3 Jenis Kopi Yang Boleh Hilangkan Ketagihan. Ketahui Juga Baik, Buruk Minum Minuman Ini | HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTIKEL » 3 jenis kopi yang boleh hilangkan ketagihan. Ketahui juga baik, buruk minum minuman ini

3 jenis kopi yang boleh hilangkan ketagihan. Ketahui juga baik, buruk minum minuman ini

**Artikel ini telah diterbitkan di ww.sinarplus.sinarharian.com.my pada 2 Oktober 2022**
   

Ringkasan Artikel

Ujar Dr Bakaratun Nisak, fakta saintifik jelas menyatakan bahawa kopi mengandungi lebih kurang 1,000 komponen yang memberi kebaikan kepada tubuh manusia.


Oleh: Syamira Liana Nor Ashaha

 

MENURUT Pakar Diet, Scoot Keatley dari Keatley Medical Nutrition Therapy, Amerika Syarikat (AS), kopi merupakan salah satu bahan yang paling banyak dikaji di muka bumi ini.

Ia bukan hanya memiliki rasa yang menakjubkan, tetapi juga menawarkan segudang manfaat.

“Secawan minuman tersebut mengandungi kira-kira 1.8 gram serat dan nutrien yang membantu seseorang berasa lebih kenyang dalam tempoh masa lama dan mengurangkan risiko kanser tertentu,“ katanya kepada Womens Health Magazine.

Untuk ulasan lanjut, SinarPlus mewawancara Pakar Dietetik yang juga pensyarah di Jabatan Dietetik Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof.

Ujar Dr Bakaratun Nisak, fakta saintifik jelas menyatakan bahawa kopi mengandungi lebih kurang 1,000 komponen yang memberi kebaikan kepada tubuh manusia.

“Banyak unsur yang terkandung di dalam kopi, tetapi ada dua jenis yang saya ingin fokuskan iaitu kafein dan fenol (bersifat antioksidan).

“Mungkin kita sering dengar kebanyakan orang atasi kelesuan dengan minum kopi untuk kembali bertenaga. Komponen tersebutlah (kafein) yang berfungsi meningkatkan kekuatan dan merangsang semula sistem saraf otak yang menyebabkan badan segera bertindak balas untuk melakukan sebarang kerja,“ katanya.

Bagaimanapun, jelas pakar berkenaan, keberkesanan unsur tersebut bersifat sementara dan tidak berpanjangan iaitu di antara dua hingga tiga jam sahaja.

“Itu sebab kebanyakan orang ketagih untuk minum kopi secara berulang kali gara-gara mahu memperoleh tenaga berlebihan,“ katanya.

Dari satu sisi lain, pakar itu menjelaskan, mana-mana individu tidak akan meraih sebarang kebaikan daripada minuman tersebut jika mengambil dos yang berlebihan.

Pengambilan paling ideal adalah di antara tiga hingga empat cawan atau bersamaan 240 miligram (mg) sehari.

 

Kurangkan risiko kanser

Seperti kata Keatley, kopi dapat mengurangkan risiko kanser. Bersetuju dengan kenyataan berkenaan, Dr Bakaratun Nisak berkongsi informasi lanjut.

Terlebih dulu ujarnya, punca tercetusnya kanser adalah disebabkan oleh kerosakan asid deoksiribonukleik (DNA).

Kata beliau, secara umum, pada setiap hari sel tubuh manusia akan berubah untuk memperbaiki sistem badan. Ada ketikanya, wujud terlalu banyak radikel bebas yang disebabkan oleh asap rokok dan secara mudah merosakkan DNA.

“Akibatnya, sel-sel tidak sempat ‘dibaik pulih‘ sehingga membesar secara tidak normal, seterusnya memicu kepada penyakit kanser. Di sinilah peranan kopi. Kopi sebagaimana yang saya sebutkan tadi, bersifat antioksidan (fenol). Ia berperanan bukan sahaja mengurangkan risiko penyakit kanser kolon, tetapi juga barah hati dan uterus,“ ungkapnya.

Selain itu, kopi juga memberi respons dalam meminimumkan masalah kegagalan jantung dengan membanteras kolestrol jahat.

Fenol antara lain ujarnya, akan melancarkan proses mengepam darah ke seluruh anggota tubuh badan.

