'Duduk Di Rumah', Usah Sampai Berlebih Sampah | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTIKEL » 'Duduk di rumah', usah sampai berlebih sampah

'Duduk di rumah', usah sampai berlebih sampah

**Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris**
**Artikel ini telah diterbitkan di bharian.com pada 78 Mac 2020.**

Oleh: Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman, Pensyarah Kanan Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM)

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan di seluruh negara bagi mengekang penularan ganas wabak COVID-19 yang dibimbangi akan menjangkiti lebih ramai rakyat.

Ketika PKP ini dilaksanakan, sebagai warganegara taat, kita dikehendaki mematuhi arahan duduk di rumah dan mengurangkan semaksimum mungkin aktiviti di luar.

Antara impak utama PKP, sudah pasti berlakunya peningkatan dalam pembelian barang makanan khususnya barang keperluan asas seperti ayam, telur, minyak masak, tepung gandum dan gula. Ini dibuktikan pembelian panik sebahagian masyarakat Malaysia menjelang arahan itu, 17 Mac lalu.

Kebanyakan kedai runcit dan pasar raya hampir kehabisan stok makanan akibat diserbu. Ini memang dijangka selaras dengan budaya dan mentaliti masyarakat yang terkenal dengan tabiat ‘suka makan’, selain panik dan bimbang ‘tidak cukup makan’ dalam tempoh perintah dilaksanakan.

Dijangkakan juga, masa senggang atau lapang yang panjang di rumah semasa dalam tempoh perintah itu, akan digunakan untuk memasak pelbagai menu dan hidangan buat keluarga. Menjadi kelaziman masyarakat di negara kita menyediakan tiga hingga empat jenis menu hidangan setiap kali waktu makan, malahan setiap hidangan dalam kuantiti besar.

Dalam tempoh sama, permintaan terhadap makanan siap dimasak yang ditempah daripada premis makanan di luar melalui penghantar makanan dijangka turut meningkat.

Selain ‘suka makan’, masyarakat juga terkenal dengan tabiat suka membazirkan makanan sama ada dimasak sendiri mahupun dibeli yang sering kali melebihi keperluan.

Jenis makanan dibazirkan membabitkan dua bahagian, iaitu 40 peratus sisa tidak boleh dielakkan seperti tulang, batang sayur dan kulit buah, manakala 60 peratus boleh dielakkan termasuk makanan luput tarikh, rosak sebelum dimasak dan rosak sebelum dimakan.

Isi rumah domestik menghasilkan sisa makanan paling tinggi, iaitu sekitar 38 peratus berbanding pasar basah (24); restoran (23) dan hotel (7).

Rakyat Malaysia direkod membazirkan sejumlah 8,000 tan makanan setiap hari yang jumlah ini cukup untuk diberi makan kepada 7 juta orang sehari bagi tiga kali hidangan dan purata berat satu hidangan setiap orang adalah 0.45 kilogram (kg).

Malah kajian mendapati rakyat negara ini lazim membuang makanan tidak habis dimakan sedangkan kira-kira 20 peratus sisa berkenaan sewaktu dibuang masih boleh dimakan dan boleh dielakkan daripada dibuang. Tidak hairan jika makanan ialah komposisi tertinggi, iaitu 45 peratus daripada sisa pepejal di tapak pelupusan sampah seluruh negara.

Punca utama penghasilan sisa makanan tinggi adalah membeli secara berlebihan, penyimpanan makanan tidak sempurna dan faktor gaya hidup mewah. Berdasarkan kajian SWCorp, satu isi rumah daripada lima orang didapati membelanjakan RM900 sebulan untuk membeli keperluan makanan. Suku daripadanya dibuang, iaitu pembaziran RM225 sebulan atau RM2,700 setahun!

Situasi ini boleh dielakkan sekiranya rakyat Malaysia lebih prihatin soal pengambilan makanan dengan hanya memasak atau membeli pada kadar perlu bertujuan mengelakkan pembaziran.

Budaya pembaziran makanan rakyat Malaysia adalah isu kritikal dan perlu ditangani segera. Minda masyarakat perlu diubah supaya tidak sewenangnya membazir apatah lagi membuang makanan.

Ini kerana pembuangan sisa makanan boleh mengancam alam sekitar kerana sisa makanan di tapak pelupusan sampah menghasilkan gas metana tinggi. Walaupun jumlah gas metana itu sedikit berbanding karbon dioksida, kadar kekuatan metana 34 kali lebih tinggi, sekali gus menyebabkan perubahan cuaca panas drastik menyumbang kepada pemanasan bumi.

Sisa makanan di tapak pelupusan sampah juga membentuk larutan resap (leachate) sangat kotor, sekali gus memberi kesan negatif kepada sungai dan sumber air bawah tanah. Malah, sisa makanan juga menghasilkan bau kurang menyenangkan dan merosakkan estetika.

