penyelidik dari Kanada, dikenali sebagai Penyelidik Kajian Prospective Urban Rural Epidemiology (PURE) mendapati sayur dimakan segar dan mentah mempunyai kaitan lebih kuat mengurangkan risiko kematian disebabkan penyakit berbanding sayur dimasak.

Kurang bersenam dan tidak bergerak aktif adalah kunci mendapat penyakit. Mengikut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019, seorang daripada empat rakyat Malaysia tidak aktif.

Makanan pengaruhi sistem imuniti

Timbalan Dekan Akademik (Sains Kesihatan) dan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof, berkata pemakanan sangat memainkan peranan dalam status imuniti tubuh.

Ini kerana fakta menunjukkan dalam badan setiap manusia, 70 peratus sel imun tubuh berada dalam sistem perut dan usus.

"Fakta itu jelas menunjukkan apa yang kita makan akan mempengaruhi sistem imuniti tubuh.

"Diet tidak sihat dan tidak seimbang daripada segi kekurangan zat seperti vitamin D, C, zink dan protein akan mengganggu penghasilan dan aktiviti sel imun serta antibodi tubuh seseorang," katanya.

Beliau berkata, zat makanan baik seperti serat boleh didapati daripada sayur, buah dan bijirin penuh melalui roti gandum penuh dan beras perang.

Pengambilan prebiotok dan probiotik dapat memberi zat yang baikkepada bakteria baik dalam tubuh kita (gut microbiota).

Usia tua turunkan imuniti

Gut microbiota yang sihat akan menguatkan sistem usus seterusnya mencegah keradangan atau inflamasi lantas menguatkan sistem imun tubuh.

"Bagaimanapun pemakanan yang sihat sahaja tidak cukup untuk imuniti tubuh.

"Kita perlu fahami dulu faktor menyebabkan penurunan imuniti tubuh seperti usia. Semakin tua, sel imun tubuh makin kurang berkesan untuk respons kepada jangkitan dan melawan penyakit.

"Orang tua kebanyakan tidak cukup zat vitamin dan mineral. Kombinasi ini memburukkan lagi imuniti tubuh," katanya.

Obesiti juga dikaitkan dengan keadaan kronik inflamasi rendah apabila tisu lemak menghasilkan adipocytokine, yang menggalakkan proses inflamasi.

Proses ini turut menyebabkan penurunan fungsi sel berkaitan imuniti.

Penyakit kronik imuniti turun

Katanya, kajian terdahulu menunjukkan mereka yang obes senang mendapat jangkitan virus influenza, kemungkinan disebabkan penurunan fungsi sel-T, sejenis sel darah putih yang melawan kuman.

"Selain obesiti, penyakit kronik tidak berjangkit seperti diabetes dan darah tinggi turut menyebabkan imuniti tubuh menurun.

Tidak hairan ramai pesakit COVID-19 yang terkesan dengan jangkitan yang lebih teruk adalah mereka yang mempunyai penyakit kronik.

"Keadaan ini amat membimbangkan kerana satu dalam dua orang Malaysia mengalami masalah obesiti, manakala satu dalam lima menghidapi diabetes," katanya.

Beliau menegaskan tabiat merokok dan pengambilan alkohol secara berlebihan turut menyumbang kepada penurunan imuniti tubuh.

 

 

Kira-kira 70 peratus sel imun tubuh berada dalam sistem perut dan usus. - Gambar hiasan
 

Makanan membantutkan imunisasi

Mengulas mengenai jenis makanan yang membantutkan imunisasi dalam tubuh, Dr Barakatun Nisak, berkata kajian menunjukkan tabiat makan 'comfort eating' tanpa mengira masa sehingga lewat malam dan kurang bersenam antara penyebab kepada kurangnya keberkesanan imun tubuh untuk respons kepada jangkitan.

"Makanan bergoreng terutama kaya dengan lemak tepu seperti santan, makanan tinggi gula, rendah serat dan tidak berzat (vitamin dan mineral) akan mengubah struktur usus serta bakteria lantas mengurangkan keberkesanan sistem imun tubuh.

"Kajian dua penyelidik dari Iraq mengenai bagaimana makanan boleh mempengaruhi kadar jangkitan dan kematian akibat COVID-19.

Penyelidik ini menggunakan data Makanan Antarabangsa oleh Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) pada 2020 membabitkan 158 negara, mendapati minum manis dan bergula mempunyai kaitan langsung dengan kadar jangkitan dan kematian.

Kekacang kurangkan jangkitan COVID-19

"Makanan berkait dengan pengurangan kadar jangkitan dan kematian akibat COVID-19 adalah pengambilan kekacang seperti dal, kacang kuda, kacang merah, kacang hijau dan barli," katanya.

Dr Barakatun Nisak yang juga penyelidik bersekutu di Institut Pengajian Sains Sosial berkata, zat dalam kekacang seperti dal, kacang dan legumes memainkan peranan penting dalam sistem imuniti tubuh.

Zat itu seperti glutamin dan arginine yang menjadi antioksidan penting dalam mencegah inflamasi dan menguatkan sistem imun tubuh

"Sajian sayur dan buah dalam pelbagai warna seperti merah (seperti tembikai, epal, cili), buah limau (seperti oren, karot), kuning ( seperti lemon, limau), hijau ( seperti bayam, sawi), biru (seperti berries) dan ungu (seperti keledek) dapat memberi semua zat antioksida yang dikenali sebagai phytonutrients.

"Selain itu, turut terdapat dalam bijirin penuh, kekacang dan teh," katanya.

Pengambilan makanan tambahan dalam bentuk kaspul, tepung atau cecair bagi meningkatkan sistem imunisasi, juga ada disebut dalam kajian meta-analisis oleh dua penyelidik Universiti of Aberdeen United Kingdom (UK), iaitu tidak menyokong keperluan makanan tambahan itu.

Namun, analisis tambahan menunjukkan wanita hamil, mereka berusia lebih 65 tahun dan tidak cukup zat mungkin disebabkan oleh penyakit adalah individu yang akan mendapat faedah daripada aspek makanan tambahan.

 
   
  Prof Madya Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof
Pakar Pemakanan Klinikal, Diabetes
Klinik Dietetik
Hospital Pengajar UPM (HPUPM)
Emel: bnisak@upm.edu.my
No.HP: 03-9769 2524/

Tarikh Input: 07/01/2022 | Kemaskini: 07/01/2022 | amirahhani

PERKONGSIAN MEDIA

HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
-
SXEaGAP~