TABIAT MENGGOSOK MATA, DISEBALIK KELEGAAN YANG SEMENTARA, ADA BAHAYA MENANTI | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA hsaas
» ARTIKEL » TABIAT MENGGOSOK MATA, DISEBALIK KELEGAAN YANG SEMENTARA, ADA BAHAYA MENANTI

TABIAT MENGGOSOK MATA, DISEBALIK KELEGAAN YANG SEMENTARA, ADA BAHAYA MENANTI

Dalam kehidupan seharian, tanpa disedari ramai diantara kita yang mengamalkan satu tabiat kecil yang dianggap sebagai perkara biasa akan tetapi ianya sangat berisiko tinggi kerana memberi kesan buruk pada mata, iaitu menggosok mata. Walaupun tindakan ini memberikan kelegaan yang bersifat sementara, ia sebenarnya meninggalkan kesan buruk terhadap kesihatan mata dalam jangka masa yang panjang.

Pada kebiasaannya, perbuatan ini dilakukan tanpa sedar terutamanya ketika penat, mengantuk atau mengalami alahan teruk. Tabiat ini dianggap sebagai satu penyelesaian mudah kerana tekanan pada bola mata boleh merangsang saraf trigeminal yang seterusnya merangsang saraf vagus, lalu memberikan rasa santai dan menenangkan tubuh. Selain itu, gosokan juga merangsang pengeluaran air mata refleks yang membantu mengeluarkan habuk, kotoran kecil serta mengurangkan rasa pedih atau kering pada mata. 

Tekanan mekanikal akibat gosokan berulang ini boleh menyebabkan perubahan pada bentuk kornea, menipiskan tisu, menjejaskan kestabilan lapisan air mata dan mencederakan lapisan kornea. Lebih merisaukan lagi apabila ianya menyebabkan pendarahan pada mata yang berlaku akibat daripada kerosakan pada salur darah kecil yang pecah disebabkan tekanan kuat yang berulang. Selain itu, bagi individu yang mempunyai masalah alahan pada mata, tindakan menggosok mata boleh memburukkan lagi keadaan kerana ia merangsang pelepasan histamin dengan lebih banyak lalu meningkatkan lagi rasa gatal pada mata. Tambahan pula, keadaan tangan yang kotor meningkatkan lagi risiko jangkitan pada mata kerana berlakunya pemindahan bakteria atau virus dengan lebih mudah.

Dalam jangka masa panjang pula, kesan daripada perbuatan ini dapat dilihat dengan lebih serius. Beberapa kajian, antaranya oleh Bawazeer et al. (2000) serta Najmi et al. (2019), menunjukkan bahawa tabiat menggosok mata berlebihan boleh meningkatkan risiko penyakit keratoconus, iaitu penyakit mata yang menyebabkan permukaan kornea menipis dan berbentuk kon lalu menyebabkan penglihatan kabur, berbayang serta meningkatkan sensitiviti kepada cahaya terang. Selain itu, gosokan berulang ini menyebabkan berlakunya perubahan pada bentuk kornea yang menyebabkan astigmatisme menjadi lebih teruk. 

Justeru itu, langkah pencegahan amat penting bagi mengawal tabiat ini. Penggunaan air mata tiruan tanpa pengawet sangat membantu melegakan masalah gatal pada mata, mata kering atau iritasi tanpa perlu menggosok. Kebersihan tangan dan wajah juga perlu dititikberatkan bagi mencegah jangkitan pada mata. Sekiranya mata terasa gatal atau bengkak, teknik cool compression boleh digunakan sebagai alternatif yang lebih selamat. Jika masalah berterusan, pesakit perlu dirujuk kepada pakar mata bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut dan mendapatkan rawatan yang lebih tepat.

Sebagai penutup, bersempena Hari Penglihatan Sedunia atau World Sight Day (WSD) yang disambut pada hari Khamis minggu kedua bulan Oktober dan akan diraikan pada 9 Oktober 2025 dengan bertemakan #LoveYourEyes yang menyeru setiap individu dalam masyarakat agar lebih menghargai penglihatan dan mengamalkan gaya hidup yang mementingkan penjagaan kesihatan mata, marilah kita bersama menghargai penglihatan dengan meninggalkan tabiat kecil yang berisiko tinggi ini. Perubahan kecil yang kita lakukan pada hari ini mampu melindungi anugerah yang tidak ternilai ini daripada kerosakan yang lebih serius.

 

Rujukan

  • Bawazeer, A. M., Hodge, W. G., & Lorimer, B. (2000). Atopy and keratoconus: A multivariate analysis. British Journal of Ophthalmology, 84(8), 834–836.
  • Najmi, H., Mobarki, Y., Mania, K., Altowairqi, B., Basehi, M., Mahfouz, M. S., & Elmahdy, M. (2019). The correlation between keratoconus and eye rubbing: a review. International journal of ophthalmology, 12(11), 1775–1781. https://doi.org/10.18240/ijo.2019.11.17

 

Disediakan Oleh : 

Nama: Kapt. Bersekutu (PA) Mohammad Nor Fitri bin Hasan
HP: 017-5515397
Email: norfitri@upm.edu.my

Jabatan Oftalmologi
Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, UPM

 

Tarikh Input: 11/09/2025 | Kemaskini: 11/09/2025 | ahmadfaiq

PERKONGSIAN MEDIA

HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
-
X, (07:03:50pm-07:08:50pm, 11 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]