JABATAN PEDIATRIK | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» KORPORAT » JABATAN PEDIATRIK

JABATAN PEDIATRIK

Menyediakan Perkhidmatan Rawatan Kepakaran Terunggul Untuk Kanak-Kanak Dan Remaja

    

Jabatan Pediatrik di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) menawarkan penjagaan kesihatan dan rawatan perubatan yang terbaik untuk kanak-kanak dan remaja dari lahir hingga berumur 18 tahun. Kami berhasrat untuk menyediakan rawatan berkualiti merangkumi aspek-aspek pencegahan, diagnostik, rawatan penyembuhan dan pemulihan yang mesra kanak-kanak dan keluarga.

Secara amnya, perkhidmatan pakar pediatrik bagi pesakit luar dan pesakit dalam menyediakan rawatan sekunder untuk penyakit kanak-kanak dan remaja. Penjagaan tertiari disediakan untuk Alergi dan Imunologi Klinikal, Endokrinologi, Penyakit Berjangkit, Neonatologi, Kardiologi dan Rawatan Rapi. Perkhidmatan ini akan diperluas untuk melibatkan subkepakaran lain termasuk Neurologi, Perkembangan Kanak-kanak dan Pediatrik Komuniti pada masa akan datang.

Klinik Pakar Pediatrik terletak di Tingkat 2 HSAAS. Selain daripada mengendalikan kes-kes pediatrik am, klinik ini juga menyediakan perkhidmatan subkepakaran seperti berikut:

  • Alergi dan Imunologi Klinikal
  • Endokrinologi
  • Penyakit Berjangkit
  • Neonatologi
  • Kardiologi


Terdapat dua Wad Pediatrik yang terletak di Tingkat 4, HSAAS. Setiap wad mempunyai 28 katil untuk pesakit dalam menerima rawatan am dan subkepakaran yang merangkumi rawatan akut dan jangka panjang. Terdapat 4 bilik isolasi di setiap wad yang dilengkapi dengan fasiliti tekanan negatif dan tekanan positif bagi pesakit imunodefisiensi dan penyakit berjangkit. Pembinaan reka bentuk wad direka khas dengan kemudahan bilik permainan, bilik pendidikan kesihatan, bilik rawatan dan bilik prosedur. Perkhidmatan Sekolah Dalam Hospital (SDH) disediakan untuk kegunaan pesakit pediatrik sebagai usaha membantu pembelajaran mereka semasa dimasukkan ke hospital.

Perkhidmatan penjagaan kritikal pediatrik mengendalikan kes-kes kecemasan dan kritikal pediatrik yang memerlukan pemantauan dan penjagaan rapi. Rawatan disediakan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) yang dilengkapi 6 katil intensif termasuk 2 bilik isolasi. PICU yang terletak di Tingkat 4 juga dilengkapi dengan bilik penyelidikan, bilik seminar, bilik pasca siswazah dan bilik mesyuarat jabatan yang dapat menampung sehingga 70 orang pada satu-satu masa.

Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) kami menyediakan:

  • Penjagaan khas dan komprehensif, dengan kapasiti 6 katil intensif dan 4 bilik isolasi, untuk bayi yang memerlukan rawatan rapi termasuk bantuan pernafasan dan pemantauan intensif.
  • Penjagaan separa-intensif menyediakan 8 katil untuk memberi rawatan kepada bayi yang memerlukan rawatan dan pemerhatian yang kurang intensif.
  • Penjagaan nurseri khas menyediakan 6 katil untuk bayi yang stabil yang memerlukan rawatan pemulihan atau ubat yang berterusan. Selain itu, perkhidmatan bilik fototerapi yang dilengkapi 20 alat fototerapi untuk bayi jaundis

 

VISI JABATAN

Menjadi pusat rujukan pediatrik yang utama melalui rawatan kesihatan terbaik dan terunggul yang merangkumi aspek pencegahan, diagnostik, penyembuhan dan penjagaan pemulihan.

 

MISI JABATAN

  • Menyediakan rawatan kesihatan yang berkualiti tinggi menggunakan teknologi terkini dan perubatan berasaskan ilimiah, dengan memberi tumpuan pada pesakit, keluarga dan persekitaran pesakit.
  • Bekerjasama dengan petugas kesihatan lain dan keluarga pesakit untuk memberikan rawatan akut, kronik dan pemulihan komprehensif untuk semua pesakit.
  • Menggalakkan aktiviti pembelajaran berterusan dan perkembangan kerjaya untuk kakitangan Jabatan dengan menyokong, mengiktiraf dan saling membantu bagi mewujudkan persefahaman dan suasana saling menghormati antara satu sama lain.
  • Menyediakan sistem maklumat berasaskan teknologi untuk menghubungkan semua jenis perkhidmatan pesakit, rawatan ambulatori dan penyelidikan.


NILAI KUALITI

Setiap anggota Jabatan Pediatrik perlu mengamalkan nilai-nilai kualiti yang ditetapkan Jabatan. Nilai-nilai tersebut adalah:

  • Kepelbagaian
  • Jati diri
  • Bekerjasama
  • Kerja berpasukan

 

Kemaskini:: 06/04/2023 [khairun]

PERKONGSIAN MEDIA

SXEZHAx~