Tuan Rumah Boleh Buat Keputusan Tidak Terima Tetamu Pada Hari Raya - Pakar Kesihatan Awam | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTIKEL » Tuan rumah boleh buat keputusan tidak terima tetamu pada Hari Raya - Pakar Kesihatan Awam

Tuan rumah boleh buat keputusan tidak terima tetamu pada Hari Raya - Pakar Kesihatan Awam

*Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris
*Artikel ini telah diterbitkan di astroawani.com pada 11 Mei 2020

Oleh: Umavati Ramayah

KUALA LUMPUR: Walaupun bertentangan dengan budaya yang diamalkan selama ini, namun tuan rumah boleh membuat keputusan untuk tidak menerima tetamu pada Hari Raya Aidilfitri.

Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi dan Biostatistik), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman, berkata situasi pandemik yang dialami ketika ini tidak pernah berlaku, justeru masyarakat perlu menetapkan keutamaan sendiri.

Beliau menegaskan ketika berdepan dengan pandemik ini, keutamaan lebih tinggi dan penting iaitu kesihatan serta keselamatan diri dan keluarga perlu didahulukan.

"Situasi ini (orang datang menziarah) mencetus kebimbangan apabila penjarakan sosial tidak dapat dipraktikkan dan ia sekali gus mendedahkan bahaya kepada golongan berisiko tinggi seperti orang tua, mereka yang mempunyai komplikasi kesihatan seperti sakit buah pinggang, darah tinggi dan kencing manis serta kanak-kanak
 
"Maka dalam keadaan ini, tuan rumah boleh membuat keputusan berdasarkan keadaan ahli keluarga mereka," katanya pada Buletin AWANI di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Dr Malina menjelaskan, beliau masih menunggu prosedur operasi standard (SOP) yang terperinci dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai kebenaran ziarah tidak melebihi 20 orang untuk tujuan perayaan.

Buat masa ini katanya, MKN perlu menjelaskan secara tepat mengenai nisbah individu mengikut kepadatan ruang sesebuah rumah.

"Ini bermaksud berapa orang yang boleh muat dalam satu-satu keluasan dengan jarak satu meter hingga dua meter kerana keadaan berbeza antara satu rumah dengan rumah lain," ujarnya.

Tarikh Input: 12/05/2020 | Kemaskini: 12/05/2020 | hirfarizan

PERKONGSIAN MEDIA

HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
-
SXDdIAL~