Asap Dan Wap Terlarang Di Kawasan Hospital: Ancaman Senyap Kepada Pesakit | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA hsaas
» ARTIKEL » Asap dan Wap Terlarang di Kawasan Hospital: Ancaman Senyap kepada Pesakit

Asap dan Wap Terlarang di Kawasan Hospital: Ancaman Senyap kepada Pesakit

Hospital seharusnya menjadi tempat yang memberikan harapan dan kesembuhan. Namun,  keengganan segelintir individu mematuhi peraturan kawasan larangan merokok bukan sahaja  melanggar undang-undang, malah menjadi ancaman terus kepada nyawa pesakit. Golongan  rentan di hospital terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan kondisi kesihatan amat mudah  terjejas di mana daya tahan tubuh mereka boleh merosot dan proses kesembuhan menjadi  semakin lambat akibat faktor persekitaran yang tidak sihat.
 

Bahaya 3 Peringkat: Anda Mungkin Membawa 'Pembunuh Senyap' 

Setiap hembusan asap dan wap vape bukan sahaja mencemari udara, tetapi melepaskan sisa  toksik mengandungi bahan karsinogen (penyebab kanser) yang melambatkan malah merencat  proses pemulihan pesakit. Biasa nampak orang merokok di tangga kecemasan, belakang blok atau sudut tempat letak kereta? Mereka fikir mereka tidak mengganggu sesiapa. Fakta ini  membuktikan mereka salah: 

Zon Luar Bangunan (Terbuka): Jarak Bukan Jaminan - Kajian menunjukkan asap dan  wap vape boleh dikesan sehingga jarak 6 hingga 9 meter di kawasan terbuka, bergantung  kepada tiupan dan arah angin (Hwang & Lee, 2014). 

  • Zon Dalam Bangunan (Tertutup): Tiada Istilah 'Jarak Selamat' - Di dalam premis,  asap rokok jauh lebih berbahaya kerana zarah mikroskopiknya boleh merebak ke seluruh sudut ruang melalui sistem pengudaraan, malah berpindah ke wad-wad lain melalui  saluran udara (U.S. Department of Health and Human Services, 2006).
 

Anda perlu tahu! Tiga peringkat ancaman asap rokok dan wap vape berdasarkan cara  penyebaran:

Kategori Ancaman 

Cara Penyebaran 

Kesan Kepada Mangsa

Firsthand Smoke  

(Perokok)

Menyedut terus dari rokok/ vape

Merosakkan organ dalaman diri  sendiri.

Secondhand Smoke  (Perokok Pasif)

Menghidu asap/ wap yang  

dihembus di sekitar.

Mengganggu pernafasan pesakit  dan orang sekeliling.

Thirdhand Smoke 

(Sisa Toksik)

Kontak dengan permukaan yang  dicemari sisa toksik (dinding,  kerusi, pakaian).

Zarah toksik diserap masuk ke  dalam badan melalui kulit atau  pernafasan.

 

Sisa toksik (thirdhand smoke) mempunyai sifat ketahanan yang tinggi: 

  1. Menyerap ke dalam bahan poros - Bahan kimia berbahaya ini menyerap masuk ke  dalam gentian kain pakaian, kusyen kerusi hospital, karpet, malah ke dalam dinding  batu. 
  2. Boleh bertahan berbulan-bulan - Sisa ini tidak hilang begitu sahaja apabila asapnya  hilang. Ia kekal melekat dan membebaskan gas beracun semula ke udara selama  berbulan-bulan malah bertahun-tahun jika tidak dibersihkan secara intensif. 
  3. Tindak balas kimia baharu - Nikotin yang melekat pada dinding boleh bertindak balas  dengan bahan pencemar udara semula jadi seperti asid nitros untuk membentuk  sebatian penyebab kanser yang kuat (TSNAs - Tobacco-Specific Nitrosamines). 


