COVID-19: UPM Bakal Hasilkan 5,000 Perisai Muka Untuk Petugas Hospital | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTIKEL » COVID-19: UPM bakal hasilkan 5,000 perisai muka untuk petugas hospital

COVID-19: UPM bakal hasilkan 5,000 perisai muka untuk petugas hospital

**Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris**
**Artikel ini telah diterbitkan di astroawani.com pada 30 Mac 2020.**

SERDANG: Sekumpulan pakar dan sukarelawan dari sebuah universiti awam dijangka dapat menghasilkan perisai muka dalam skala besar untuk keperluan petugas barisan hadapan dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19.

Kumpulan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu percaya mereka dapat mengeluarkan sekurang-kurangnya 5,000 pelindung muka bagi kegunaan petugas perubatan di hospital berdekatan.

COVID-19: UPM bakal hasilkan 5,000 perisai muka untuk petugas hospital

(Pakar mereka menitikberatkan reka bentuk yang memenuhi keperluan perlindungan terbaik kerana ujian ketahanan, keberkesanan dan reka bentuk telah dijalankan di beberapa hospital dengan bantuan maklum balas pengguna oleh pihak NGO. - Foto UPM)

 

Ketua kumpulan tersebut, Prof Madya Dr Samsuzana Abd Aziz menjangkakan 5,000 pelindung muka itu akan siap dalam tempoh dua minggu.

Ia hasil penggunaan kelengkapan pencetak 3D baharu dan tambahan tenaga sukarelawan untuk keperluan Pusat Kesihatan UPM, Hospital Pengajar UPM dan Hospital Serdang.

 
Kumpulan 30 pakar dan sukarelawan UPM itu terdiri daripada 19 ahli Fakulti Kejuruteraan, enam ahli Longe Medikal Sdn Bhd - Putra Science Park dan lima ahli Fakulti Rekabentuk dan Seni Bina dengan kerjasama tiga makmal UPM.

Projek ini diterajui ‘Putra Makers Space UPM’ yang berpusat di Fakulti Kejuruteraan.

Kos perisai muka UPM ini ialah antara RM1.50 hingga RM2.50 seunit. Bahan mentah yang digunakan adalah filament PLA untuk percetakan 3D, plastik lutsinar dan getah. - Foto UPM

(Kos perisai muka UPM ini ialah antara RM1.50 hingga RM2.50 seunit. Bahan mentah yang digunakan adalah filament PLA untuk percetakan 3D, plastik lutsinar dan getah. - Foto UPM)

“Kami mampu menghasilkan 200 perisai muka sehari menggunakan 13 pencetak 3D.

"Antara jenis pencetak 3D termasuk jenis DIY seperti Creality Ender 3, Zotrax dan 4Max Pro, serta pencetak 3D ketahanan tinggi seperti Ultimaker.

“Kos perisai muka UPM ini ialah antara RM1.50 hingga RM2.50 seunit.

"Bahan mentah yang digunakan adalah filament PLA untuk percetakan 3D, plastik lutsinar dan getah,” katanya.

Dr Samsuzana menerangkan pakar-pakar mereka menitikberatkan reka bentuk yang memenuhi keperluan perlindungan terbaik kerana ujian ketahanan, keberkesanan dan reka bentuk telah dijalankan di beberapa hospital dengan bantuan maklum balas pengguna oleh pihak NGO.

Sementara itu, Dekan Fakulti Kejuruteraan, Prof Ir Ts Dr Nor Kamariah Nordin berkata mereka mendapat dana UPM sebanyak RM6,000 untuk membeli bahan mentah.

Selain itu, mereka turut menerima sumbangan dana dan peralatan asas daripada Jabatan Pangajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, NGO termasuk Malaysian Maker & 3D Printing Communities, Makers@University, dan orang awam. 

“Usaha murni ini adalah sebagai tanggungjawab sosial akademia UPM kepada petugas barisan hadapan menangani wabak COVID--19.

30 ahli kumpulan pakar dan sukarelawan UPM yang  diterajui oleh ‘Putra Makers Space UPM’ berpusat di Fakulti Kejuruteraan, terdiri daripada 19 ahli Fakulti Kejuruteraan, enam ahli Longe Medikal Sdn. Bhd - Putra Science Park dan lima ahli Fakulti Rekabentuk dan Seni Bina dengan kerjasama tiga makmal UPM. - Foto UPM

(30 ahli kumpulan pakar dan sukarelawan UPM yang diterajui oleh ‘Putra Makers Space UPM’ berpusat di Fakulti Kejuruteraan, terdiri daripada 19 ahli Fakulti Kejuruteraan, enam ahli Longe Medikal Sdn. Bhd - Putra Science Park dan lima ahli Fakulti Rekabentuk dan Seni Bina dengan kerjasama tiga makmal UPM. - Foto UPM)

Beliau berkata kumpulan mereka turut dibantu oleh Dr Saiful Hasley Ramli yang mengetuai makmal Fakulti Reka Bentuk dan Seni Bina; Ketua Pegawai Eksekutif Longe Medikal Sdn Bhd, Muhammad Izzat Sabri iaitu syarikat startup bimbingan InnoHub Putra Science Park UPM bagi mengkomersialkan teknologi dan inovasi UPM dalam bidang perubatan; dan Timbalan Pengarah Putra Science Park UPM, Profesor Madya Dr Wan Nurhayati Wan Ab. Rahman.

Prof Dr Nor Kamariah juga menyeru sumbangan pihak luar yang ingin membantu mereka dari segi panghantaran dan penyampaian perisai muka kepada hospital-hospital.

“Untuk projek selepas ini, kami mensasarkan untuk merekabentuk peralatan personal protective equipment (PPE) seperti ventilator valve dan kotak saringan COVID--19 kegunaan petugas barisan hadapan,” katanya.

Tarikh Input: 30/03/2020 | Kemaskini: 30/03/2020 | hirfarizan

PERKONGSIAN MEDIA

HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
-
SXDdSAt~