Dengan kadar kitar semula rendah dalam kalangan masyarakat, iaitu sekitar 28 peratus, ia sangat membimbangkan kerana peningkatan dalam jumlah sampah-sarap yang ijana khususnya sisa makanan akan memberi kesan negatif kepada alam sekitar, iaitu menyumbang kepada ketepuan tapak pelupusan sampah di seluruh negara.

Pada 2019 sahaja, rakyat Malaysia menghasilkan kira-kira 37,890 tan sisa setiap hari dengan sekurang-kurangnya 1.17 kg dijana bagi setiap individu. Perlu diingat, kos dikeluarkan kerajaan untuk pengurusan sampah amat tinggi.

Sebagai contoh, kos pengurusan sampah bagi tujuh negeri di bawah pengurusan SWCorp, iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Kedah dan Perlis mencecah RM2 bilion setiap tahun.

Tambahan pula, tanah yang dijadikan tapak pelupusan sampah pula tidak boleh digunakan untuk sebarang pembangunan atau projek kerana ia perlu dirawat sekurang-kurangnya selama 20 tahun selepas itu berikutan ada air larutan resap dan gas berbahaya dengan kadar pencemaran sangat tinggi.

Malahan pembangunan, terutama di kawasan bandar semakin pesat menyukarkan lagi proses mendapatkan tanah sesuai bagi dijadikan kawasan pelupusan sampah kerana masyarakat tidak mahu tapak berkenaan terletak berhampiran kawasan kediaman.

Bagi kawasan pesat membangun pula, tanah kosong yang ada hanyalah kawasan tadahan air dan hutan simpan yang sememangnya tidak sesuai dijadikan tapak pelupusan.

Jika semua rakyat Malaysia benar-benar mengamalkan kitar semula dan pengasingan sisa isi rumah di punca, iaitu di rumah masing-masing, berkemungkinan kita tidak memerlukan tapak pelupusan sisa yang banyak. Ini kerana 40 peratus daripada jumlah sisa dijana setiap hari boleh dikitar semula seperti kertas, buku dan plastik, manakala kira-kira 40 peratus lagi ialah sisa makanan yang boleh menjana biogas dan kompos.

Justeru daripada jumlah itu, hanya tinggal sekitar 20 peratus yang perlu dihantar di tapak pelupusan sampah untuk diuruskan. Sebagai masyarakat prihatin, apa yang perlu kita lakukan adalah dengan mengurangkan janaan sampah domestik melalui pengamalan aktiviti kitar semula dan mempraktikkan pengkomposan sisa dapur, khususnya sisa makanan.

Sepanjang tempoh kuarantin selama 14 hari ini, dijangkakan penghasilan sisa buangan domestik isi rumah akan meningkat dengan ketara, khususnya sisa makanan, plastik dan kertas serta bahan buangan berbentuk perlindungan diri (PPE) seperti topeng muka dan sarung tangan plastik.

Bagi PPE, kita memang tiada pilihan kerana ia perlu dibuang dengan kaedah betul ke dalam tong sampah dan tidak dapat dikitar atau diguna semula bagi mengelak sebarang jangkitan, namun tidak bagi sisa makanan.

Justeru, masyarakat tiada pilihan, mereka perlu mengubah cara hidup dengan mengamalkan kitar semula, pengasingan sisa di punca dan pengkomposan jika tidak mahu Malaysia terus dipenuhi sampah.

Statistik menunjukkan penghasilan sampah harian dalam kalangan rakyat di negara ini mencatat peningkatan 100.75 peratus kepada 38,142 tan pada 2018, berbanding 19,000 tan (2005).

Lindungilah diri anda daripada wabak COVIC-19, namun, lindungilah juga alam sekitar kita. Matlamat ini boleh dicapai dengan menjadikan kediaman kita sebagai rumah sisa sifar (zero waste home) dengan mengamalkan gaya hidup sisa sifar.

Dengan amalan sisa sifar yang baik sehingga 40 peratus belanja isi rumah mampu dijimatkan, selain berupaya memelihara kelestarian alam sekitar. Akhirnya, aplikasi 5R (Refuse, Reduce, Reuse, Recycle, Recovery atau Tolak, Kurangkan, Guna Semula, Kitar Semula dan Pemulihan) dalam kehidupan seharian perlu disegerakan dengan pembelian dan penyediaan makanan yang tepat dalam usaha mengurangkan penjanaan sisa makanan ke arah menikmati alam sekitar yang tidak tercemar, bersih, sihat, selesa dan menyamankan.

Tarikh Input: 30/03/2020 | Kemaskini: 30/03/2020 | hirfarizan

PERKONGSIAN MEDIA

HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
-
SXDcSAi~