Artikel Kemanusiaan Di Barisan Hadapan : Peranan Sukarelawan Dalam Kecemasan Kesihatan | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA hsaas
» ARTIKEL » Artikel Kemanusiaan di Barisan Hadapan : Peranan Sukarelawan Dalam Kecemasan Kesihatan

Artikel Kemanusiaan di Barisan Hadapan : Peranan Sukarelawan Dalam Kecemasan Kesihatan

Dalam setiap kecemasan, masa tidak menunggu. Beberapa minit pertama sering menentukan sama ada nyawa dapat diselamatkan atau sebaliknya. Dalam detik genting inilah muncul satu kelompok yang jarang diberi perhatian, namun sentiasa ada ketika diperlukan — sukarelawan.

Ketika mangsa bergelut dengan kesakitan dan ketakutan, sukarelawan tampil tanpa menunggu arahan, apatah lagi ganjaran. Mereka hadir sebagai respon awal, membawa bantuan asas yang mampu mengubah keadaan. Walaupun bukan petugas kesihatan profesional, peranan mereka sering menjadi penghubung penting sebelum bantuan rasmi tiba.

Bersempena sambutan World Red Cross and Red Crescent Day, perhatian wajar diberikan kepada sumbangan organisasi kemanusiaan seperti International Red Cross and Red Crescent Movement dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) yang sekian lama menyokong usaha bantuan kecemasan di peringkat global dan tempatan. Prinsip kemanusiaan, berkecuali dan tidak memihak yang menjadi teras gerakan ini selari dengan nilai perkhidmatan kesihatan yang diamalkan di hospital.

Di peringkat lapangan, sukarelawan sering menjadi antara responden terawal dalam insiden kecemasan seperti kemalangan jalan raya. Mereka membantu memberikan rawatan awal termasuk bantuan pernafasan (CPR), mengawal pendarahan serta menstabilkan keadaan mangsa sebelum ketibaan pasukan perubatan. Tindakan awal ini memainkan peranan penting dalam mengurangkan komplikasi serta meningkatkan peluang kelangsungan hidup pesakit.

Peranan mereka lebih terserlah ketika bencana besar melanda. Banjir yang melibatkan beberapa negeri sebelum ini menyaksikan ribuan mangsa kehilangan tempat tinggal dan keperluan asas. Dalam keadaan serba kekurangan, sukarelawan tampil membantu — menyediakan makanan, mengurus pusat pemindahan sementara dan memberi rawatan awal. Lebih daripada itu, kehadiran mereka memberi sokongan emosi kepada mangsa yang berdepan tekanan dan kehilangan.

Sejarah juga membuktikan kepentingan peranan ini. Ketika tsunami 2004 melanda pantai utara Semenanjung Malaysia, sukarelawan antara yang digerakkan bagi menyediakan perlindungan sementara dan mengagihkan bantuan kepada mangsa yang terkesan.

Situasi sama dapat dilihat dalam tragedi kebakaran besar di Kampung Bahagia, Sandakan pada April 2026 memusnahkan hampir 1,000 rumah atas air dan menjejaskan lebih 9,000 penduduk. Sukarelawan turut memainkan peranan penting dalam memberikan bantuan makanan kepada mangsa-mangsa yang terlibat. Memberi bantuan makanan merupakan bantuan fisiologi (keperluan asas biologi). Mengikut Hierarki Keperluan Maslow, makanan adalah keperluan paling dasar yang mesti dipenuhi sebelum manusia boleh berfikir tentang perkara lain.

Namun, di sebalik sumbangan besar ini, cabaran yang dihadapi bukan sedikit. Sukarelawan berdepan risiko keselamatan, keletihan fizikal dan tekanan emosi, terutama apabila bertugas dalam keadaan yang tidak menentu. Justeru, latihan berterusan dan sokongan yang tersusun amat penting bagi memastikan mereka mampu terus berkhidmat dengan berkesan.

Hakikatnya, kerja sukarela lahir daripada nilai kemanusiaan yang mendalam. Seperti yang disebut dalam hadis Nabi Muhammad SAW (HR. Ahmad, Thabrani, Ibn Hibban), “sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat kepada manusia lain.” Prinsip ini jelas terpancar dalam setiap tindakan sukarelawan yang membantu tanpa mengharapkan balasan.

Dalam konteks lebih luas, sukarelawan bertindak sebagai pelengkap kepada sistem kesihatan negara. Mereka membantu meningkatkan keupayaan respons kecemasan, khususnya ketika berlakunya lonjakan kes atau bencana besar. Pada masa sama, penglibatan dalam aktiviti komuniti seperti pendidikan kesihatan dan latihan pertolongan cemas turut memperkukuh kesiapsiagaan masyarakat.

Sukarelawan mungkin tidak selalu berada di barisan depan kamera, tetapi sumbangan mereka nyata besar. Dalam dunia yang sering berdepan pelbagai krisis, kehadiran mereka menjadi bukti bahawa nilai kemanusiaan masih utuh.

Kesimpulannya, peranan sukarelawan dalam kecemasan kesihatan bukan sekadar membantu dari segi fizikal, tetapi turut melibatkan sokongan emosi dan semangat kemanusiaan yang tinggi. Sempena sambutan ini, hospital menyeru agar lebih ramai anggota masyarakat tampil untuk bersama-sama menyumbang dalam usaha memperkukuh kesiapsiagaan komuniti dan menyokong sistem kesihatan negara.

Operasi bantuan kemanusiaan digerakkan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) untuk mangsa tragedi kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan.

Salah satu tugasan anggota Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) – Respons awal kecemasan dan pertolongan cemas di lapangan.

Disediakan oleh:

NUR FARIHAH BINTI AZMAN,
JABATAN PERUBATAN KECEMASAN,
HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH, UPM

Tarikh Input: 11/05/2026 | Kemaskini: 11/05/2026 | ahmadfaiq

PERKONGSIAN MEDIA

HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
-
X, (06:26:51pm-06:31:51pm, 11 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]