Tidak dinafikan kata Rafidah, tabiat yang juga suatu kebiasaan sukar diubah dan perlu ada komitmen daripada individu berkenaan bagi memastikan ia tidak berulang.
"Sebenarnya untuk sesuatu tabiat itu kekal dalam diri individu adalah atas pilihan mereka sendiri. Tabiat ini ada kaitan juga dengan pemikiran. Maklumlah apabila sudah ada ingatan mengenai sesuatu perkara, individu terdorong untuk bereaksi mengikut keselesaan dan kebiasan.
"Pemikiran ini perlu diubah bagi mengubah tabiat buruk terutamanya. Kena ada kesedaran termasuk merasionalkan kesan buruk jika tabiat itu tidak diubah. Kena bina memori atau ingatan baharu sebagai contoh impak yang bakal dihadapi jika tabiat itu dikekalkan.
"Seperti tabiat mengunyah ais, kesan pastinya gigi rosak dan pelbagai lagi termasuk gangguan pada saraf akibat terdedah terlalu lama pada suhu ais yang terlalu sejuk. Mungkin boleh kaitkan dengan keadaan ngilu dan tidak selesa seperti gigi mula rosak atau berlubang," katanya.
Katanya, keadaan itu juga bukan sahaja mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan, tetapi boleh memberi kerugian apabila terpaksa membelanjakan wang untuk membiayai kos rawatan.
Justeru, beberapa kaedah perlu diambil individu yang mahu menghentikan tabiat buruk mengikut saranan pakar berkenaan.
1. Ubah pemikiran ke arah sesuatu yang lebih positif
Dengan tindakan tidak mengunyah ais, individu yang minum bersama kawan atau ahli keluarga memiliki kesopanan dan tertib di meja yang lebih baik. Ini kerana ada kalanya sikap mengunyah ais tidak disenangi orang sekeliling yang turut menikmati hidangan atau minuman di ruang sama.
2. Mulakan dengan azam
Sempena tahun baharu, jadikan itu salah satu senarai azam yang perlu digapai dalam tempoh jangka pendek bagi membaiki kualiti hidup. Jadikan tabiat baik sebagai pengganti kepada tabiat buruk yang ingin dihindar.
Tidak mengunyah ais boleh ditukar dengan pengambilan air suam atau air kosong lebih baik untuk kesihatan diri.
3. Letakkan sasaran termasuk mengenal pasti komponen perubahan yang diinginkan daripada tabiat buruk terbabit.
Bagi mengubah tabiat buruk, perlu tahu tujuan dan apa komponen tabiat itu yang ingin diubah dengan jelas. Letakkan garisan permulaan dan sasaran ingin dicapai. Susuli dengan latihan yang berulang untuk biasakan diri.
|