Implikasi PKP Terhadap Keselamatan Makanan Negara | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTIKEL » Implikasi PKP terhadap keselamatan makanan negara

Implikasi PKP terhadap keselamatan makanan negara

**Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris**
**Artikel ini telah diterbitkan di bharian.com pada 28 Mac 2020.**

Oleh: Dr Ahmad Hanis Izani Abdul Hadi, Pensyarah Kanan, Jabatan Perniagaantani dan Ekonomi Biosumber, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bertujuan memutuskan rantaian jangkitan wabak COVID-19. Ia inisiatif terbaik dengan mengambil contoh beberapa negara yang berjaya mengawal penularannya seperti Korea Selatan dan China walaupun ia melaksanakannya dengan lebih ketat.

Kesan PKP terhadap isu keselamatan makanan di negara ini, menarik untuk diteliti dari segi ketersediaan, akses, penggunaan dan kestabilan makanan.

Dari segi ketersediaan makanan, Malaysia tidak menghadapi masalah jangka masa pendek. Ini dibuktikan kenyataan kerajaan dan pembekal, bahawa bekalan makanan dijamin mencukupi sepanjang tempoh PKP. Namun, ketersediaan makanan dijangkakan terkesan dalam jangka masa panjang.

Jumlah pengeluaran hasil pertanian beberapa bulan akan datang bergantung jumlah input digunakan hari ini. Walaupun penggunaan pekerja di ladang tidak disekat, kebanyakan pekerja tidak mahu mengambil risiko bekerja seperti biasa.

Bukan hanya kadar penggunaan buruh kurang, keseluruhan rangkuman sistem perniagaan tani dijangka turut terkesan termasuk pembekalan input bahan pertanian, pengurusan ladang, logistik dan pemasaran hasilnya. Begitu juga pengimportan produk makanan yang negara mempunyai kebergantungan agak tinggi.

Berdasarkan rekod dagangan luar dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi pada Disember 2019, negara mengalami defisit sebanyak RM1.728 bilion bagi perdagangan barang makanan (jumlah eksport makanan direkodkan RM 3.043 bilion berbanding import makanan RM4.771 bilion).

Walaupun aktiviti pengimportan makanan masih berjalan, ia tidak serancak seperti sebelum penularan wabak ini memandangkan negara pengeksport utama barangan (termasuk produk makanan) seperti China, Jepun, Amerika Syarikat (AS), Thailand dan Indonesia turut menghadapi wabak COVID-19.

Dengan kadar tahap sara diri rata-rata produk makanan di negara di bawah 90 peratus pada 2018 (kecuali daging ayam/itik, telur ayam/itik, daging khinzir dan ikan makanan), kesan terhadap ketersediaan makanan negara jangka masa panjang pasti ada, namun ia agak minimum sekiranya tempoh PKP tidak dilanjutkan.

PKP dilihat tidak memberi masalah kepada akses makanan dalam jangka masa pendek. Walaupun permulaannya didapati terdapat pola pembelian panik pengguna di seluruh negara, situasi ini berjaya dikawal dengan baik.

Pembelian panik akan menyebabkan harga barang meningkat berdasarkan hukum permintaan dan penawaran barangan serta ada kemungkinan berlakunya manipulasi harga barangan. Namun, berdasarkan data harga komoditi makanan terpilih dikeluarkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) (hingga 23 Mac ini), harga komoditi makanan masih terkawal.

Namun, kesan PKP kepada akses makanan mungkin lebih dirasai golongan berpendapatan rendah (B40). Mereka biasanya tidak mempunyai pendapatan tetap dan stabil serta tidak mampu menyediakan bekalan makanan kepada ahli keluarga, lebih daripada kebiasaan.

PKP menyebabkan ada pihak kehilangan sumber pendapatan dan beberapa inisiatif diputuskan melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara bagi membantu golongan terkesan, misalnya kemudahan pengeluaran i-Lestari bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan bantuan RM600 sebulan kepada pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji. Inisiatif ini dijangka sedikit sebanyak mampu membantu dari segi akses kepada makanan sekurang-kurangnya dalam tempoh terdekat.

Jika dilihat dari sudut penggunaan makanan, PKP mungkin memberikan kesan positif dengan anggapan pengguna mampu menyediakan stok makanan berkhasiat di rumah.

Penggunaan makanan di luar rumah dijangka menurun, memandangkan restoran dan kedai makan hanya dibenarkan beroperasi dengan syarat tidak membenarkan pelanggan makan dan minum di premis perniagaan.

Sektor hotel, restoran dan katering akan terkesan memandangkan hasil jualan pasti tidak sama, malah mungkin lebih rendah daripada kos operasi. Sektor itu juga lebih banyak bergantung kepada khidmat penghantaran makanan ke rumah bagi memastikan jumlah jualan mencukupi.

Melihat ketiga-tiga aspek sekuriti makanan, iaitu ketersediaan, akses dan penggunaan makanan sepanjang PKP, dapat disimpulkan kita mempunyai kestabilan makanan sekurang-kurangnya untuk tempoh perintah berlangsung.

Kesan negatif jangka masa pendek PKP terhadap keselamatan makanan boleh dikatakan minimum, namun sekiranya dilanjutkan, kesannya mungkin berbeza.

Peranan kerajaan dalam membantu menyelesaikan isu membabitkan keselamatan makanan amat penting. Ini termasuk memastikan harganya sentiasa dikawal seperti ketika musim perayaan utama. Bantuan kepada pengeluar makanan, sama ada petani atau kilang pengeluar makanan perlu diberikan bagi memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi.

Tarikh Input: 30/03/2020 | Kemaskini: 30/03/2020 | hirfarizan

PERKONGSIAN MEDIA

HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
-
SXEYJAY~