Syabas HPUPM, PINK Squad! Santuni Masyarakat Orang Asli Sungai Siput! Ubah Suai Pusat Sumber Sekolah! | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» NEWS » Syabas HPUPM, PINK Squad! Santuni masyarakat Orang Asli Sungai Siput! Ubah suai pusat sumber sekolah!

Syabas HPUPM, PINK Squad! Santuni masyarakat Orang Asli Sungai Siput! Ubah suai pusat sumber sekolah!

 Artikel ini telah diterbitkan di https://kitareporters.com/menara/ pada 6 April 2023

Oleh: Zul Akmar Jamaludin

 

Berbakti tidak kira agama, bangsa, dekat mahupun jauh. Selagi boleh hulurkan tangan, kita hulurkan! Bayangkan wajah gembira tangan yang menerima bantuan tersebut pasti membuatkan diri kita tersenyum puas.

Berpegang pada prinsip itu, Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM) dengan kerjasama Pertubuhan Inisiatif Naluri Kemanusiaan (PINK Squad) dan beberapa Pusat Tanggungjawab PTJ Universiti Putra Malaysia antaranya, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Fakulti Ekologi, Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Veterinar, Fakulti Pertanian, Bahagian Keselamatan UPM, Sahabat Masjid UPM, serta sukarelawan yang terdiri daripada 50 pelajar mahasiswa dan mahasiswi UPM telah mengadakan Projek Pembangunan Perpustakaan dan Program Pemindahan ilmu bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Piah, Sungai Siput, Perak.

Program yang berlangsung selama dua hari, bermula 10 hingga 12 Februari 2023 itu merupakan inisiatif bersama dalam menyantuni warga komuniti Masyarakat Orang Asli dan komuniti yang jauh di pedalaman. 

 

Bilik darjah kelihatan lebih bersih, kemas dan menarik.

 

Sepanjang dua hari program ini berlangsung antara aktiviti yang dijalankan merangkumi saringan kesihatan, pemeriksaan glukos dalam darah, pemeriksaan tekanan darah, pemeriksaan BMI dan konsultasi kesihatan. 

Lebih istimewa program pada kali ini turut memperkenal Projek K&K iaitu kutu dan kuku serta pendedahan asas cucian tangan secara amali kepada pelajar-pelajar sekolah yang terlibat.

Selain Projek Ubah Suai Pusat Sumber Sekolah dan saringan kesihatan, warga setempat turut dirai dengan acara sukaneka, free market, pemindahan ilmu oleh pihak UCTC melalui perkongsian kelas penanaman fertigasi sayur salad dan projek menu sihat dan amali memberus gigi dengan betul turut diadakan.

Para pegawai dari Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia bersama rakan kerjasama dari Pertubuhan Inisiatif Naluri Kemanusiaan. 

 

Menurut Khairul Anuar Yeop Ahmad, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pos Piah, program komuniti ini telah berjaya merealisasikan misi mengubah suai Pusat Sumber Sekolah oleh PINK Squad dan setiap aktiviti yang dijalankan sepanjang program ini berlangsung memberi impak dan manfaat yang besar kepada warga setempat dan juga para pelajar. 

“Terima kasih di atas sumbangan khidmat bakti dan keprihatinan para sukarelawan terhadap pendidikan murid Orang Asli di Sekolah Kebangsaan Pos Piah. Diharapkan kerjasama yang baik ini akan dapat diteruskan pada masa hadapan,” akhirinya.  - KitaReporters

 

Program KRIS di Kampung Orang Asli Pos Piah.

 

Date of Input: 11/04/2023 | Updated: 11/04/2023 | khairun

MEDIA SHARING

HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
-
SXDcWAK~