Kesimpulannya, walaupun anda merokok di hujung koridor atau di tangga kecemasan yang  jaraknya 20 meter dari wad, sisa toksik pada pakaian dan rambut anda akan "terbawa" masuk  ke dalam klinik dan wad apabila anda berjalan. Sisa ini kemudiannya berpindah ke kerusi  pelawat, cadar katil dan dinding wad seterusnya menjadi ancaman senyap kepada pesakit yang  menyentuh atau menghidu permukaan tersebut.

Undang-Undang Baharu: Tiada Lagi Istilah 'Diskaun' 

Zon Larangan Merokok 2024 (Akta 852) kini menetapkan bahawa "Kawasan Larangan" merangkumi seluruh kawasan di dalam pagar premis hospital termasuklah bangunan,  kawasan parkir, dan laluan pejalan kaki. Larangan mutlak ini tidak lagi terhad kepada rokok  tembakau, malah meliputi vape dan produk pengganti tembakau. Sebaik sahaja melintasi pintu  gerbang utama hospital, anda telah tertakluk di bawah undang-undang dan boleh dikenakan  kompaun penuh maksimum RM5,000 jika ingkar. 

Polisi “Tiada Diskaun Kompaun” oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah untuk  memastikan impak amaran yang maksimum kepada pesalah: 

  • Denda Maksimum - RM5,000 mesti dibayar penuh dalam tempoh kurang 30 hari. Tiada  Rayuan, Bayar Penuh! 
  • Tindakan Mahkamah - Jika gagal membayar dalam tempoh tersebut, atau jika didapati  melakukan kesalahan berulang, pesalah akan terus didakwa di mahkamah.
 

Peranan Kami: Cabaran Penguatkuasaan dan Kepatuhan 

Tugas menguatkuasakan zon larangan merokok di HSAAS UPM digerakkan secara komprehensif  oleh Seksyen Kesihatan Awam, khususnya barisan Pegawai dan Penolong Pegawai  Kesihatan Persekitaran. Realitinya, tugas ini jauh lebih mencabar daripada sekadar menuding  jari ke arah papan tanda larangan. Mereka perlu berhadapan dengan helah ketidakpatuhan 

daripada perokok yang licik bersembunyi, berdepan provokasi individu yang ingkar, serta  cabaran reka bentuk vape generasi baharu yang saiznya semakin kompak dan mengelirukan.  

Namun, matlamat HSAAS bukanlah untuk menghukum semata-mata. Melalui pendekatan  dualistik 'Didik & Rawat', kami komited membantu kakitangan dan pelawat yang ingin berubah  dengan memberikan akses kepada sokongan rawatan intensif di Klinik Berhenti Merokok  (Perkhidmatan mQuit) demi pemulihan sepenuhnya.

 

Kesimpulan: Hormati Nyawa Pesakit 

Kejayaan mengekalkan hospital sebagai kawasan larangan mutlak bukan sahaja terletak di bahu  pegawai yang meronda, tetapi bergantung kepada kesedaran moral kita bersama. 

Mematikan rokok dan vape sebelum memasuki gerbang hospital adalah satu  penghormatan tertinggi yang boleh kita berikan kepada tugas para petugas barisan  hadapan, dan yang paling utama, demi melindungi nyawa para pesakit. 

Adakah anda atau ahli keluarga memerlukan bantuan untuk berhenti merokok? Hubungi  Perkhidmatan mQuit di klinik-klinik berdekatan anda hari ini.

 

Disediakan oleh,

Noraisyah binti Sabtu
Pegawai Kesihatan Persekitaran
Seksyen Kesihatan  Awam, Jabatan Kesihatan Komuniti
Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, UPM

Tarikh Input: 09/07/2026 | Kemaskini: 09/07/2026 | ahmadfaiq

PERKONGSIAN MEDIA

HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
-
X, (06:26:24pm-06:31:24pm, 11 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]