Peluang Akademia Manfaat Kepakaran Bantu Negara | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTIKEL » Peluang akademia manfaat kepakaran bantu negara

Peluang akademia manfaat kepakaran bantu negara

**Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris**
*Artikel ini telah diterbitkan di bharian.com pada 13 April 2020

Dua pelajar pascasiswazah, Pusat Pengajian Sains, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang, Jengka sedang membuat ujikaji menghasilkan sanitizer sendiri untuk kegunaan warga kampus. - Gambar hiasan/Roselan Ab Malek

Dua pelajar pascasiswazah, Pusat Pengajian Sains, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang, Jengka sedang membuat ujikaji menghasilkan sanitizer sendiri untuk kegunaan warga kampus. - Gambar hiasan/Roselan Ab Malek

Oleh Dr Mohd Izani Mohd Zain | bhrencana@bh.com.my

Warga akademia di institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan mengalu-alukan pengumuman Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) semalam apabila menawarkan geran khas bagi menjalankan penyelidikan terhadap bidang kritikal yang dikenal pasti berkait rapat dengan masyarakat bagi menghadapi pasca COVID-19.

Geran khas ini akan diberikan meliputi 20 bidang utama merangkumi ekonomi, kesihatan awam, keselamatan, pelancongan, perdagangan, teknologi maklumat, pendidikan dan keselamatan makanan.

 

Setiap penyelidikan boleh membida geran disediakan berjumlah RM20,000 setiap satu.

Sudah tentu pengumuman ini hadir tepat pada masanya. Dalam keadaan negara menghadapi situasi sukar sebegini, jelas sekali sumbangan akademia ini sangat kritikal.

Hasil penyelidikan itu nanti boleh digunakan kerajaan dan pihak berkepentingan untuk penggubalan dasar bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

Selain itu, perkembangan ini bertepatan dengan hasrat kita untuk memastikan apa juga dasar yang digubal mesti berasaskan kepada kajian empirikal dan bukannya bersifat ad-hoc.

Sebelum ini, Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia (PenDaPaT), iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melihat dasar dan amalan pendidikan tinggi pernah menggesa agar dasar kerajaan juga kementerian, hendak berasaskan kepada kajian mendalam atau apa yang disebut sebagai evidence based policy.

Pandemik COVID-19 memberi impak yang besar kepada seluruh kehidupan masyarakat sejagat. Mengikut sumber Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), terdapat 1.6 juta kes COVID-19 dilaporkan dan hampir 100,000 nyawa terkorban di seluruh dunia.

Malaysia sendiri sehingga kelmarin menyaksikan 73 kes kematian direkodkan dengan jumlah individu yang dijangkiti seramai 4,530 orang.

Pada peringkat global, pemberian dana penyelidikan turut ditawarkan oleh pihak industri dan kumpulan pemodal bagi mencari penyelesaian khususnya pencegahan dan rawatan COVID-19.

Sebagai contoh, Fast Grant sudah menawarkan geran AS$10 juta (RM43.1 juta) bagi membiayai geran penyelidikan.

Apa yang menarik, status permohonan boleh diketahui dalam tempoh hanya 48 jam atau dua hari selepas dihantar.

Dalam hal ini, kita berharap proses permohonan geran khas penyelidikan oleh KPT nanti dapat dilakukan dengan pantas tanpa mengambil masa yang agak lama.

Lebih-lebih lagi, hasil penyelidikan yang bersesuaian perlu segera dikemukakan kepada kementerian dan kerajaan untuk dijadikan dasar mahupun garis panduan.

Pada masa sama, kita berharap inisiatif seperti geran penyelidikan KPT ini turut boleh disumbangkan oleh pihak industri dan kumpulan pemodal di negara.

Hal ini kerana dana penyelidikan tidak hanya boleh bergantung kepada pihak kerajaan semata-mata. Pihak industri dan kumpulan pemodal perlu membantu universiti dan akademia untuk menjalankan penyelidikan berimpak untuk negara.

Sebelum pengumuman geran penyelidikan ini, rata-rata akademia kita sebenarnya sudah banyak memberi sumbangan khusususnya dalam konteks penulisan kepakaran, malah pandangan mereka dirujuk oleh pihak kerajaan dan kementerian.

Tidak dinafikan, penulisan dan pandangan kepakaran ini menjadi satu bentuk advokasi awam yang boleh meningkatkan tahap pengetahuan dan kefahaman masyarakat terhadap impak COVID-19 supaya lebih bermaklum.

Dalam konteks di Universiti Putra Malaysia (UPM) misalnya, banyak penulisan dan pandangan kepakaran dikongsi oleh akademia khususnya memberi pencerahan kepada masyarakat.

Ia meliputi pelbagai bidang seperti dalam aspek perubatan, kesihatan awam, perubatan veterinar, pertanian, ekonomi, psikologi, sosiologi dan keselamatan insan.

Media tempatan pula sentiasa memberi ruang untuk menyiarkan penulisan dan pandangan kepakaran akademia yang menyentuh pelbagai perspektif.

BH misalnya, hampir setiap hari menyiarkan penulisan dan pandangan kepakaran akademia IPT kita. Ini satu tindakan yang wajar dipuji dan perlu diteruskan pasca COVID-19.

Impak COVID-19 menyerlahkan lagi kepentingan gagasan universiti untuk masyarakat. Negara banyak melabur untuk sektor pendidikan negara dan ini masa yang terbaik untuk universiti dan akademia berbakti kepada kesejahteraan masyarakat dan negara.

Tuntasnya, universiti tidak boleh lagi bersifat menara gading, tetapi menara ilmu atau lebih tepatnya menara budi yang dapat memberi sumbangan bermakna kepada kebiasaan baharu di negara.

Seperti ungkapan, berfikiran global, bertindak lokal.

 

Penulis adalah Timbalan Pengarah di Pusat Strategi Korporat dan Komunikasi (CosComm), Universiti Putra Malaysia

Tarikh Input: 13/04/2020 | Kemaskini: 13/04/2020 | hirfarizan

PERKONGSIAN MEDIA

HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
-
SXESTAe~