Kakak Sumber Inspirasi Adik Turut Sama Menjadi Doktor Perubatan | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» NEWS » Kakak sumber inspirasi adik turut sama menjadi Doktor Perubatan

Kakak sumber inspirasi adik turut sama menjadi Doktor Perubatan

 
 
 
 
 
 
SERDANG, 25 Februari - "Kakak saya inilah yang menjadi idola untuk saya menjadi seorang doktor perubatan," luah pegawai perubatan, Jabatan Perubatan Keluarga, Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM), Dr. Nurul Huda Mohd Nor.
 
Beliau yang juga pensyarah di Jabatan Anatomi Manusia, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UPM berkata kakaknya, Dr. Khadijah Mohd Nor merupakan insan pertama yang menghadiakan beliau stetoskop.
 
Dr. Khadijah merupakan pensyarah perubatan dan pakar bedah dalam Otorinolaringologi (ORL) HPUPM yang memberikan khidmat bagi masalah berkaitan telinga, hidung, dan tekak (ENT) dan pembedahan kepala dan leher (HNS).
 
 
Dr. Huda berkata dirinya tertarik menjadi doktor apabila melihat Dr. Khadijah menyambung pengajian dalam bidang perubatan selain ibu bapa mereka yang memberi pengaruh dan penerapan daripada kecil sungguhpun ibu bapa mereka bukan seorang doktor.
 
Menurut Dr. Khadijah pula, ibunya menjadi inspirasi untuk menjadi seorang doktor walaupun cita-citanya mahu menjadi seorang guru.
 
"Emak daripada kecil memang selalu terapkan bahawa cikgu dan doktor ini bagus dan sesuai untuk perempuan. Akhirnya rezeki saya menjadi kedua-dua ini iaitu pensyarah dan doktor.
 
"Saya merupakan anak kedua daripada lapan beradik dan perempuan sulung. Jadi, saya juga memberi dorongan serta galakkan kepada adik-adik untuk menjadi doktor. Syukur, lima daripada kami merupakan doktor" katanya.
 
Tambahnya, buku teks bidang perubatan juga mahal jadi beliau akan berkongsi buku dan mengurangkan beban masing-masing.
 
 
Mengulas lanjut, Dr. Khadijah berkata beliau yang melihat adik-adiknya dilahirkan dirumah oleh bidan menjadi antara titik permulaan minatnya menjadi doktor.
 
"Saya lahir pada tahun 1979 dan pada zaman itu ramai ibu-ibu yang bersalin di rumah. Setiap kali bidan keluar daripada rumah semua orang gembira. Saya kagum melihat keajaiban ini pada ketika itu,"katanya.
 
Bagaimanapun, adik-beradik ini tidak merancang untuk bekerja di HPUPM bersama kerana Dr. Huda terlebih dahulu memulakan karier sebagai doktor pelatih di UPM pada 2014 manakala Dr. Khadijah pada 2016 sebagai Pensyarah perubatan dan Pakar Bedah ORL.
 
Mengulas lanjut, mereka berkata menjadi seorang doktor sudah semestinya bukan sesuatu yang mudah bahkan dalam kehidupan sudah semestinya ada jatuh bangunnya.
 
Namun, kedua-dua mereka yang berasal dari Pahang ini sentiasa berpegang pada nasihat ibu agar tidak berhenti melakukan perkara yang sudah dimulakan.
 
"Emak kami selalu nasihat, berehat jika perlu tetapi jangan berhenti. Bergerak ke hadapan dan emak punya nasihat ini sehingga sekarang semua anak-anaknya gunakan.
 
"Selain itu, jadikan juga pekerjaan sebagai satu ibadah," kata mereka. -UPM
 
 

Date of Input: 13/03/2023 | Updated: 13/03/2023 | amirahhani

MEDIA SHARING

HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
-
SXDdKAE~