Pun demikian, diet jantung yang sihat seperti menikmati buah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya dengan serat akan menambahkan lagi keberkesanan memelihara organ terpenting bagi manusia itu.

Dr Bakaratun Nisak menambah, terdapat satu penyelidikan di Taiwan melibatkan responden lelaki dan wanita yang mempunyai masalah sindrom metabolik (merangkumi penyakit seperti tinggi gula di dalam darah, kardiovaskular dan perut buncit).

Penyelidik membahagikan kepada dua kelompok iaitu mereka yang minum kopi dan sebaliknya.

“Output kajian mendapati, wanita yang mengambil minuman tersebut secara konsisten dua satu hingga dua cawan sehari dapat mengurangkan isu sindrom tersebut (metabolik) sebanyak 20 peratus,“ jelasnya.

Dalam pada itu, saintis dari Pusat Penelitian Penyakit Alzheimer, Florida, AS, Gary Arendash berkata, empat atau lima cawan kopi kosong berupaya meningkatkan memori para penderita Alzheimer.

Jelas Arendash, kafein akan bertindak menyekat pengeluaran beta amyloid dan gluten yang biasanya menyumbat pada otak penghidap Alzheimer.

“Saintis juga menemui bahan yang dipanggil Granulocyte Colony Stimulating Factor (GCSF) yang mencetuskan pengeluaran axon (sel yang panjang, tipis dan membawa impuls menjauhi dari sel tubuh neuron) baharu atau laluan penghantaran utama sistem saraf dan membantu ‘membuat‘ saraf. Dalam kajian ini, kopi berkafein membantu meningkatkan pengeluaran GCSF.

“Setelah ‘diuji‘ ke atas penghidap Alzheimer yang kerap minum kopi berkafein setiap hari, mereka mempunyai daya ingatan yang lebih baik, begitu juga dengan mereka yang tidak menghidap masalah itu,“ katanya menerusi Jurnal Penyelidikan Penyakit Alzheimer.

Selain kelebihan itu semua, Johns Hopkins Medicine, AS menyenaraikan beberapa kelebihan kopi tidak kira untuk wanita atau lelaki:

  • Hidup lebih lama.
  • Kurang berisiko menghidap penyakit strok.
  • Badan akan memproses glukosa dengan lebih baik.
  • Kurangnya risiko menghidap penyakit Parkinson.
  • Tahap kesihatan hati menjadi lebih baik.

 

Uncang, arabica & robusta

Meskipun kopi bagus untuk kaum Hawa kerana ia meningkatkan hormon dopamina yang membangkitkan emosi gembira, Dr Bakaratun Nisak memberi peringatan kepada wanita hamil.

Beliau berkata, golongan itu tidak digalakkan untuk minum kopi dalam kuantiti yang banyak.

Impaknya bukan sahaja kepada mereka, tetapi kepada bayi dalam kandungan yang berisiko mengalami kecacatan dan keguguran.

Merujuk penulisan American College of Obstetricians and Gynecologists, mereka menyarankan ibu mengandung hanya minum kurang daripada 200mg sehari bersamaan dengan secawan kopi.

Pun demikian, rata-rata pakar percaya, meskipun menikmati minuman itu kurang daripada jumlah yang disyorkan selama kehamilan, ia masih boleh mengganggu pertumbuhan bayi di dalam perut.

Fakta tersebut dibuktikan para penyelidik dari National Institutes of Health (NIH), AS yang menyatakan kemungkinan seseorang wanita boleh melahirkan bayi yang lebih kecil daripada saiz normal.

Jelas NIH, kafein dipercayai boleh menyebabkan saluran darah di dalam rahim dan plasenta mengecut, sekali gus boleh mengurangkan bekalan darah dan menghalang pertumbuhan janin.

“Selain itu, ia (kafein) mempunyai kapasiti mengganggu hormon tekanan janin termasuk meletakkan bayi berisiko mengalami peningkatan berat badan yang cepat selepas kelahiran, di samping masalah obesiti, jantung dan diabetes pada kemudian hari,“ kata NIH.

Tarikh Input: 03/11/2022 | Kemaskini: 03/11/2022 | amirahhani

PERKONGSIAN MEDIA

HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH (HSAAS) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
-
SXDdEAl~